Goldziher: Orientalis

Oleh: Muhammad Syafiq Liow & Muhammad Mateus Loudy

Goldziher atau nama penuh beliau Ignaz Goldziher adalah seorang orientalis yang berasal dari Hungaria yang dilahirkan dari keluarga Yahudi pada tahun 1850 M. yang penah menulis tentang Islam dalam bukunya Muhammedanische Studien. Goldziher juga pengarang utama Islamic Encyclopedia, Sejarah Mazhab Tafsir Islam (Inggeris & Arab), Pengenalan aqidah & Syariah Dalam Islam (Introduction to Islamic Theology & Law), Halangan Muhammad & beliau juga pengasas gerakan antihadith. Beliau dianggap pakar dalam bidang hadith oleh rakan-rakan Orientalisnya. Mendakwa Quran diubah selepas Baginda s.a.w wafat.

Kajian Goldziher Tentang Hadith
Sekurang-kurangnya ada empat perkara mengenai kesalahan Goldziher dalam mengkaji hadith iaitu:-

i. Mendefinisi Hadith dan Sunnah.
Goldziher hanya cenderung mengemukakan aspek bahasa (etimologi) dari kedua istilah tersebut dan tidak berusaha memahami dari sudut pengertian lain. Di dalam bukunya Muhammadanische Studien, Goldziher telah menyimpulkan hadith sebagai tutur atau perkhabaran yang berlaku dikalangan penganut kehidupan rohani. Disamping itu, hadith juga dianggap sebagai catatan sejarah baik yang bersifat duniawi mahupun keagamaan, baik yang berasal dari zaman silam maupun tentang peristiwa-peristiwa dari zaman mutakhir sedangkan sunnah pula menurut Goldziher hanya sebuah tradisi, adat istiadat dan kebiasaan yang berlaku dalam masyarakat Arab pra-Islam yang diikuti secara turun-temurun oleh seluruh anggota masyarakat. Pengertian yang sama ini juga dipakai dalam Islam.

Pendapat yang dikemukakan oleh Goldziher tentang hadith dalam pengertian secara etimologinya (bahasa) boleh diterima kerana dikalangan ahli hadith, secara etimologi hadith juga diartikan sebagai jalan, arah, peraturan metod dan cara tindakan atau sikap hidup. Namun perlu ditekankan, bahawa hadith tidak hanya mempunyai pengertian secara etimologi saja, akan tetapi juga memiliki pengertian spesifik di kalangan Muhaddisin. Malangnya perkara penting ini tidak diungkapkan oleh Goldziher, padahal pengertian inilah yang lebih penting. Demikian halnya dengan sunnah, yang dikatakan berasal dari amalan hidup masyarakat arab jahiliyah yang akhirnya diterjemah dalam kehidupan Rasulullah S.A.W.

ii. Pandangan beliau berkenaan dengan masyarakat Islam pada abad kedua dan ketiga yang menurutnya dari situlah punca munculnya banyaknya hadith.

Goldziher telah mengemukakan sebuah teori yang mengatakan bahawa kemunculan sesuatu Hadith berkaitan erat dengan pertumbuhan masyarakat Islam selama dua abad pertama hijrah yang dicorakkan dengan konflik-konflik politik dan agama. Golongan-golongan yang saling merebut pengaruh ini telah menggunakan hadith untuk memperkuat kedudukan politik mereka mahupun untuk kepentingan lainnya. Bahkan semua ajaran dan pendapat mereka telah disampaikan dalam bentuk hadith yang sebahagian besarrnya adalah palsu, sedangkan setiap hari hadith palsu ini semakin bertambah. Akibatnya, menurut Goldziher agak mustahil untuk mengumpul sedemikian banyak hadith bagi mendapatkan suatu bagian yang benar-benar asli yakni yang berasal dari Rasulullah S.A.W atau generasi Sahabat. Demikian juga dengan bahan-bahan dan catatan-catatan Hadith yang berasal dari abad ke 3 hijrah sehingga 9 hijrah, beliau menyarankan agar tidak dipercaya secara keseluruhannya sebagai sumber ajaran dan perilaku Rasulullah s.a.w, sebelum adanya bukti-bukti yg menunjukkan kesahihannya.

