Peranan Paul dalam Kristian



Dipetik dari

PAUL: Pencipta Agama Kristian - http://www.darulkautsar.netarticle.php?ArticleID=343


Oleh: Siti Sakinah bt Mohd Khirrudin

PENDAHULUAN

Tidak lengkap rasanya agama Kristian jika kita tidak mengenali Paul dengan lebih dekat. Setiap perbincangan mengenai agama Kristian disentuh pasti Paul juga akan dikaitkan. Siapakah Paul sebenarnya?.

Para penyelidik berpendapat bahawa Paul merupakan orang yang memainkan peranan penting dalam mencorakkan agama Kristian. Sumber yang ada dalam agama Kristian sekarang ini dicipta oleh Paul sendiri. Segala peraturan yang terdapat di dalamnya seperti prinsip- prinsip, dasar agama dan upacara- upacara adalah ditetapkan oleh Paul juga. Bahkan dia yang bertanggungjawab dalam menggubal pegangan penganut- penganut agama tersebut. Dengan kata lain, agama Kristian yang ada sekarang ini adalah hasil ciptaan Paul, bukan seperti yang diwahyukan Allah s.w.t kepada Nabi Isa a.s untuk disampaikan kepada umatnya. Di sini sama-sama kita mengkaji dan mengenali Paul dengan lebih terperinci.


LATAR BELAKANG PAUL

Asal usul Paul.
Nama Paul asalnya Saul, setelah dia memeluk agama Kristian namanya ditukar kepada Paul. Paul seorang yang berbangsa Yahudi. Lahir di Tarsus ibukota Cicillia, Asia Minor. Ayahnya seorang saudagar Yahudi romawi yang bernama Kissai dari suku Benyamin. Ibunya juga berketurunan Romawi.

Pendidikan Paul.
Pada peringkat awal pendidikannya, Paul dihantar untuk mempelajari dan mendalami agama Yahudi di Jerusalem serta dididik menjadi Rabbi. Setelah tamat pengajian, dia kembali ke Tarsus lalu bekerja sebagai pembantu ayahnya di samping mengajar hukum agama Yahudi kepada bangsanya.
Selain daripada pendidikan Taurat yang dianuti dengan fanatik serta mempunyai pengetahuan yang tinggi terhadapnya, dia juga mahir dalam bidang pendidikan ala Romawi serta pendidikan dan pengajaran falsafsah Yunani. Dia sendiri penganut fahaman aliran Farisi (Farusyin) yaitu golongan yang sangat anti terhadap ajaran Nabi Isa a.s.


PAUL DAN AGAMA KRISTIAN

Penentangan Paul terhadap agama Kristian.

Sewaktu agama Kristian yang dibawa oleh Nabi Isa a.s sedang meningkat pengaruhnya, Paul telah dipanggil ke Juresalem untuk membantu membanteras agama tersebut. Tugas yang diserahkan kepadanya itu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Akibatnya banyak pengikut Nabi Isa menjadi mangsa kekejaman dan kerakusannya.

Walau bagaimanapun, agama Nabi Isa tetap berkembang sehingga tidak dapat dibendung malahan ia semakin tersebar dengan luasnya. Oleh yang demikian, jelas bagi kita Paul adalah seorang penentang yang paling kejam dan keras terhadap ajaran dan pengikut- pengikut Nabi Isa. Berbagai- bagai usaha dilakukan semata-mata untuk menjatuhkan agama yang dibawa Nabi Isa a.s.


Paul memeluk agama Kristian.

Menurut keterangan yang lalu, Paul sangat tegas dalam usahanya untuk menghancurkan agama Kristian. Namun begitu, Paul yang berkobar- kobar hendak meruntuhkan agama Kristian itu tiba- tiba mendakwa memeluk agama tersebut di samping menyatakan dia sebagai utusan rasul. Apakah muslihatnya?.

