Cerita Rabu malam khamis..

Assalamualaikum

Malam tadi saya tidur agak lewat kerana 'melayan' cerita hindustan.. Heheh.. Melepas gian pun iya juga. Untuk pengetahuan, saya adalah seorang peminat cerita hindustan ketika di bangku kolej satu masa dahulu. Tetapi atas faktor kesibukan dan 'larangan' encik suami menjadikan kegilaan saya ini sedikit berkurang. Ditambah pula, dengan kelahiran cahaya mata yang comel-comel menjadikan saya cukup berhati-hati ketika memilih rancangan televisyen.

Namun, malam tadi sedikit berbeza dengan malam-malam khamis yang lain. Pada mulanya saya bercadang untuk masuk tidur awal kerana ingin 'membetulkan' semula waktu tidur anak-anak di samping sebagai persediaan untuk bangun sahur keesokannya. Tetapi apa yang berlaku ialah ketika saya menukar siaran saya tertarik kepada sebuah cerita hindustan yang bertajuk 3 Idiots. Membaca tajuknya sahaja menjadikan saya kurang berminat untuk meneruskan tontonan. Tetapi saya pernah mendengar adik saya memberitahu bahawa cerita ini best. Jadi saya membuat keputusan untuk meneruskan sahaja tontonan.

3 Idiots mengisahkan tiga orang sahabat sekuliah, Rancho, Raju dan Farhan yang mengambil jurusan kejuruteraan di salah sebuah kolej terkemuka di India. Ketiga-tiganya mempunyai latar belakang yang berbeza. Rancho yang dikatakan seorang anak dari kalangan berada sering 'mencabar' pengurusan pihak kolej yang dianggap terlalu menekan pelajar untuk terus berlumba mendapatkan keputusan terbaik. Saya turut mengakui bahawa falsafah kolej yang mengatakan bahawa 'hidup manusia ditentukan dengan perlumbaan' itu adalah sebahagian daripada falsafah Marxisme. Kerana falsafah ini menggambarkan ciri mementingkan diri sendiri dengan mengenepikan rasa kemanusiaan dan rahmah yang merupakan fitrah manusia. Dan ini telah digambarkan dengan jelas dalam filem tersebut!

Buktinya, apabila seorang pensyarah menolak mentah-mentah jawapan Rancho yang tidak sama dengan apa yang tercatat dalam buku sekalipun ia betul. Selain itu, ada pelajar yang membunuh diri akibat digagalkan hanya kerana tidak dapat menghantar tugasan mengikut deadline yang ditetapkan sekalipun tugasan itu telah disiapkan dengan baik. Lebih teruk lagi apabila fitrah manusia yang inginkan kehidupan bersosial dinafikan oleh pihak kolej apabila mereka telah cuba memisahkan tiga sekawan ini sebaliknya menyokong penuh seorang pelajar iaitu Chatur yang hidupnya hanya dengan buku tanpa menghiraukan manusia sekelilingnya.

Di akhir cerita, Rancho yang terkenal dengan falsafahnya 'Seorang yang mengejar kejayaan pasti tidak akan menemuinya sebaliknya kejarlah kebahagiaan nescaya kejayaan akan mengejarnya pula' berjaya menduduki tempat pertama pada setiap tahun dunia kolejnya. Kecerdikannya ini menjadikan pihak kolej tidak dapat menyingkirkannya sekalipun dia begitu lantang menyuarakan pendapatnya yang mengatakan manusia terlalu diikat dengan sistem.

Akhirnya, Rancho dan rakan-rakannya berjaya menamatkan pengajian serta memulakan kehidupan kerjaya masing-masing. Rancho terus menjadi saintis yang menghasilkan pelbagai paten baru di samping membuka sebuah sekolah swasta yang menggalakkan para pelajarnya melakukan inovasi dalam kehidupan. Manakala Raju pula mendapat tempat sebagai tenaga pengajar di kolej tempat mereka belajar dan Farhan pula menjadi jurugambar binatang liar yang merupakan kerjaya paling diminatinya. Itupun setelah dia berjaya menghabiskan tahun akhir di kolej dan membuat keputusan untuk meneruskan kehidupan dengan apa yang diminati. Sedikit konflik timbul apabila ia bertentangan dengan harapan bapa Farhan yang inginkan anaknya menjadi jurutera atas alasan 'tidak mahu Farhan kecewa di kemudian hari'. Sebaliknya Farhan menyatakan 'Lebih baik saya kecewa dengan keputusan saya sebagai jurugambar berbanding saya menjadi jurutera dalam keadaan saya menyalahkan ayah sepanjang hidup saya'

Apa yang berlaku di antara dua beranak ini menjadi pengajaran kepada saya bahawa tidak semua yang dipandang oleh masyarakat itu baik untuk kita dan keluarga. Sebaiknya, jadilah diri sendiri barulah kita benar-benar akan dihormati. Jika kita hanya bergantung kepada kata-kata dan penilaian orang nescaya kita adalah orang yang terhina di mata mereka.

Secara peribadi, saya memberikan lima bintang untuk pengarah cerita yang sangat bermanfaat ini. Bukan mudah untuk menonton cerita hindustan yang tiada adegan asmara/pakaian yang menjolok mata seperti cerita ini. Ternyata, ia memberikan pengajaran dan faedah yang banyak pada saya dalam memerhati hikmah yang tersirat di sebalik kehidupan sehari-hari. Tambahan pula, kisah yang berlatarkan kolej ini sedikit sebanyak memberi panduan dan motivasi kepada saya supaya menjadi pengajar yang menggalakkan serta memaksimakan penggunaan akal para pelajar tidak lagi hanya tertakluk kepada buku atau kajian lepas semata.

"Sesuatu itu tidak bergantung kepada apa yang dilihatnya tetapi bagaimana ia melihatnya"~ Pahrol Juoi

Comments

Popular posts from this blog

Falsafah dan pemikiran Socrates

Peranan Paul dalam Kristian

Ulasan Buku: Seni berfikir yang hilang karya Ust Hasrizal