Sabar sebagai manusia
Bismillah hir rahman nir rahim..
Hari ini hari keempat belas Ramadan 1433, hari ini juga adalah hari kesabaran saya diuji buat kesekian kalinya. Bukan tidak biasa diuji untuk bersabar dengan MASALAH YANG SAMA, PERKARA YANG SAMA..Cuma hari ini saya merasa TERLALU PENAT untuk terus sabar dan mengalah!
Wajarkah sedemikian? Saya pun tidak pasti. Saya berhadapan dengan masalah yang sama, dilakukan oleh orang yang sama BERULANG KALI. Bukan tidak pernah saya menasihatinya, bahkan serasa pelbagai cara telah digunakan. Tetapi, ia tetap berulang. Dia tetap menyalahkan saya atas kesalahan yang bukan kesalahan sesiapa pun. Sebaliknya, ia adalah takdir daripada Tuhan Rabbul Jalil.
Mengapakah perkara sebegini begitu sukar untuk difahami oleh sesetengah insan? Jika kita sudah berusaha tetapi hasilnya tidak seperti yang diharapkan, mengapa perlu menimpakan kesalahan itu kepada orang lain atau diri sendiri? Bagaimana agaknya cara untuk kita meyakinkan mereka yang di sekeliling kita bahawa di sebalik perancangan dan kehendak kita, ada TANGAN YANG MAHA KUASA di sebaliknya.
Untuk saling menyalahkan atas kesilapan yang tidak disengajakan, kelalaian yang tidak dimaksudkan, keprihatinan yang tidak seperti yang diimpikan..Pada saya itu adalah perkara yang tidak wajar sama sekali.
Mengapa kita tidak memilih untuk bangun berhadapan masalah kita dengan cara yang terbaik sesuai dengan keadaan? Bukankah ini lebih menenangkan hati semua pihak.
Sebagai contoh, apabila anak kita memecahkan gelas.. Wajarkah kita merotan tangannya sehingga berbirat-birat semata-mata mementingkan gelas yang tidak seberapa harganya atau kerana kita penat untuk mengemaskannya kembali? Sekalipun zahirnya kita berkata ia adalah sebagai pengajaran tetapi hakikatnya adalah sebaliknya. Tanyalah kepada diri sendiri, adakah anak kita sengaja menghempaskan gelas di tangannya? Adakah dia tahu bahawa kaca yang pecah itu membahayakan? Adakah dengan merotan si anak akan menyelesaikan masalah?
Sesungguhnya tidak. Sama sekali tindakan kita itu tidak memberi kesan apa-apa kepada masalah yang dihadapi. Daripada kita melayan nafsu amarah dengan merotan anak dan merungut kerana terpaksa mengemas kaca, ada lebih baiknya kita bersabar dan terus sahaja mengemaskan kaca sebelum berbicara dengan baik kepada si anak akan kesan buruk kaca pecah itu. Itu sahaja. Maka, selamatlah kita daripada sorakan syaitan yang menunggu peluang bukan?
Ini antara contoh-contoh yang saya selalu dengar dan perhatikan. Belum lagi jika membicarakan soal hubungan dengan rakan sekerja, hubungan dengan pekerja bawahan, hubungan suami isteri dan hubungan dengan keluarga. Apa lagi hubungan dengan ALLAH yang seringkali kita lupakan?
Dalam berhubung dengan ALLAH juga tingkat kesabaran pelbagai diperlukan. Inilah yang disebut oleh ulama terdahulu sebagai Sabar dalam Taat dan Sabar dalam meninggalkan Maksiat. Seperti firman Allah yang bermaksud:
"Mintalah pertolongan dengan Sabar dan Solat"
Ini bermakna di sebalik kesabaran ada ibadah lain yang diperlukan untuk menguatkan kesabaran kita iaitu SOLAT. Kedua-duanya adalah berkait rapat. Masakan tidak, adakah terdapat cara lain untuk kita bertawajjuh kepada ALLAH mengadukan masalah dan tekanan yang kita hadapi selain daripada solat? Sedangkan posisi SUJUD itu sendiri adalah waktu insan yang paling hampir dengan ALLAH.
Oleh itu, dalam menghadapi karenah manusia sekeliling mengadulah kepada ALLAH dan berserahlah kepada-Nya. Semoga Dia sentiasa melorongkan jalan untuk semakin hampir dengan-Nya.
Comments
Post a Comment