Di bumi Iskandariah itu

Pagi ini hujan renyai. Saya berjalan ke tempat kerja seperti biasa. Namun, deria bau saya menangkap sejenis bau yang hampir sahaja menghentikan langkah saya. Ya, bau itu! Bau asap van yang bercampur dengan bau hujan menimpa tar.

Gandingan bau ini membawa saya mengimbau bumi Iskandariah, Mesir. Musim sejuk di sana seolah-olah mengundang hujan pada setiap pagi. Dan setiap pagi itu jugalah, dengan berpakaian tebal dan menyarung 'sneakers' saya bersendirian menuruni anak tangga yang gelap dan berdebu sebelum menjejak tanah ke tempat perkumpulan van untuk ke kuliah.

Dalam suasana pagi itu jugalah mata saya melilau mencari van yang sesuai dan tepat supaya tidak berlaku tragedi 'salah destinasi'. Doa dan zikir juga sentiasa bergema dalam hati mohon dielakkan perkara yang tidak diingini.

Seboleh mungkin saya cuba mendapatkan van yang membolehkan saya menempatkan diri bersebelahan penumpang wanita. Paling tidak, van tersebut perlu mempunyai pelajar Malaysia.

Paling kritikal, jika saya terpaksa juga duduk bersebelahan dengan penumpang lelaki saya akan pastikan tempat duduk tersebut berada betul-betul di belakang pemandu atau tepi pintu. Strateginya ialah supaya jika berlaku 'apa-apa' mudah bagi saya untuk menjerit meminta tolong atau melompat keluar van!

Van itu adalah van yang menghubungkan antara bandar-bandar kecil atau kampung-kampung. Untuk ke kuliah, ia hanya memerlukan tambang sejumlah 25 sen setiap kali perjalanan sehala. Dengan van itulah saya berulang alik ke kuliah setiap hari. Bersendirian, sementelahan tidak ada rakan serumah yang mempunyai waktu kuliah sama dengan saya.

Walaupun jarak antara universiti dengan rumah sewa tidak jauh, tetapi menaiki van tetap menjadi pilihan saya. Mudah dan cepat. Bukan saya tidak pernah berjalan kaki, tetapi pengalaman saya diusik oleh pelajar sekolah menengah yang terletak di antara rumah dan universiti menjadikan saya kurang selesa. Mungkin kerana saiz badan yang kecil dan warganegara berbeza menjadikan saya bahan gurauan mereka. Namun saya tidak ambil hati. Mereka sekadar mengejek dan ketawa sesama sendiri. Cuma saya perlu berhati-hati dikhuatiri mereka akan bertindak lebih jauh lagi.

Segala kenangan ini pasti tergambar setiap kali hujan renyai dan bau asap van bersatu. Menjadikan hati ini rindu. Begitu rindu pada bumi Anbiya', begitu rindu zaman 'penuntut ilmu' menjadi gelaranku. Inilah rinduku pada Iskandariah..

Comments

Popular posts from this blog

Falsafah dan pemikiran Socrates

Peranan Paul dalam Kristian

Ulasan Buku: Seni berfikir yang hilang karya Ust Hasrizal