Ada apa dengan usrah

Setelah lima tahun saya meninggalkan dunia pengajian, selama itu jugalah saya meninggalkan usrah. Sebenarnya, saya tidak pernah menyertai usrah secara sukarela. Semua pengalaman usrah yang saya lalui adalah kerana diwajibkan oleh pihak sekolah dan pihak IPT. Bukan tidak pernah kawan-kawan mengajak, malahan ada di kalangan guru turut mengajak untuk menyertai usrah. Namun, hati saya seakan tidak bersedia untuk memberikan komitmen terhadap usrah itu sendiri. Saya lebih senang bersendiri dan hanya berkongsi ilmu dengan suami dan para pelajar.

Baru-baru ini, tempat saya bekerja telah mewajibkan semua kakitangannya untuk menyertai usrah. Apa yang mengejutkan ialah saya dilantik menjadi salah seorang daripada naqibah (moderator usrah). Terkedu saya seketika. Bagaimana mungkin saya seorang yang telah meninggalkan usrah sekian lama perlu memimpin usrah hari ini?

Hanya Allah yang tahu betapa gusarnya hati ini tatkala kami diaturkan untuk pertemuan pertama. Apatah lagi, saya mendapat tahu bahawa di antara ahli usrah saya ialah mereka yang pernah memegang jawatan ketua bahagian di jabatan masing-masing. Namun begitu, saya tetap kuatkan hati kerana saya tahu pelantikan ini tidak dapat saya tolak bahkan perlu diharungi juga.

Saya mula mencari isi-isi untuk dibentangkan dalam usrah kali pertama ini. Antaranya

Erti Usrah: Kumpulan saudara semuslim yang mempunyai kesatuan akidah, fikrah, sejarah dan cita-cita untuk saling bekerjasama dalam menegakkan daulah Islamiyyah.

Ciri-ciri Usrah: Dijalankan dalam kelompok kecil, dipengerusikan oleh seorang naqib/ah, berjalan seumpama mesyuarat/majlis ilmu dan zikir, membincangkan isu-isu berkaitan al-Qur'an, Sunnah dan hal semasa serta memerlukan penyertaan dari setiap ahli usrah dalam menjayakan usrah tersebut.

Kepentingan Usrah: Sebagai wadah untuk saling memperingati diri dan rakan-rakan, tempat untuk melakukan muhasabah diri, juga wasilah dalam mengikat silaturrahmi dan memupuk nilai ukhuwwah sesama ahli. Selain itu, usrah juga perlu sebagai salah satu daripada makanan jiwa yang perlu disuburkan sentiasa.

Ringkas, Tetapi tiga isi ini sahaja yang menjadi topik perbincangan kami. Rupa-rupanya ada di antara ahli usrah ini yang tidak memahami dan menyedari akan kepentingan usrah itu sendiri. Selain berpunca daripada ketiadaan pengalaman, ia juga berlaku kerana mereka kabur matlamat organisasi kami mewajibkan usrah kepada kakitangannya.

Wallahua'lam bissawab. Semoga Allah terus memandu saya dan ahli usrah lain untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Semoga usrah yang dijalankan bakal menjadi medan kami beroleh reda-Nya.

Selamat berusrah!

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu). (al-Hujuraat 49:13)

Comments

Popular posts from this blog

Falsafah dan pemikiran Socrates

Peranan Paul dalam Kristian

Ulasan Buku: Seni berfikir yang hilang karya Ust Hasrizal