Ada yang menceritakan ketika Nabi Isa tidak ada lagi di Palestin, Paul telah diberi tugas menangkap serta membasmi pengikut Nabi Isa yang lari ke Damsyik. Semasa dalam perjalanan ke sana, di pertengahan jalan tiba- tiba Paul menyatakan yang dia telah bertaubat. Dia menerangkan bahawa satu peristiwa aneh telah berlaku pada dirinya. Dia ternampak akan cahaya dari langit yang terang di sekelilingnya. Ketika itu dia jadi gementar lalu terdengar satu suara berkata kepadanya:” Wahai Saul kenapa engkau menganiayai aku, engkau lawan murid- muridku sebenarnya akulah yang kau aniayai!” Lalu Paul menyahut:” siapakah engkau ini ya tuhan?” Maka terdengar oleh Paul suara sabdaan tuhan itu: “ Akulah Yesus yang engkau aniayai itu. Sukarlah bagimu sekarang ini menghindari dosa”. Selepas peristiwa itu dia segera kembali dari Damsyik dengan sedar dan bertaubat.

Pada mulanya orang-orang Kristian tidak dapat menerima dan mempercayainya. Tetapi oleh kerana kepandaian dan kebijaksanaan dia bergaul serta berbicara dengan mereka, lama- kelamaan mereka dapat juga menerimanya.

Dalam Al-Kitab berlaku percanggahan tentang peristiwa aneh yang terjadi atas diri Paul. Sebagaimana yang diriwayatkan dalam “kisah rasul- rasul” didapati bercanggah di antara satu sama lain. Buktinya, dalam “kisah rasul- rasul” fasal 9 menerangkan bahawa orang yang bersama- sama Paul turut mendengar suara dari langit itu, manakala dalam fasal 22 ada menyebut bahawa mereka tidak mendengar suara tersebut cuma melihat cahayanya sahaja.

Selain itu, satu perkara lagi yang tidak munasabah langsung tentang panggilan “tuhan” terhadap diri Isa. Bagaimana Paul boleh memanggil diri Isa “tuhan” secara spontan setelah suara itu memperkenalkan dirinya sebagai Isa, padahal sebelum itu Paul amat memusuhi Isa a.s. Bahkan perjalanan yang sedang dilakukannya itu pun tidak lain hanya untuk menangkap pengikut- pengikut Isa di Damsyik.

Banyak para pengkaji berpendapat permusuhan Paul terhadap agama Kristian itulah yang mendesaknya memeluk agama tersebut. Dengan demikian sangat mudah baginya untuk memerangi agama Kristian dengan senjatanya yang baru yaitu meruntuhkan agama tersebut dari dalam dengan merosakan, merubah dasar- dasar dan akidah agama itu.


Penyebaran agama Kristian.

Ekoran daripada peristiwa yang di atas, Paul dengan terbuka mengaku bahawa dirinya menjadi rasul Isa. Ini menyebabkan Paul menganggap taraf kerasulan yang dikurniakan kepadanya sama dengan taraf rasul- rasul utama yang lain.
Paul sebenarnya tidak pernah berguru dengan Nabi Isa dan tidak pernah mendengar pengajaran dari baginda sendiri. Walhal Paul tidak pernah sekalipun berjumpa atau melihat baginda. Tetapi dia mendakwa dirinya rasul, segala pengajarannya dikatakan daripada wahyu tuhan Isa.

Paul menyebarkan agama Kristian bukan sahaja di Palestin tetapi di beberapa buah negeri yang jauh seperti Antiogia dan lain- lain, bahkan sampai ke Roma. Setelah banyak orang mula mempercayainya, Paul mengambil kesempatan ini dengan memasukan perubahan- perubahan ke dalam agama Kristian. Di antaranya: dia mengatakan bahawa Isa Al- Masih itu bukan manusia biasa tetapi beliau anak tuhan yang telah dilahirkan oleh seorang wanita yang suci. Kelahiran beliau juga untuk menebus dosa Nabi Adam dan Hawa serta semua keturunannya. Pelbagai lagi perubahan yang dilakukan Paul dalam agama Kristian.

