Bagaimana khabar iman hari ini? Saat ini?

“Awal-awal agama mengenal Allah”.. satu ungkapan yang didengar sejak di bangku sekolah lagi. Namun, akal yang cetek ini tidak mampu menanggapi maksud sebenar di sebalik ayat ini melainkan merasa memadai dengan mata pelajaran akidah yang menjadi sebahagian daripada silibus sekolah pada masa itu.

Masa terus berlalu..hari demi hari dengan sangkaan yang sama.. Melainkan di peringkat diploma baru ku merasakan..oh, aku tak faham lagi rupanya konsep qada’ dan qadar ni..Dengan bantuan pensyarahku, aku dapat memahaminya dengan bentuk yang mudah (dan sesuai dengan akalku, aku kira)..

Namun, masa terus berlalu..ujian hidup semakin berat dan datang dalam pelbagai bentuk pula. Dari sekecil-kecil ujian yang bersifat akliah (exam) sehinggalah ujian bersifat emosi dan hati (cintan la tuh).. pada ketika ini, aku seringkali diingatkan oleh ibuku (yang tidak pernah duduk di bangku sekolah agama) betapa segala yang baik dan buruk itu hanya milik Allah.. Oh, pada ketika ini aku mulai faham inilah dia praktikalnya keimanan kepada qada’ dan qadar. Ungkapan ibu yang tidak dapat ku lupa:

“Semoga Allah menentukan yang terbaik untuk kita di sisiNya..Sekalipun kita dapat yang terbaik di mata makhluk, tidak mesti itu yang terbaik di sisiNya. Begitu juga, sekalipun kita memperoleh yang tidak ‘cantik’ di sisi manusia, yakinlah itu adalah yang terbaik di sisiNya..”

Masa terus berjalan lagi..aku melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah di luar negara. Yelah, negara orang..segala tekanan, segala permasalahan, segala perkongsian tiada lagi ibu untuk dijadikan sumber rujukan..hanya Aku dan ALLAH. Itulah pesan yang ayah titipkan sebelum aku berangkat:

“Ayah tidak begitu risaukan hampirnya Allah denganmu tetapi yang ayah ingin tekankan ialah bagaimana hampirnya dirimu kepada Allah”.

Sekali lagi, aku mendapat pengajaran yang bermakna.. Tuhan itu sentiasa bersama hambaNya tapi kita yang seringkali bergantung harap kepada makhlukNya. Bagaimana mungkin?

Usia semakin meningkat, kehidupan semakin berubah sehinggalah aku mendirikan rumah tangga dan dikurniakan dua orang cahaya mata dalam jarak masa yang tidak jauh. Di samping itu, aku juga sibuk meladeni karenah para pelajar yang dalam pelbagai latar belakang dan bentuk.

Tercetus di fikiranku..apakah faktor sebenar (X-Factor) kepada pembentukan diri manusia?

Aku terus meneruskan khidmatku sebagai pengajar..dan aku mendapati asas pembentukan manusia ialah aqidah..

Maka, timbul pula persoalan lain..bagaimanakah untuk menanamkan asas ini dalam diri? Di zaman yang ujiannya maha hebat..dosa pahala bercampur baur..mutiara dan sampah saling tak tumpah..

Hingga kini persoalan itu terus bermain di fikiranku..

Comments

Popular posts from this blog

Falsafah dan pemikiran Socrates

Peranan Paul dalam Kristian

Ulasan Buku: Seni berfikir yang hilang karya Ust Hasrizal