Forum Double 4 Flat

Sudah lama sebenarnya saya ingin memasukkan entry ini namun inilah masa yang saya perolehi untuk melakukannya. Forum Double 4 Flat ialah salah satu forum yang saya diberikan kesempatan untuk menyertainya pada bulan Jun 2011 yang lalu. Di antara panelis forum ini ialah Prof. Dr. Kamaruzzaman Yusof, salah seorang pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Salah satu perkara yang saya kagumi pada panelis ini ialah sekalipun beliau bukanlah pensyarah dari Fakulti Pengajian Islam, namun beliau mempunyai pemikiran yang Islami (pada saya). Di sini saya dapat melihat betapa indahnya Islam yang sama sekali tidak memisahkan di antara agama dan dunia.

Di antara soalan yang ditujukan kepada panelis tersebut yang menarik perhatian saya ialah: Bagaimanakan tokoh agamawan dahulu mampu untuk menyusun buku sedangkan pada masa yang sama mereka sibuk berjuang untuk membangunkan semula daulah Islamiyyah?

Jawapan daripada panelis yang dapat saya petik ialah: Perbezaan zaman dahulu dan sekarang. Zaman sekarang memperlihatkan keupayaan yang terhad di kalangan para pejuangnya. Sedangkan pada zaman dahulu, kita dapat melihat betapa tokoh masyhur berkemampuan untuk menghasilkan fatwa pada usia yang muda (belasan tahun) lagi ditambah pula dengan kemampuan menghafaz al-Qur’an (berserta tafsirnya) pada usia kanak-kanak dan awal remaja lagi. Berbeza dengan pemuda hari ini yang hanya tamat belajar pada usia 25 tahun (paling minima).

Keduanya ialah dari segi faktor pemakanan. Pemakanan hari ini yang telah banyak diUBAH SUAI menjadi SEGERA dan CANGGIH memberi kesan kepada perkembangan otak generasi kini. Berbeza dengan masyarakat dahulu yang hanya memakan makanan daripada sumber asli tanpa disertai bahan pengawet dan perasa tambahan.

Ketiga, adanya gangguan hari ini yang disebut sebagai TEKNOLOGI. Masyarakat hari ini begitu ‘bergantung’ kepada handset, facebook dan televisyen. Ini dapat dilihat apabila hampir kesemua rumah mempunyai perkara-perkara tersebut. Adalah menjadi perkara yang hampir mustahil untuk menemukan seseorang yang tidak langsung terdedah dengan perkara-perkara tersebut.

Namun begitu, kesemua cabaran di atas dapat diatasi dengan usaha daripada diri sendiri iaitu dengan mengawal kesemua faktor seperti pemakanan dan teknologi. Ini dapat dilakukan dengan meletakkan set pada diri sendiri bahawa fokus utama dalam kehidupan ialah untuk menyebarkan dakwah dengan cara tersendiri. Jika berkemampuan dalam menulis, maka menulislah manakala jika mampu untuk bercakap, maka bercakaplah dan seumpamanya. Pada hakikatnya, tradisi menulis merupakan kelebihan yang tidak ada pada semua orang. Justeru, ia perlu diasah dan dilatih sedikit demi sedikit. Boleh dimulai dengan tulisan yang ringkas seperti di faceboook, blog, cerpen sebelum meningkat kepada laporan, artikel dan buku. Antara perkara yang perlu disedari bahawa terdapat juga ulama yang tidak menulis tetapi mempunyai ramai anak murid yang bertugas menyampaikan dakwah dan meneruskan perjuangan. Wallahua’lam.

Kesimpulan yang saya dapat: Berusahalah sedaya mampu untuk menyebarkan keindahan Islam bukan sekadar seruan sahaja bahkan cuba juga untuk menjadikan Islam sebagai cara hidup dan neraca dalam membuat pilihan di atas muka bumi ini.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Sampaikanlah dariku walau sepotong ayat."

Comments

Popular posts from this blog

Falsafah dan pemikiran Socrates

Peranan Paul dalam Kristian

Ulasan Buku: Seni berfikir yang hilang karya Ust Hasrizal