ISLAM, IMAN, IHSAN

Ø ISLAM
Perkataan ‘Islam’ berasal dari bahasa Arab yang menurut etimologi ia membawa beberapa pengertian iaitu:
i) Keselamatan
ii) Perdamaian
iii) Penyerahan diri kepada Tuhan.
Ketiga pengertian itu tercakup dalam kata ‘Islam’ sebab agama Islam membawa keselamatan dan perdamaian kepada seluruh umat manusia di dunia ini dan mengajar umat manusia untuk menyerahkan diri kepada Allah dalam setiap perbuatan.

Manakala Islam menurut istilah adalah seperti sabda Rasulullah s.a.w:

الإسْلامُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتُقِيمَ الصَّلاةَ وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ وَتَصُومَ رَمَضَانَ وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إِنْ اسْتَطَعْتَ إِلَيْهِ سَبِيلا

Maksudnya:
“Islam itu ialah kamu bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, kamu mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadan, dan kamu mengerjakan haji sekiranya berkemampuan.”

Berdasarkan hadis inilah Islam diletakkan di atas lima rukun: syahadah, solat, puasa, zakat dan haji.

Jika seseorang sudah mengucap dua kalimah syahadah maka dia sudah dikira sebagai seorang muslim secara rasmi. Namun Islamnya belum lagi sempurna melainkan setelah melakukan dua perkara lagi iaitu solat dan puasa kecuali sekiranya ada beberapa keuzuran yang membolehkannya meninggalkan kewajipan tersebut. Adapun zakat dan haji hanya diwajibkan bagi mereka yang memenuhi syarat sahaja, seperti syarat berkemampuan.

Ø IMAN

Dari segi bahasa Arab ia bermaksud kepercayaan (faith). Manakala dari sudut istilah ialah seperti yang diajarkan oleh Rasulullah kepada kita:

الإِيمَانِ أَنْ تُؤْمِنَ بِاللَّهِ وَمَلائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ

Maksudnya:
“Iman itu ialah kamu beriman kepada Allah, para malaikatNya, kitab-kitabNya, para rasulNya, Hari Akhirat dan kamu beriman kepada qadar baik dan buruk.”
Berdasarkan hadis inilah Iman diajarkan kepada kita menerusi rukun yang enam itu iaitu: Beriman kepada Allah, Malaikat, Kitab, Rasul, Hari Kiamat dan Qada’ dan Qadar.

Ø HUBUNGAN ISLAM DAN IMAN

Islam adalah sesuatu yang zahir kelihatan sedang iman ialah kepercayaan di dalam hati. Seorang yang muslim tidak semestinya mukmin. Ini bersesuaian dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Di antara manusia ada yang mengatakan “Kami beriman kepada Allah dan Hari Kemudian”, padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman.”
(Al-Baqarah: 8)
Jelaslah kepada kita bahawa pengakuan dengan lisan atau amal perbuatan sahaja tidaklah menjadi tanda keimanan seseorang. Namun pada masa yang sama kita dilarang tegas untuk bersangka buruk kepada saudara seIslam kita selagi mana dia masih mengucap dua kalimah syahadah. Begitu juga kita disyaratkan untuk menghukum seseorang memadai dengan melihat kepada zahirnya sahaja. Ini kerana soal hati adalah termasuk di antara urusan seorang hamba dengan Allah semata.

Ø HUBUNGAN DI ANTARA AKIDAH (IMAN) DAN SYARIAH (ISLAM)

Akidah dengan syariah tidak dapa dipisahkan sekalipun keduanya dapat dibezakan. Ini kerana akidah adalah sebagai asas atau akar sedangkan syariah sebagai cabang atau batang dan dahannya. Seorang yang beriman tetapi tidak menjalankan syariah dianggap sebagai fasik manakala mereka yang menjalankan syariah tanpa iman adalah munafik dan mereka yang tidak berakidah dan melaksanakan syariah disebut sebagai kafir.

Syariah ini pula tidaklah tertumpu kepada rukun Islam yang lima sahaja bahkan mencakupi juga aspek ekonomi, kekeluargaan, harta pusaka, politik, pendidikan dan sosial.

Ø IHSAN

Ihsan dari segi bahasa bermaksud memberi nikmat dan kelebihan. Termasuk juga di bawah takrifan ini ialah berlaku baik. Perbuatan baik pula meliputu semua tingkah laku yang mengangkat taraf manusia serta mendidik jiwa seseorang dan menghampirkan diri kepada Penciptanya. Di dalam al-Quran, dinyatakan bahawa ihsan ini dapat mempengaruhi keperibadian seseorang dari segi dorongan-dorongan bekerja. Ini sesuai dengan ciri ihsan yang dinyatakan oleh baginda Rasulullah s.a.w:

الإحْسَان أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ

Maksudnya:
“Ihsan itu ialah kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatNya. Maka, sekiranya kamu tidak mampu melihatNya sesungguhnya Dia melihat kamu.”

Kedudukan ihsan di dalam Islam

Al-Quran menerangkan bahawa ihsan wajib menjadi tabiat manusia kerana Allah telah memberi nikmat kepada mereka dengan ihsanNya. Justeru, manusia juga perlu ihsan dengan nikmat ini sesama makhluk.

Firman Allah yang bermaksud:

“Dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah ruah)”
(Al-Qasas: 77)
Al-Quran turut menjelaskan bahawa manfaat ihsan itu akan kembali kepada yang melakukannya seperti dalam firman Allah yang bermaksud:

“Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan ialah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.”
(Al-Isra’:7)
Antara sifat-sifat muhsinin

1. Mendirikan solat pada waktu malam dan di akhir malam untuk menuntut keampuan dari Allah.
2. Menetapkan sebahagian dari harta benda mereka untuk orang miskin (zakat dan sedekah).
Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa berada di dalam taman-taman syurga dan di mata-mata air, sambil mengambil apa yang diberikan kepada mereka oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik (muhsinin). Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam, dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun (kepada Allah). Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang yang tidak mendapat bahagian.”
(al-Zariyat 51: 15-19)

3. Berjihad di jalan Allah dengan jiwa dan harta.
Firman Allah yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik.”
(al-Ankabut 29: 69)

4. Pemaaf
Firman Allah yang bermaksud:

“Maka maafkanlah mereka dan biarkanlah mereka, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.”
(al-Maidah 5: 13)

5. Sabar
Firman Allah yang bermaksud:

“Dan bersabarlah, kerana sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang yang berbuat kebaikan.”
(Hud 11: 115)
Rujukan:
Anon. 2004. Asas Panduan Fadhu Ain Lengkap. Abu Nur Muizudin (pysn.) Kuala Lumpur: Jasmin Enterprise.
Haron Din, Dr. dkk. 1985. Manusia dan Islam. Shah Alam: Hizbi Sdn. Bhd.

Comments

Popular posts from this blog

Falsafah dan pemikiran Socrates

Peranan Paul dalam Kristian

Ulasan Buku: Seni berfikir yang hilang karya Ust Hasrizal