SIAPA TUHAN KITA ?

Jawapan Pertama : Dari mana asalnya kita?

Sebelum bertanya mengenai Tuhan, mari kita fikirkan sejenak mengenai diri kita.
Sedar-sedar, kita sudah pun berada di dunia. Sedar-sedar, kita dikelilingi oleh orang-orang yang kita kenal seperti ibu bapa, ahli keluaraga dan sahabat handai. Kita tidak dapat mengingat, bilakah masanya kita dilahirkan ke dunia. Kita juga tidak dapat mengingat perkara yang berlaku semasa kita baru dilahirkan. Kita juga tidak tahu apa yang berlaku kepada kita semasa berada dalam kandungan ibu selama sembilan bulan. Kita tidak tahu apa yang berlaku sebelum kita wujud di dalam rahim ibu.

Siapakah yang mencipta kita daripada tidak ada kepada ada?. Siapakah yang menjaga kita semasa berada dalam tempoh kita ‘tidak sedar’ dalam kandungan ibu kita?. Siapakah yang menumbuhkan tulang dan daging pada tubuh badan kita?. Siapakah yang mendegupkan jantung dan memanjangkan rambut kita?.

Kita sendiri tidak mengetahui sepenuhnya seluruh episod hidup kita. Semasa kita berada dalam kandungan ibu, segala yang berlaku bukan dalam kawalan kita ataupun ibu kita. Ibu kita sendiri tidak tahu anak yang dikandungnya itu lelaki ataupun perempuan sehingga dapat dikesan dengan alat khas. Itupun bukan 100 peratus benar. Begitu juga semasa kita masih bayi. Kita sendiri tidak ingat, adakah kita pernah berniat hendak belajar duduk, belajar merangkak dan belajar menyuap makanan sendiri. Kita hanya dapat melihat wajah dan perbuatan kita semasa kecil dalam rakaman yang pernah dirakam oleh ibu bapa kita. Menurut ibu bapa kita, mereka pun tidak mengajar kita cara hendak duduk dan merangkak. Tiba masanya, mereka dapati kita sudah pandai. Siapakah sebenarnya yang mengajar kita?

Apabila kita tidur ataupun tidak sedarkan diri, perkara yang sama juga berlaku. Semua organ masih berfungsi dengan baik dalam masa yang sama kita tidak sedar apa-apa. Apabila kita sedar, kita dapati kita masih hidup seperti biasa. Mata masih dapat melihat, telinga masih dapat mendengar dan lidah masih dapat berkata-kata.

Apabila kita sendiri tidak mampu berfikir perkara yang ada pada diri kita sendiri, tentu ada kuasa yang mencipta dan mengatur segalanya. Dialah yang menghidupkan, mematikan, membentuk, mengatur alam ini. Kuasa itu adalah Tuhan kita iaitu ALLAH yang menciptakan manusia dan seluruh alam ini. Tuhan yang SATU, tiada ibu ataupun bapa serta tiada mempunyai anak. SUBHANALLAH…MAHA SUCI ALLAH…
(edited from: Ibu, benarkah Tuhan itu ada?)

Comments

Popular posts from this blog

Falsafah dan pemikiran Socrates

Peranan Paul dalam Kristian

Ulasan Buku: Seni berfikir yang hilang karya Ust Hasrizal