TAWAKKAL SEPERTI BURUNG

Bismillah hir rahman nir rahim
Hari ni saya membaca kumpulan hadis daripada Riyadus Salihin berkaitan dengan tawakkal.

Hadis Nabi SAW yang bermaksud:
"Seandainya kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, nescaya kamu akan diberi rezeki seperti mana burung yang keluar dalam keadaan perut kosong dan pulang dalam keadaan perut yang kenyang" HR Tirmidhi.

Persoalannya:
Apa yang kita tahu tentang burung?
Apa hubungan antara tawakkal dengan burung?

Persoalan rezeki ini sangat misteri dan menarik kerana berdasarkan hadis ini kita dapat mengambil pengajaran bahawa setiap daripada kita telah ditetapkan rezeki yang khusus dan setiap yang ditakdirkan pasti akan berlaku.

Dalam hidup ini, menjadi tanggungjawab kita untuk berusaha dan berusaha dengan apa jua cara sekali pun selagi ia halal di sisi Allah SWT. Biasa kita mendengar ungkapan "ulat dalam batu pun boleh cari makan" atau "bumi Allah ini luas" kan? Ia adalah gambaran betapa fikiran kita tidak seharusnya tertumpu kepada satu jalan sahaja sedangkan Allah SWT telah menyediakan pelbagai wasilah untuk mendapatkan rezeki. Sebagaimana burung yang tidak hanya menanti di sarang untuk diberi makan, mereka keluar berterbangan mencari rezeki dalam pelbagai arah. Begitulah juga kita, carilah rezeki dan peluang dalam pelbagai bentuk dan gantungkan tawakkal dan penyerahan diri hanya kepada Allah SWT kerana pada akhirnya Dia juga yang akan memberikan rezeki kepada kita.

Terkenang saya pada ungkapan seorang guru saya "أنا أريد وأنت تريد والله يفعل ما يريد"
Maksudnya: Aku mahu, engkau juga mahu, bahkan Allah SWT yang melakukan (mengikut) apa yang Dia mahu

Inilah yang dimaksudkan dengan berusaha dan berikhtiar semampu kita tetapi segala yang berlaku hanya dengan izin-Nya. Alangkah indah lafaz hawqalah iaitu La hawla wala quwwata illa billah. Lafaz ini mampu menjadi kunci ketenangan kita dalam berhadapan dengan segala perkara. Ungkapan yang menetapkan hati kita bahawa tiada daya upaya (kita) MELAINKAN dengan izin Allah SWT. Di situlah letaknya status kita sebagai hamba. Tidak lebih daripada itu.

Apabila kita memahami konsep ini, kita akan merasakan kasih sayang dan pemeliharaan Allah SWT sesungguhnya meliputi segenap hidup kita dan segala yang berlaku di sekeliling kita. Perhatikan sahaja apa ungkapan Rasulullah SAW dan para sahabat apabila dikhabarkan kepada mereka tentang kekuatan tentera Ahzab. Mereka berkata:

حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ 

Maksudnya: Cukuplah Allah sebagai sebaik-baik pelindung.

Ada satu kisah dalam peperangan, di mana Rasulullah SAW sedang berehat dengan para sahabat di bawah sepohon pokok yang rendang. Tiba-tiba datang seorang lelaki musyrik menghunus pedang kepada baginda SAW lalu bertanya "Takutkah kamu kepadaku?" Rasulullah SAW menjawab, "Tidak", Lelaki itu bertanya lagi "Siapa yang boleh menghalangmu daripada seranganku?" Baginda SAW lalu menjawab dengan yakin "ALLAH". Maka, jatuhlah pedang dan terduduklah lelaki itu.

Rasulullah SAW bingkas bangun dan menghunus pula pedang ke arah lelaki itu seraya bertanya "Siapa pula yang boleh menghalangmu daripada seranganku?" Lelaki itu hanya mempu meminta belas kasihan dengan mengatakan "Jadilah engkau sebaik-baik orang yang memegang pedang".

Dalam kisah ini, ada dua situasi yang boleh kita perhatikan. 
Pertama, peribadi yang teguh tawakkalnya kepada ALLAH SWT iaitu Rasulullah SAW dan yang kedua, seorang yang tidak mempunyai tempat bergantung. 
Antara kedua ini tentulah yang bertawakkal kepada ALLAH SWT tidak merasakan ada perkara yang ditakutinya walaupun kematian. Seandainya Allah takdirkan maka boleh sahaja di situ menjadi tempat menghembuskan nafas yang terakhir, tetapi jika Dia tidak mengizinkan maka hal itu tidak akan berlaku sama sekali walaupun dari segi akal rasionalnya ia mempunyai kemungkinan yang kuat untuk terjadi.

Firman Allah SWT (al-Talaq, ayat 3):

وَمَن يَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَٰلِغُ أَمۡرِهِۦۚ قَدۡ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَيۡءٖ قَدۡرٗا  

Maksudnya: Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.

Rasa sesak, rasa tidak nampak jalan, rasa buntu, itu adalah lumrah namun apabila kita tetapteguh dan teruskan dengan ikhtiar dan tawakkal, Allah Maha Berkuasa Lagi Maha Pemurah pasti akan berikan kita jalan keluar dairpada cara yang kita pun tidak sangka-sangka dan tidak rancang! Maka, teruskanlah bersedekah, buat baik kepada orang lain, bantu orang lain, taat mak ayah yang merupakan antara amalan yang akan dibalas ketika hidup di atas dunia ini atau sebahagian kita menyebutnya ‘COD’.

Walau apa juga tindakan kita, jangan pernah lupa untuk berdoa:

بِسْمِ اللهِ، تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ، لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ 

Daripada Anas bin Malik, bahawa Rasulullah SAW bersabda “barangsiapa yang membaca doa ini semasa keluar rumah, maka akan didoakan kepadanya (malaikat):

كُفِيتَ، وَوُقِيتَ، وَتَنَحَّى عَنْهُ الشَّيْطَانُ.
“Kamu telah mendapat petunjuk, kamu telah dijamin, kamu telah dipelihara dan dijauhkan daripada syaitan.” (HR Abu Daud, Tirmidhi & Nasa’i)

Maka, mulai saat ini marilah sama-sama kita meletakkan pergantungan hanya kepada ALLAH SWT.

#buku2023

Comments

Popular posts from this blog

Falsafah dan pemikiran Socrates

Ulasan Buku: Seni berfikir yang hilang karya Ust Hasrizal

Peranan Paul dalam Kristian