Gambaran pemikiran Goldziher tentang keadaan masyarakat Islam semasa pemerintahan Bani Umayyah dan Abassiyah yang penuh dengan konflik, baik dalam masalah politik mahupun masalah keagamaan sebagai keadaan masyarakat yang sangat berpotensi bagi menghasilkan hadith-hadith palsu. Ini adalah benar kerana bukti menunjukkan pemalsuan hadith mulai berkembang pada masa Khalifah Ali bin Abi Thalib ra yang secara tepatnya pada tahun 40 hijrah ketika terjadi pertentangan politik antara para penyokong Ali ra dan penyokong Muawiyah yang di akhiri dengan peristiwa tahkim lalu menjadikan Muawiyah sebagai Khalifah pada ketika itu. Peristiwa tersebut akhirnya melahirkan aliran-aliran politik yang memanfaatkan hadith sebagai salah satu media untuk menguatkan hujah-hujah dan pendapat-pendapat mereka.

Walaubagaimanapun, ilustrasi yang digambarkan Goldziher tentang masyarakat Islam hanya difokuskan pada zaman pemerintahan Umaiyyah dan Abassiyyah sahaja, tanpa memperdulikan waktu sebelumnya. Maka, secara tepatnya gambaran yang disimpulkan oleh Goldziher hanyalah mewakili separuh waktu kedua dari zaman perkembangan hadith secara keseluruhan, sementara keadaan masyarakat Islam pada waktu perkembangan separuh masa pertama tidak dibahas secara mendalam sedangkan pada waktu itulah sudah berlangsungnya proses periwayatan hadith baik pada zaman Rasulullah S.A.W mahupun pada zaman al-Khulafa' al-Rasyidin.

Selain itu, sesudah generasi Sahabat berlalu, khususnya sesudah Hadith terhimpun dalam kitab-kitab Hadith, telah digariskankan tatacara penyampainan dan penerimaan riwayat hadih Rasulullah s.a.w. Garis paduan tersebut amat berkaitan dengan kemampuan para ulama untuk menyelamatkan hadith Rasulullah s.a.w dari pemalsuan-pemalsuan hadith yang sedang berkembang. Di samping itu, gambaran Goldziher tentang masyarakat Islam juga belum menggambarkan aktiviti masyarakat secara menyeluruh. Goldziher sama sekali tidak membincangkan tentang kegiatan pendidikan yang telah berlaku pada abad pertama hijrah sedangkan kegiatan tersebut dapat menjelaskan permasalahan-permasalahan yang jelas berlawanan dengan kesimpulan-kesimpulan yang dibuat olehnya. Sejarah telah merakam bagaimana kegiatan periwayatan di awal periwayatan hadith tidaklah dilakukan dengan sebarangan.

iii. Tuduhan Goldziher terhadap Imam al-Zuhri sebagai pemalsu Hadith kerana kepentingan politik.

Seperti golongan orientalis lain, Goldziher tidak lari mempertikaikan kejujuran ulama contonya seperti imam al-Zuhri sebagai penyusun hadith bahkan beliau menuduh imam al-Zuhri sebagai salah seorang yang turut terlibat dalam pemalsuan hadith. Tidak cukup dengan itu, Al-Zuhri dikatakan telah dieksploitasi oleh penguasa-penguasa Bani Umayyah dalam rangka membuat Hadith-hadith palsu untuk kepentingan politik mereka. Menurut beliau, pada masa pemerintahan Abd Malik bin Marwan, telah berlaku ketegangan politik antara beliau dengan Abdullah bin Zubair yang menguasai Makkah dan sekitarnya. Pemergian sejumlah besar kaum Muslimin baik untuk melaksanakan haji ataupun umrah di Masjid al-Haram dikhuwatiri akan menjadi penguat bagi kekuasaan Abdullah bin Zubair, bahkan mungkin berbai’ah kepadanya maka untuk mengurangi hasrat kaum Muslimin pergi ke Masjid al-Haram, perlu ditanamkan kepada mereka bahawa sebenarnya status Masjid Nabawi dan Masjid al-Aqsa sejajar dengan Masjid al-Haram. Namun untuk melaksanakannya perlulah didasari dengan sebuah hadith. Oleh karena itu, Abd Malik bin Marwan telah mendorong imam al-Zuhri untuk meriwayatkan (membuat) hadith. Dengan demikian, beliau berharap agar orang-orang Syam tidak lagi ke Makkah tetapi cukup sekadar pergi ke Qubbah al-Sakhra di al-Quds yang pada saat itu berada di wilayah kekuasannya. Hadith-hadith yang dimaksud adalah: “Laa tasyuddu al-rihala illa ila tsalatsati masajida, masjidi hadza wa masjidi al haram wa masjidi al aqsa” dan Hadith “Ash salaatu fi masjid al-aqsa tu’adilu alfa shalatin fima siwahu”.