Seperti yang diketahui, Paul mempunyai pengetahuan yang luas dalam kebudayaan dan falsafah Yunani. Dengan demikian dalam diri Paul terkumpul 2 pengaruh yaitu Yahudi dan Yunani. Selain itu, Paul mempunyai kepintaran dalam membentuk suatu agama agar dapat diterima oleh semua bangsa, sedangkan agama Kristian yang dibawa oleh Nabi Isa hanya untuk bangsa Yahudi sahaja. Manakala Paul memindahkannya kepada seluruh bangsa. Bagi menarik orang Yahudi dan bukan Yahudi pada ajaran baru itu, Paul telah mengadunkan beberapa ajaran Yahudi dan falsafah Yunani ke dalamnya. Setelah itu berduyun- duyun orang barat yang bukan bangsa Yahudi memeluk agama Kristian namun orang timur pula menjauhkan diri daripadanya. Hal ini diakui sendiri oleh Paul dalam risalah epada muridnya Timotius. (Timotius 1:15)

Oleh sebab itu agama Kristian yang dibentuk Paul bertukar daripada agama timur kepada agama barat sehingga pusat agama itu sendiri terletak di sebelah barat,iaitu Rom, padahal ia muncul di timur,iaitu Jerusalem.

Dalam erti kata yang lain, Paul pandai menggunakan serampang mata semata- mata untuk menarik semua bangsa manusia kepada ajarannya. Pelbagai pendekatan digunakan olehnya. Ditegaskan bahawa Paul memasukkan beberapa ajaran Yahudi untuk menarik bangsa Yahudi ke dalam agamanya, mengambil falsafah Yunani untuk menarik orang Yunani dan mengumumkan bahawa Isa adalah penyelamat, pembebas dan lain-lain untuk menarik penganut ajaran Mithras dan Cybele. Tidak cukup dengan itu, Paul juga berusaha menarik perhatian golongan terpelajar dengan meminjam idea- idea dan pemikiran ahli falsafah Yunani, terutama daripada Philo. Resapan falsafah Philo dalam pemikiran Paul dapat dilihat melalui istilah-istilah keagamaan yang sering digunakan sehingga sekarag kini seperti anak sulung tuhan, pengantara tuhan dan manusia, bayang- bayang tuhan dan sebagainya.

Dengan demikian jelas bagi kita Paul merupakan sumber penting agama Kristian yang ada sekarang, walaupun agama ini disebut sebagai ajaran Isa tetapi hakikatnya ia sudah diubah oleh Paul. Dia yang bertanggungjawab mencorak dan mengubah agama ini.


PERANAN PAUL DALAM AGAMA KRISTIAN

Paul nabi palsu
Telah diterangkan dalam keterangan yang lalu, Paul tidak pernah langsung bertemu dengan Nabi Isa a.s apalagi berguru dengan beliau. Paul cuma sempat berjumpa dengan para pengikut dan anak murid baginda sahaja. Walau bagaimanapun mereka tidak percaya kepada Paul yang mendakwa dirinya sebagai utusan rasul.

Semasa Nabi Isa hidup di dunia sebagai Nabi Allah, baginda berpesan kepada umatnya suatu pesanan penting bahawa akan datang beberapa Mesias (utusan) palsu dan nabi- nabi palsu selepas ketiadaan beliau, perkataan dan pesanan Nabi Isa itu terdapat di dalam Al- Kitab. (Markus 13:5- 2, markus 13 :21)

Menurut pesanan dan kata- kata Nabi Isa itu jelaslah bahawa mereka- mereka itu telah pun muncul dan salah seorangnya adalah Paul. Dia yang mengaku kononnya bertemu cahaya di langit dan menerima wahyu dari Isa. Walhal dia sebenarnya mahu mengambil kesempatan terhadap agama Kristian dan merubahnya.

Tepatlah apa yang dikatakan Nabi Isa katanya: “Waspadalah supaya jangan ada orang yang menyesatkan kamu! Sebab banyak orang datang dengan memakai namaku dan berkata akulah mesias serta mereka menyesatkan banyak orang”. (Matius 24:4-5)

Ramalan Nabi Isa ini tepat dan terbukti sekarang, bahawa ada yang mengaku rasul diutuskan oleh Isa dengan mendapat bimbingan roh kudus serta mengajar dogma yang bertentangan dengan ajaran Isa.

