Sampai bila?

Assalamualaikum..

Saya perhatikan bahawa sesetengah orang sering mempunyai perasaan tidak puas hati atau tidak senang terhadap kehidupan orang lain. Perasaan tidak senang ini pula tidak semestinya dizahirkan dengan perbuatan-perbuatan tercela seperti mengumpat, mengata atau menjatuhkan. Tetapi dilakukan dengan cara yang sebaliknya. Antara tindakan yang dilakukan bagi memuaskan hati mereka ialah dengan cara provokasi, memuji dengan cara berlebih-lebihan, mengambil hati orang tersebut agar lebih mudah diperdayakan dalam mendapatkan cerita-cerita yang bersifat peribadi atau berpura-pura simpati terhadap permasalahan dengan tujuan untuk meracuni akal fikiran sasaran mereka.

Sikap ini tidak mengira orang sama ada kaum keluarga sendiri, ipar duai, jiran-jiran termasuklah juga rakan sekerja. Secara peribadi, saya berpendapat sikap ini begitu menjengkelkan. Mereka ini biasanya mengamalkan sikap talam dua muka dalam kehidupan. Menjadi persoalan kepada saya, sejauh manakah mereka akan terus bersifat hipokrit? Pernahkah mereka terfikir bahawa sikap mereka itu akan memakan diri mereka satu hari nanti?

Seharusnya kita selaku manusia sentiasa sedar bahawa kehidupan di dunia ini ada pasang surutnya. Benar, hari ini kita bertuah tetapi siapa dapat menjangkakan 'tuah' untuk keesokan hari? Bagaimana dengan rezeki yang kita anggap ia sebagai satu 'kekurangan'..adakah 'bahagian' kita itu sudah disyukuri? Mengapa kita seolah-olah tidak dapat melihat betapa ADILNYA ALLAH itu mengurniakan SETIAP hamba-nya apa yang mencukupi bagi mereka?

Jika orang itu berharta, maka Allah kurniakan kepadanya jalan-jalan yang pelbagai untuk disalurkan hartanya itu seperti anak yang ramai atau kesihatan yang tidak begitu baik atau tanggungan yang ramai.. Begitu juga apabila seseorang itu tidak diberi harta yang melimpah ruah, maka Allah kurniakan pula kepadanya keperluan perbelanjaan yang sedikit di samping kemampuannya untuk tahan lasak dan punyai daya usaha yang tinggi.

Maka, apa perlunya kita saling dengki di antara satu sama lain? Di mana untungnya kita? jika kepuasan hati yang dicari dan ditagih, maka apakah hati itu akan tenang setiap kali orang lain berjaya melepas musibah yang menimpanya? Persoalannya, sampai bilakah kita akan membazirkan usia kita hanya untuk menjatuhkan orang lain dan berdengki dengan rezeki Allah kepada mereka?

Benarlah sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

" Ajaib sungguh orang mukmin itu. Apabila dia ditimpa musibah, dia sabar. Maka ada kebaikan padanya. Manakala apabila dia dikurniakan kesenangan, dia bersyukur. Maka itu juga ada kebaikan padanya. Tidak akan ada sifat ini melainkan hanya pada mukmin."

Hasilnya, ketenangan bukan?! Betapa mukmin itu adalah orang yang sentiasa tenang hatinya dek kerana keyakinannya yang tinggi kepada ALLAH, YANG MAHA PEMBERI REZEKI. Tidak terlintas langsung di hatinya perasaan cemburu, iri hati terhadap orang lain malah sentiasa memandang sisi positif kepada apa yang diperolehinya daripada Allah. Lantas, dirinya akan sentiasa berada dalam motivasi yang tinggi dan mampu pula menjana peningkatan diri dari hari ke hari.

"SETIAP YANG ADA DI ATASNYA (DUNIA) PASTI AKAN BINASA, YANG KEKAL HANYALAH WAJAH ALLAH TUHAN-MU YANG MEMILIKI KETINGGIAN DAN KEMULIAAN." (al-Rahman 78: 26-27)

Wallahua'lam.

Comments

Popular posts from this blog

Falsafah dan pemikiran Socrates

Peranan Paul dalam Kristian

Ulasan Buku: Seni berfikir yang hilang karya Ust Hasrizal