Tidak ada bukti-bukti sejarah yang memperkuat teori Goldziher ini, bahkan sebaliknya pula berlaku. Ulama berbeza pendapat tentang kelahiran imam al-Zuhri, iaitu antara 50 sehingga 58 hijrah sedangkan menurut Musthofa Azami dalam bukunya, “Dirasat fil Hadith an-Nabawi wa Tarikh Tadwinih” mengatakan bahawa Abdul Malik bin Marwan mula terfikir untuk membangun Qubbah Shakhra pada tahun 68 hijrah. Jika demikian, imam al-Zuhri pada saat itu baru berumur 10 sehingga 18 tahun. Maka sangat tidak logik seorang kanak-kanak yang baru berumur belasan tahun sudah terkenal sebagai seorang intelektual dan memiliki reputasi ilmiah di luar daerahnya sendiri. Ditambah lagi dengan keadaan Syam pada waktu itu masih terdapat ramai para Sahabat dan Tabi’in, yang mana mereka tidak mungkin sesekali akan diam sahaja apabila melihat kejadian itu berlaku. Di dalam riwayat tersebut juga tidak ada satu isyarat yang menunjukkan bahwa ibadah haji dapat dilakukan di Al Quds, tetapi yang ada hanyalah berkenaan pemberian ‘keistimewaan’ kepada Masjid al-Aqsa. Hal ini sewajarnya mengingat kita bahawa masjid itu pernah dijadikan kiblat pertama bagi umat Islam. Di sudut lainnya, Goldziher kelihatan hanya menuduh imam al-Zuhri sahaja sebagai pemalsu hadith tersebut sedangkan hadith tersebut telah diriwayatkan juga oleh lapan belas orang selain imam al-Zuhri. Ini jelas menunjukkan, tuduhan-tuduhan Goldziher terhadap imam al-Zuhri adalah fitnah semata-mata.

iv. Tuduhan Goldziher terhadap metode kritik hadith ulama terdahulu

Musthofa Azami menyatakan bahawa Ignaz Goldziher telah menuduh penelitian hadith yang dilakukan oleh ulama terdahulu terutama Imam Bukhari tidak dapat dibuktikan secara ilmiah karena kelemahan dari segi metodenya. Hal itu menurut Goldziher, karena para ulama lebih banyak menggunakan metode kritik sanad dan kurang menggunakan metode kritik matan. Akhirnya, Goldziher telah menawarkan metode kritik baru yaitu kritik matan sahaja.

Hakikatnya para ulama terdahulu sudah pun menggunakan metode kritik matan. Cuma yang dimaksud kritik matan oleh Goldziher itu berbeza dengan metode kritik matan yang diguna pakai oleh para ulama. Apabila kita mempelajari "Ilmul 'Ilal", kita secara tidak langsung akan mengakui sendiri bahwa dakwaan Goldziher itu adalah salah. Dengan mempelajari ilmu yang merupakan ilmu paling rumit dalam kajian Ilmu Hadith ini, kita mampu mengetahui dengan jelas bahawa kajian terhadap matan hadith sejak dulu adalah merupakan sesuatu yang sangat ketat malah merupakan salah satu punca berdirinya Ilmu “Jarh wa Ta'dil”. Ini menunjukkan, “Ilmu Ilal” inilah yang merupakan jalan dari apa yang kita kenal sebagai kritik riwayat.