Konsep ajaran Paul.
Sebagaimana yang kita ketahui ajaran Nabi Isa adalah lanjutan daripada syariat Nabi Musa. Di peringkat awal kemunculan Nabi Isa pengikut- pengikutnya hanya berpegang pada syariat agama yang dibawa oleh nabi- nabi sebelumnya kerana kedatangan Isa bukan membawa syariat baru bagi menggantikan syariat lama, malahan ia hanya menyeru umat Bani Israil pada toleransi, penyucian dan zuhud.

Tetapi agama itu telah diubah oleh Paul menjadi satu agama baru. Paul memainkan peranan yang besar dalam membentuk prinsip- prinsip, dasar- dasar dan dogma yang terdapat dalam agama Kristian sekarang ini. Hukum- hukum baru yang diwujudkan antaranya termasuklah menghadkan perbuatan haram kepada 4 jenis sahaja yaitu zina, memakan haiwan yang dicekik, memakan darah dan memakan haiwan yang disembelih atas nama berhala. Selain itu, banyak lagi hukum yang haram dihalalkan Paul. Hukum wajib berkhatan yang dipusakai daripada syariat Nabi Ibrahim juga dihapuskan atas alasan amalan tersebut boleh menyebabkan orang bukan Yahudi enggan memeluk agama Kristian.

Wajarkah agama diubah berdasarkan alasan ini, dimanakah kekuatan agama tersebut sehingga terpaksa diubah untuk menarik minat manusia. Inilah agama yang dicipta manusia tidak sempurna seperti yang Allah wahyukan sempurna segalanya.

Saripati ajaran yang dibentuk oleh Paul adalah seperti berikut:

1) Agama Kristian adalah untuk semua bangsa bukan untuk Bani Israil sahaja, padahal Nabi Isa diutuskan Allah hanya untuk Bani Israil.

2) Konsep ketuhanan.
Menurut Paul tuhan mempunyai tiga peribadi: tuhan bapa, tuhan anak dan roh kudus. Perbincangan tentang ketuhanan dalam agama Kristian sampai sekarang belum selesai, semakin dibincangkan semakin keliru dan tidak mendapat kata putus.

3) Inkarnasi.
Menurut Paul Isa telah melakukan inkarnasi di bumi melalui benih Daud. Dengan demikian, Paul telah menegaskan bahawa Isa adalah anak Yusuf dan Maryam sebagaimana salasilah yang ditulis dalam Matius. (Matius 1: 1- 16)

4) Dosa warisan.
Pada pandangan Paul manusia sepatutnya hidup kekal di syurga tetapi kerana dosa Adam dan Hawalah semua Manusia berada di bumi. Dengan itu semua manusia yang lahir ke dunia menanggung bebanan dosa yang dilakukan oleh mereka berdua. Lalu Isa dianggap sebagai penebus bagi dosa tersebut.

5) Penyaliban dan penebusan.
Menurut Paul lagi, Nabi Isa menyerahkan dirinya untuk dikorbankan sehingga disalib bagi menebus dosa manusia yang diwarisi oleh Nabi Adam. Setiap harus beriman dengan penyaliban dan penebusan dosa agar memperolehi kehidupan yang kekal dan kembali pada hari kiamat.

6) Konsep kebangkitan.
Isa bangkit semula dari alam kubur selepas tiga hari dikebumikan. Beliau terus naik ke langit serta duduk di kanan bapanya untuk memerintah manusia. Semua orang mesti mempercayai bahawa Nabi Isa bangkit dan hidup kekal supaya mereka juga akan beroleh kehidupan yang kekal.

7) Tuhan Yesus.
Paul menegaskan dengan yakin bahawa Nabi Isa adalah tuhan. Dengan adanya dasar ini, maka lahirlah prinsip triniti yang menetapkan tuhan itu terdiri daripada tiga peribadi, Allah bapa, Allah anak dan roh kudus.

