Imam al-Qushayri: Pengharmoni syariat dan hakikat (1)
Imam al-Qushayri merupakan salah seorang tokoh yang pernah mencatat nama dalam sejarah umat Islam. Beliau lebih dikenali sebagai tokoh tasawuf menerusi karyanya al-Risalah atau lebih dikenali dengan nama al-Risalah al-Qushayriyyah. Tokoh yang juga merupakan ahli dalam aliran Asha'irah ini telah berjaya menempah nama di Naysabur menerusi majlis-majlis ilmu yang diadakannya dan karya-karya yang dihasilkannya. Keikhlasan beliau dalam menyebarkan ilmu telah membuatkan namanya bukan sahaja disebut oleh umat di zamannya bahkan sehingga kini meskipun tidak banyak karyanya yang sampai kepada kita.
Riwayat hidup dan latar belakang pendidikan
Nama sebenar al-Qushayri ialah 'Abd al-Karim bin Hawazin bin 'Abd al-Malik bin Talhah bin Muhammad al-Naysaburi. Beliau yang berketurunan Arab dari kabilah Qushayr bin Ka'b ini telah dilahirkan pada Rabi' al-Awwal 376 Hijrah di Ustuwa.Ustuwa pada masa ini kebanyakan penduduknya terdiri daripada orang Arab Khurasan sedangkan pada masa yang sama Naysabur yang merupakan ibu negeri Khurasan pula merupakan pusat ilmu dan seni.
Bapanya telah meninggal dunia ketika beliau masih kanak-kanak lagi dan setelah itu beliau dipelihara oleh Abu al-Qasim al-Yamani yang telah mengajar beliau ilmu sastera dan bahasa Arab.
Setelah itu beliau pergi ke Naysabur dan telah berkenalan dengan Abu Ali al-Hassan bin Ali al-Daqqaq yang merupakan antara ulama’ terkemuka zaman itu menerusi majlis-majlis ilmu beliau. Apabila al-Daqqaq mengesan kebijaksanaan yang ada pada al-Qushayri, beliau telah mengarahkan al-Qushayri supaya turut mendalami ilmu lain daripada para ulama’ zaman itu. Maka al-Qushayri pun membatalkan hasrat untuk menjadi pegawai kerajaan dan menuruti saranan al-Daqqaq.
Beliau telah pergi menuntut ilmu fiqh dengan Abu Bakr al-Tusi (wafat pada 405 H) sebelum berangkat pula menemui Abu Bakr bin Furak (wafat pada 406 H) untuk mempelajari ilmu kalam dan usul fiqh. Kemudian, setelah kewafatan gurunya Abu Bakr bin Furak, al-Qushayri pun pergi menuntut ilmu dengan Abu Ishak al-Isfarayayni. Namun, setelah Abu Ishak dapat mengesan kecerdasan al-Qushayri, beliau telah mengarahkan agar al-Qushayri mengkaji penulisannya sahaja serta cuba untuk melahirkan satu bentuk baru dalam pengajian ilmu kalam dan usul fiqh. Maka, akhirnya al-Qushayri telah pun tampil dengan manhaj baru yang menggabungkan manhaj Abu Ishak al-Isfarayayni dan manhaj Ibn Furak.
Di samping itu, al-Qushayri juga telah mempelajari hadis dari sekumpulan ulama’ pada zaman itu antaranya Abu al-Husayn Ahmad bin Muhammad al-Khaffaf, Abu Nu'aym 'Abd al-Malik bin Hasan al-Isfarayayni, Abu Bakr bin 'Abdus, 'Abd al-Rahman bin Ibrahim al-Muzakki, Abu Na'im Ahmad bin Muhammad al-Mahrajani, 'Ali bin Ahmad al-Ahwazi, Abu 'Abd al-Rahman al-Sulami, Ibn Bakawayh al-Shayrazi, al-Hakim, Ibn Furak sendiri, Abu al-Husayn bin Bashran dan Abu al-Hasan al-'Alawi.