KESAN PEMIKIRAN GOLDZIHER

Menurut Dr. Atikullah bin Hj Abdullah, pengaruh Orientalis dalam bidang hadith telah tersebar luas sehingga melahirkan golongan yang anti hadith iaitu mereka yang menganggap umat Islam tidak perlu kepada hadith untuk memandu kehidupan mereka tetapi umat Islam hanya perlu bergantung sepenuhnya kepada al-Quran kerana lebih terjamin keasliannya. Jika pengaruh-pengaruh Orientalis ini berjaya meresap, sebahagian besar bahkan semua hadith yang diterima pakai oleh umat Islam pada zaman ini akan ditinggalkan. Inilah yang matlamat sebenar kumpulan terbabit. Walhal dalam Islam, sunnah atau hadith adalah sumber kedua kepada hukum selepas al-Quran.
Dari segi perundangan Islam pula, golongan ini kelihatan berjaya memainkan peranan mereka menyimpulkan bahawa undang-undang bukanlah sebahagian ajaran Islam kerana Islam hanya menekankan aspek akidah, moral dan akhlak. Bertopengkan atas nama keadilan dan hak asasi, pengaruh ini semakin jelas berkembang dalam kalangan masyarakat Islam. Buktinya dapat dilihat menerusi suara-suara yang memperjuangkan hak kebebasan sepenuhnya atau lebih dikenali dengan Islam liberal di kalangan umat Islam untuk menentukan apa yang baik dan buruk untuk mereka. Ayub al-Sakhtiyani pernah berkata, "Apabila engkau mengajar hadith kepada seseorang, kemudian dia berkata, "Tidak perlu menggunakan hadith, ajarkanlah kami hanya al-Quran sahaja", maka ketahuilah bahawa orang tersebut sesat lagi menyesatkan."

Di antara mereka yang sangat terpengaruh dengan pemikirannya adalah Abdul Manan Harun, Othman Ali dan Dr. Kassim Ahmad yang pernah menukilkan sebuah buku yang berjudul,”Hadith: Satu Penilaian Semula” pada tahun 1986. Di dalam buku tersebut, Dr Kasim Ahmad telah menolak hadith sebagai sumber aqidah dan perundangan Islam berdasarkan faktor-faktor berikut:-

• Pembukuan kitab-kitab al-Hadith, terutama enam buah buku al-Hadith (Sunan al-Sittah), dibuat pada akhir abad kedua dan permulaan abad ketiga Islam, iaitu di antara 200 dengan 300 tahun setelah Rasulullah s.a.w. wafat.
• Pembukuan ini pula tidak dibuat lebih awal, khasnya dalam pemerintahan al-Khulafa' al-Rasyidin.
• Kewujudan al-Hadith menimbulkan pertelagahan politik, faham kepuakan, anti intelektualisme, kebekuan dan opurtunis politik.

Beliau telah cuba menubuhkan Jamaah al-Quran Malaysia (JAM) tetapi gagal kerana tidak mendapat kebenaran dari kerajaan Malaysia. Walaubagaimanapun ini tidak bermakna beliau tidak dapat bergerak langsung, malahan beliau masih aktif menulis di akhbar-akhbar utama mencurahkan idea-idea anti hadithnya. Kasim Ahmad juga mendakwa bahawa hadith-hadith telah mewujudkan faham kepuakan (assobiyah) sedangkan hadith-hadith yang mendokong kepada kefahaman kepuakan adalah terdiri daripada hadith-hadith yang sememangnya palsu (maudhu') yang ditolak oleh umat Islam. Menurut sumber bekas pemimpin anti hadith Malaysia ini akhirnya telah bertaubat sebelum meninggal dunia.

Ayub al-Sakhtiyani berkata: "Apabila engkau mengajar Hadith kepada seseorang, kemudian dia berkata: "Tak perlu pakai Hadith, ajarkan kami al-Quran sahaja", maka ketahuilah bahawa orang itu sesat dan menyesatkan."



