Falsafah dan pemikiran Socrates


Socrates dikenali sebagai seorang pemikir atau ahli falsafah Yunani melalui gambaran yang ada dalam karya khususnya Plato dan Xenophon. Semua karya ini dinamakan dengan nama individu yang dikatakan berhujah dengan Socrates. Berdasarkan bentuk perdebatan dan hujah dikemukakan ini, para pengkaji telah menganalisis pendekatan dan keperibadian Socrates. Sebahagian penulisan menggambarkan Socrates sebagai pemerhati kepada sesi perdebatan manakala sebahagian lagi menonjolkan beliau sebagai seorang yang terlibat dalam perdebatan. Karya-karya yang berkaitan dengan Socrates ini disebut sebagai Kesusasteraan Sokratik tetapi tidak terdapat bukti bahawa karya ini dihasilkan semasa hayat Socrates. Perbualan dan dialog Sokratik ini banyak didapati daripada sumber penulisan oleh Xenophon dan Plato.

Namun begitu, pengkaji berpandangan bahawa penulisan Xenophon dihasilkan dengan merujuk kepada karya Platonik. Hujahnya ialah jarak masa hidup antara Socrates dan Xenophon adalah terlalu jauh yang sukar memungkinkan adanya interaksi antara kedua-duanya. Jika ada sekalipun, umur Xenophon terlalu muda ketika Socrates dikatakan berdialog dan berbahas. Selain itu Xenophon diriwayatkan pernah meninggalkan Athens dua tahun sebelum kematian Socrates dan pulang semula selepas 30 tahun.

Justeru, timbul andaian bahawa penulisan ini dihasilkan sebagai memperingati jasa Socrates dalam perkembangan pemikiran Yunani. Antara tema yang diangkat dalam penulisan-penulisan ini ialah bagaimana Socrates berusaha mengekang dan mengubah perilaku buruk seseorang yang bernama Alcibiades. Socrates didapati menekankan beberapa aspek seperti cita-cita, rasa malu dan pengetahuan. Beliau melihat meskipun Alcibiades bercita-cita untuk menjadi pemimpin terulung, dia tidak mungkin mendapatkannya selagi tidak menguasai pengetahuan dan memperbaiki perilaku diri. Tetapi, sebagai seorang rakan, Socrates menggunakan pendekatan kasih sayang untuk merangsang perhubungan yang bermatlamat untuk mendidik Alcibiades ke arah lebih baik.

Tema lain juga dalam karya Sokratik mengetengahkan nasihat-nasihat beliau seperti ketaatan dan peningkatan moral. Antaranya perbualan Socrates dengan Aristodemus, seorang ateis. Socrates menerangkan kepada Aristodemus tentang bukti kewujudan dewa melalui fenomena alami. Selain itu, Socrates juga mendorong Aristipus, seorang hedonis untuk mengawal dirinya daripada melakukan perkara buruk. Kaedah yang digunakan ialah membawakan beberapa cerita untuk membuktikan bagaimana sifat mulia lebih mendatangkan ketenangan dan kebahagiaan kepada manusia. Antara pendekatan dialog Sokratik ialah penghujahan induktif dan soal balas berkaitan kedudukan kebijaksanaan dan sifat mulia. Socrates berpandangan bahawa pengetahuan mempunyai maksud yang sama dengan sifat mulia.

Selain itu, Plato juga menulis bagaimana Socrates berdebat dengan golongan sofis yang turut menjadi simbolik pertentangan antara falsafah tulen dengan falsafah palsu. Watak Socrates dalam karya Plato juga tidak ditunjukkan sebagai pakar atau ilmuwan tetapi lebih kepada peranannya sebagai jurucakap atau penyampai teori orang lain. Justeru, pengkaji menyimpulkan bahawa Plato telah memaparkan Socrates sebagai ahli falsafah yang mencari kebenaran. Setiap karya yang dihasilkan, meskipun berbeza tetapi akhirnya menunjukkan ciri koheren yang ada dalam aktiviti berfalsafah.



Rujukan:
C.C.W. Taylor. 2015. Socrates: Pengenalan Ringkas. Terj. Salbiah Hashim. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan & Buku Malaysia.

Comments

Popular posts from this blog

Peranan Paul dalam Kristian

Ulasan Buku: Seni berfikir yang hilang karya Ust Hasrizal