Apabila hari raya sudah hilang rohnya..

Bismillah hir rahmannir rahim..

Entry kali ini dikarang setelah berlalunya bulan Syawal. Meskipun begitu, kehangatan hari raya masih lagi dapat dirasa. Bukan apa, setelah meninjau dan memerhati keadaan sekeliling di hari raya ini saya dapati ramai lagi di antara umat Islam kita yang tidak menjiwai roh raya yang sebenar.

Ini terbukti apabila adab-adab berhari raya tidak dipelihara dengan baik, segala 'pantang larang' Ramadan sudah pun dilanggar.. Maka, apa lagi yang tinggal untuk diraikan pada hari raya kita?

PERTAMANYA, malam hari raya yang sepatutnya dihidupkan seperti anjuran baginda s.a.w digantikan dengan nyanyian dan tayangan rancangan televisyen yang pelbagai lagi terang nyata menyalahi syariat.
Ini bukanlah cara menyambut malam raya yang sebenar. Baginda s.a.w menyebutkan dengan mafhumnya:
"Barangsiapa yang menghidupkan malam dua hari raya, nescaya ALLAH akan hidupkan hatinya di kala hati orang lain mati".

Bukan mudah untuk mendapat jaminan sebegini daripada baginda s.a.w. Dan, bukan mudah untuk menahan hawa nafsu di malam raya berbanding menahannya 30 hari dalam bulan Ramadan. Oleh itu, marilah kita bersama2 menghidupkan malam hari raya dengan solat sunat, takbir, tasbih, tahmid dan bermaaf2an sesama saudara. Lakukanlah sedekah pada malam hari raya, semoga ALLAH mengembalikan kita kepada fitrah pada keeseokan paginya.

KEDUA, batasan aurat dan pergaulan sesama saudara yang tidak begitu diambil endah.
Masyarakat kita lupa bahawa antara keluarga masih ada batasan yang perlu dijaga, aurat yang perlu dilindungi. Siapa kata tidak ada nafsu sesama ipar? Dan siapa pula berani menjamin tidak ada syaitan yang menghias di kala sesama sepupu bersalaman? Ini tidak termasuk lagi apabila anak saudara isteri atau suami yang tidak boleh menyalami dan menunjukkan aurat di depan isteri atau suami kepada makcik dan pakciknya! Sesungguhnya masyarakat kita masih keliru dan celaru..

Mereka beranggapan bahawa perkahwinan menghalalkan hubungan di antara kedua-dua keluarga. Hakikatnya, tidak! Malah baginda s.a.w begitu tegas apabila sahabat mempersoalkan hubungan antara ipar. Baginda bersabda:
"Ipar-duai adalah MAUT (membawa kpd kebinasaan)!"

Apakah perkara yang lebih ditakuti manusia selain daripada mati? Begitulah perumpamaan dan ancaman yang diberikan baginda s.a.w berhubung kepentingan menjaga batasan antara kita dengan keluarga mentua. Justeru, saya menyeru kepada semua agar merujuk semula kepada para ustaz dan ustazah berkenaan batasan yang sebenar seperti yang digariskan syarak. Ketepikanlah adat yang tidak patuh syariat. Sebaliknya peganglah kata orang2 dahulu:
"Hukum bersendi Kitabullah, Adat bersendikan syarak."

KETIGA, kegembiraan yang tidak disalurkan dengan cara yang betul.
Manusia amnya memahami bahawa kegembiraan hanya dapat disalurkan dengan melampiaskan nafsu sesuka hati tanpa batasan. Pelbagai bentuk hiburan seolah2 'diizinkan' untuk memenuhi segenap ruang hidup sama ada dari sudut fizikal mahupun rohani. Islam sama sekali tidak melarang manusia daripada berhibur. Sebaliknya, Islam memandu umatnya untuk berhibur dengan cara yang betul, SESUAI DENGAN FITRAH dan bukan untuk menyekatnya.

Namun, nafsu manusia dengan sifatnya yang memberontak sengaja mencipta pelbagai rupa provokasi supaya jiwa manusia merasa lemah apabila berhadapan dengan syariat dan merasa kuat apabila menyokong nafsu. Persoalannya, antara pintu neraka dengan pintu syurga yang mana satukah yang lebih diingini? Tentu sekali manusia waras tidak akan mengaku dia menginginkan neraka sebagai tempat kediamannya.

Justeru, kita sebenarnya tiada pilihan lain melainkan untuk menuruti syariat dan menentang hawa nafsu yang amat suka sekali untuk bersuka ria. Nafsu itu sengaja memperhiaskan maksiat kerana ia ingin menarik umat manusia ke jalan neraka. Hanya kita yang seringkali diperbodohkan oleh nafsu itu.

Lantaran itu, saya berdoa untuk diri saya, keluarga saya serta umat Islam seluruhnya agar kita semua dapat terus sedar bahawa kehidupan kita ini pasti akan berakhir dengan kematian dan disusuli dengan perhitungan di hadapan ALLAH s.w.t kelak. Saidina Ali menyatakan: Jangan sesekali kau berasa gembira dan 'merdeka' sekalipun apabila sebelah kakimu berada di syurga.

Ini menunjukkan bahawa selagi kita tidak lagi berada dalam syurga dan reda ALLAH, maka jangan sekali kita merasa lega sebaliknya terus berusaha dan serius dalam beribadah kepada-Nya.

Wallahua'lam..Salam Zulkaedah dari saya! Assalamualaikum :)

Comments

Popular posts from this blog

Falsafah dan pemikiran Socrates

Peranan Paul dalam Kristian

Ulasan Buku: Seni berfikir yang hilang karya Ust Hasrizal