KESIMPULAN

Musuh-musuh Islam dari kalangan yahudi mahupun barat sememangnya sentiasa memcari ruang untuk merosakkan umat Islam. Justeru itu salah satu cara yang mudah bagi mereka adalah dengan menguasai ilmu yang dimiliki oleh umat Islam. Kajian demi kajian dilakukan hanya untuk mencari kelemahan mahupun kekurangan di dalam agama Islam namun hanya kegagalan yang menjadi jawapan. Akhirnya mereka mengambil bahagian dalam menyampaikan apa sahaja ilmu yang berkaitan dengan Islam dalam corak pemikiran ciptaan mereka sendiri. Tidak cukup sekadar itu, mereka juga cuba meracuni pemikiran umat Islam agar lebih menerima hasil kajian serta analisis mereka lebih dari menerima hasil ilmu para-ulama. Ini jelas dengan pengiktirafan-pengiktirafan yang diberikan kepada mereka terutama mereka-mereka yang berjaya menjadikan ilmu mereka yang jelas terpesong itu diterima pakai oleh semua khasnya umat Islam.
Selain itu, mereka juga mewujudkan institusi-institusi pengajian tinggi yang mengkaji tentang Islam yang dinamakan center of Islamic Studies seperti di Oxford University malah sering mengajak para Ulama serta pelajar Islam untuk membincangkan juga mengkaji segala sesuatu yang mempunyai kaitan dengan Islam atas tiket toleransi juga supaya dapat saling faham memahami sedangkan pada hakikatnya mereka menyimpan hasrat untuk mengsabotaj agama Islam. Buktinya mereka telah menetapkan syarat-syarat yang jelas merendah-rendahkan agama Islam untuk melayakkan pengajian Islam itu mendapat taraf akedemik.
Di sini dapatlah disimpulkan bahawa Yahudi dan Barat saling bekerjasama dalam merosakkan umat Islam dengan menggunakan berbagai-bagai cara. Maka umat Islam perlu lebih berhati-hati dalam menerima kebaikan mereka dari segala macam segi mahupun faktor kerana mereka memiliki agenda-agenda tertentu yang tersembunyi lagi amat berbahaya kepada umat Islam.


Firman Allah SWT yang bermaksud;

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar". dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu Yang Memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.” (Surah al-Baqarah :120)

Akhir kata, sebagai seorang umat Islam perlu dia merenung serta mengkaji setiap peristiwa dan perkara di sekeliling kita. Punca daripada sikap tidak ambil tahu serta mentaliti umat Islam yang kurang peka menyebabkan aliran pemikiran yang muncul pada hari ini merosakkan akidah dan mencerai-beraikan pakatan umat Islam. Dalam al-Quran mempunyai lebih kurang 800 rujukan yang berkaitan dengan ilmu, jadi di sini telah menunjukkan ilmu itu sangat penting bagi umat Islam. Penurunan ayat pertama dalam surah al-Alaq ayat pertama telah jelas menunjukkan pada kita tentang mencari ilmu sebagai umat Islam. Ilmu yang terpenting adalah yang berkaitan dengan pembangunan insane yang merujuk kepada agamanya, akidahnya, Tuhannya, serta memahami hokum-hukum Allah SWT. Apabila seseorang itu beriman bahawa Allah itu Esa, dia diperintah mencari ilmu dan beramal soleh.

Sebagai seorang umat Islam bukannya hidup keseorangan, malah seseorang itu wajib meletakkan dirinya dalam jemaah serta hal ehwal kemasyarakatan dalam urusan harian dan juga hal ehwal Islam tanpa mengira sempadan. Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud “Seseorang yang jelas mendapat faedah harus kembali kepada mereka yang memerlukan, dan sesiapa yang mempunyai makanan berlebihan harus kembalikannya kepada mereka yang tiada makanan”. (Riwayat Muslim). Umat Islam wajib bangkit dan bersatu kembali untuk melawan atau menghalang aliran pemikiran yang negatif terhadap Islam supaya generasi akan datang dapat djauhi daripada doktrin-doktrin Barat. Dengan kekuatan serta ketakwaan ummah baru kita mampu mengharungi segala racun yang disuntik oleh Yahudi dan Barat yang selama ini cuba menghancurkan Islam di muka bumi ini.

Comments

Popular posts from this blog

Falsafah dan pemikiran Socrates

Peranan Paul dalam Kristian

Ulasan Buku: Seni berfikir yang hilang karya Ust Hasrizal