Kesemua ajaran-ajaran di atas ini adalah yang ditunjukkan oleh Paul, dia yang bertanggungjawab terhadap semua itu. Segala ajaran- ajaran tersebut adalah bohong belaka. Sebagaimana yang telah dikatakan Paul dalam surat kepada jemaah di Roma seperti berikut: “ Tetapi jika kebenaran Allah oleh dustaku semakin melimpah bagi kemuliaanNya, mengapa aku masih dihakimi lagi orang berdosa?” (Roma 3:7)

Jelaslah sekarang Paul sebenarnya seorang pendusta. Dia sendiri yang membuat pengakuan sedemikian.


PERBEZAAN AJARAN NABI ISA DAN PAUL
Sebelum kita akhiri perbincangan ini, kita perhatikan beberapa perbezaan yang jelas antara ajaran Paul dan ajaran Nabi Isa. Sebagai contoh:

1) Isa menyangkal dirinya tuhan yang Maha Esa, (Matius 7: 21-22). Sedangkan Paul menganggap bahawa Isa adalah tuhan, (Korintus 1: 1-9)
2) Isa menganjurkan taubat nasuha untuk mendapat keampunan tuhan atas dosa yang dilakukan oleh manusia, sedangkan Paul menggantungkan keampunan dosa manusia kepada penyaliban Isa.
3) Isa tetap mengakui keunggulan hukum Taurat dan penguat kuasaannya di kalangan pengikut- pengikutnya. (Matius 5: 17- 18). Sedangkan Paul mengajar bahawa hukum Taurat tidak dipakai lagi selepas penyaliban Isa untuk menebus dosa manusia. (Rom 7 : 4-6). Bahkan digantikan dengan iman terhadap penyaliban itu sendiri.(Rom 3: 21- 28)
4) Isa tidak pernah membicarakan dosa warisan, sedangkan Paul mengajar mengenai dosa warisan. (Rom 5 : 12)
5) Isa mengajar Injil dikalangan orang Yahudi sahaja. (Matius 10: 5-6). Manakala Paul memperluaskannya kepada orang- orang bukan Yahudi. (Kisah rasul- rasul 14 : 46)
6) Isa mewajibkan amalan berkhatan sebagai meneruskan hukum Nabi Ibrahim. Sedangkan Paul tidak mewajibkannya.. (Rom 3 :30)


Penutup

Pada bahagian penutup ini ingin disimpulkan bahawa Paul memeluk agama Kristian adalah untuk memerangi agama tersebut, dia ingin menghancurkan agama Kristian dari dalam dengan merosakan prinsip- prinsip dan dasar- dasar agama itu. Dia memasuki agama ini pada lahirnya untuk menjadi penganutnya yang secara lahir sebagai senjata penikam.

Perbuatan seperti ini banyak terjadi dalam sejarah agama- agama. Dalam Islam pun berlaku perbuatan yang serupa itu, yaitu Abdullah bin Saba’. Seorang Yahudi yang menampakkan dirinya sebagai seorang Islam padahal kafir dalam hatinya. Dia melakukan pemberontakan dan merosakan fikiran umat Islam di waktu itu. Tetapi hasutan Abdullah bin Saba’ tidak dapat tersebar dengan baik seperti Paul kerana Allah telah menyebut di dalam kitab suciNya Al- Quran bahawa agama Islam akan dipelihara dan dijaga olehNya.

Dengan itu lain halnya dengan Injil Isa a.s yang telah hilang di dalam pergolakan kerana tidak ada yang melindungi agama Kristian dari pukulan- pukulan yang kejam yang ditujukan kepadanya oleh musuh- musuh dari luar dan dalam. Dari itu runtuhlah agama Isa a.s dan berdirilah sekarang ini agama Paul.


Comments

Popular posts from this blog

Falsafah dan pemikiran Socrates

Ulasan Buku: Seni berfikir yang hilang karya Ust Hasrizal