Direkodkan juga bahawa beliau pernah mengkaji hasil karangan Abu Bakr bin Tayyib di samping terus menghadiri majlis Abu 'Ali al-Daqqaq dan pada akhirnya beliau telah dikahwinkan dengan anak gadis al-Daqqaq sendiri. Hasil dari perkahwinan ini beliau telah dikurniakan tujuh orang anak, enam daripadanya adalah lelaki manakala seorang sahaja perempuan. Mereka adalah Abu Sa'd 'Abdullah, Abu Sa'id 'Abd al-Wahid, Abu Mansur 'Abd al-Rahman, Abu al-Nasr 'Abd al-Rahim, Abu al-Fath 'Ubayd Allah, Abu al-Muzaffar 'Abd al-Mun'im dan Ummat al-Karim.Setelah kewafatan al-Daqqaq, al-Qushayri menuntut ilmu dengan 'Abd al-Rahman al-Sulami sehinggalah beliau pada akhirnya muncul sebagai salah seorang ulama’ terkemuka di Khurasan.
Beliau merupakan seorang yang melazimi majlis tadhkir malah telah pun mengadakannya sejak al-Daqqaq masih hidup lagi iaitu pada usianya 30 tahun.
Beliau seterusnya telah memulakan penulisannya dengan mengarang kitab al-Tafsir al-Kabir menjelang tahun 410 H dan telah menunaikan haji dengan rakan-rakannya Abu Muhammad al-Juwayni, Syeikh Ahmad al-Bayhaqi serta sekumpulan ulama’ yang terkenal di zaman itu.
Beliau turut terkenal dengan majlis imla’ dalam bidang hadis yang diadakannya pada tahun 437 H hinggalah 465 H. Gaya penyampaian beliau dalam ilmu hadis berjaya memikat hati pendengar kerana ia disampaikan dengan gaya bahasa yang indah dan simbolik di samping kehebatan beliau dalam menyusun atur perkataan dengan begitu unik sehingga mampu untuk menterjemahkan sudut pandangan seorang ahli tarekat dalam penulisan diiktiraf oleh ulama’ dan masyarakat pada masa itu.
Namun, era kemasyhuran beliau diuji antara tahun 445 H hinggalah 455 H iaitu sewaktu Tughrul yang merupakan salah seorang dari pemerintah kerajaan Seljuk memegang tampuk pemerintahan Khurasan. Ini berpunca kerana adanya hasutan daripada menterinya, Abu Nasr al-Kandri iaitu seorang yang agak taksub dengan fahaman muktazilah. Setelah sepuluh tahun berada dalam buangan, Imam al-Qushayri telah dipanggil pulang oleh Alp Arsalan yang merupakan pengganti Tughrul menyebabkan beliau telah kembali semula ke Khurasan dan meneruskan majlis ilmunya.
Kegiatan ilmiah beliau ini telah berjalan selama sepuluh tahun di akhir usianya sehinggalah al-Qushayri meninggal dunia pada 16 Rabi' al-Akhir 465 H dan telah disemadikan bersebelahan dengan makam gurunya Abu 'Ali al-Daqqaq di Naysabur.
Penglibatan beliau dalam tarekat tasawuf
Al-Subki di dalam Tabaqat al-Shafi'iyyah didapati telah memetik riwayat dari 'Abd al-Ghafir berkenaan sanad tarekat yang dipegang oleh al-Qushayri.
Menurut 'Abd al-Ghafir, al-Qushayri telah menerima tarekat daripada Abu 'Ali al-Daqqaq, sedangkan al-Daqqaq telah menerimanya daripada Abu al-Qasim al-Nasrabadhi, seterusnya al-Nasrabadhi telah menerima jalan tarekat ini daripada al-Shibli dan al-Shibli pula telah menerimanya daripada al-Junayd. Al-Junayd telah menerimanya daripada al-Sirri dan al-Sirri telah menerimanya daripada Ma'ruf al-Kurkhi. Seterusnya, Ma'ruf diriwayatkan telah menerimanya daripada Daud al-Ta’i yang telah menerimanya daripada para tabi'in.
Comments
Post a Comment