Buku oh buku..

Baru-baru ini saya ditegur oleh ayahanda (teguran selepas berkahwin) betapa kurangnya saya membaca buku bagi menambahkan ilmu. Kata ayah :

" Rasanya ayah lebih banyak membaca berbanding kak long. Kak long seorang pengajar sepatutnya kena banyak membaca."

Ya, saya akui kata-kata ayah tersebut. Saya juga mengakui bahawa ayah walaupun seorang jurutera yang tersangat sibuk namun setiap malam dan setiap bulan pasti ada buku yang dibeli dan dibacanya. Bacaan beliau pula menjangkau semua bidang dan tidak tertumpu kepada bidang kejuruteraan apatah lagi tidak pula terhad kepada fardu ain semata. Lihat sahaja koleksi buku ayah, daripada buku sejarah sehinggalah kepada ensiklopedia semuanya tersusun. Tentunya, semua telah dibaca! Berbeza dengan saya, walaupun buku-buku saya juga banyak sehingga tiga almari namun hanya beberapa buah baru dibaca manakala sebilangan lain hanya diselak bila diperlukan. Betapa daifnya diri ini! Ilmu yang ada pun saya tahu hanyalah setakat ilmu zaman diploma dahulu sedangkan ketika ini saya baru sahaja menyelesaikan Sarjana. (Waduh, malu sekali pada diri sendiri!)

Mulai malam itu, saya berazam untuk menghabiskan sebuah buku setiap bulan dimulai dengan buku berjudul 'Ahli Sihir ke Tali gantung' dipinjam dari perpustakaan ayah. Apa yang menarik tentang buku ini? Entah, saya pun tidak dapat menjawabnya.

Setelah seminggu saya 'berusaha' membaca, akhirnya berjaya juga saya tamatkan pembacaan dengan kepuasan yang begitu manis rasanya. Perasaan ini menjadikan saya semakin berkobar-kobar untuk teruskan membaca buku-buku yang selama hari ini 'tersenyum' di atas almari. (Heheh)

Di dalam buku tersebut, pengarangnya telah mencadangkan agar Malaysia menggubal satu rang undang-undang bagi mengadili sebarang bentuk jenayah yang melibatkan sihir dan ilmu hitam. Cadangan ini dipercayai merupakan hasrat beliau selaku orang yang tahu selok-belok perundangan di Malaysia. Beliau telah membuat perbandingan dengan perundangan jenayah sihir di serata dunia. Fakta yang mengejutkan, perundangan jenayah sihir ini sebenarnya telah lama wujud dari zaman berzaman. Cuma ia dioleh sesuai dengan edaran zaman dan gaya hidup masyarakat setempat.

Pengarang juga telah menjelaskan maksud saka, histeria, sihir dan istilah-istilah lain yang berkaitan sebagai panduan bagi para pembacanya. Kejelasan istilah yang dikemukakan ini menjadi landasan bagi beliau dalam mengusulkan cadangan tersebut. Rupa-rupanya terdapat maksud khusus bagi setiap istilah yang kelihatan 'sama' itu.

Secara umumnya, saya berpendapat bahawa buku ini baik dan berguna untuk mereka yang ingin mengenali secara ringkas ilmu sihir, sejarah serta cabangnya. Manakala pada perbahasan yang lebih lanjut mengenai undang-undang mungkin lebih difahami bagi mereka yang berminat. Namun begitu, bagi mereka yang kurang pengetahuan tentang undang-undang (macam saya), pengarang menjelaskan setiap istilah tersebut dengan begitu baik sekali.

Wallahua'lam, itu hanyalah pandangan saya secara umum dan bersifat peribadi. Tahniah dan syabas buat pengarang kerana berani mengetengahkan isu ini dengan kupasan ilmiah tetapi dekat dengan masyarakat awam.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: "Sesungguhnya Kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah Engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)". Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. dan demi Sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi Sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.dan kalau sebenarnya mereka itu tetap beriman dan bertaqwa (nescaya mereka akan mendapat pahala); Sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu adalah lebih baik, kalau mereka mengetahui. (al-Baqarah: 102-103)

Comments

Popular posts from this blog

Falsafah dan pemikiran Socrates

Peranan Paul dalam Kristian

Ulasan Buku: Seni berfikir yang hilang karya Ust Hasrizal