Mengajar bukan mudah

Minggu ini adalah minggu kesepuluh daripada 14 minggu kuliah. Menjadi amalan pada semester-semester yang lalu, menjelang minggu ini saya sudah mula memperlahan gerak kuliah sebaliknya lebih menumpukan kepada ulangkaji atau pembentangan para pelajar. Namun, untuk semester ini ia agak berbeza memandangkan terlalu banyak cuti umum. Boleh dikatakan hampir setiap minggu! Dimulakan dengan cuti keputeraan sultan selangor, kemudian cuti krismas, kemudian cuti tahun baru diikuti cuti maulidurrasul, cuti wesak dan yang akan datang ialah cuti tahun baru cina..

Mujur sahaja kuliah-kuliah yang terlibat dengan hari cuti saya dapat buat pecutan secara tidak langsung. Kesannya saya tidak begitu tertekan sebab risaukan kuliah yang masih banyak belum dilalui. Namun, semester ini saya cukup merasa tertekan dengan karenah para pelajar.

Siapa kata mengajar IPT adalah lebih mudah daripada mengajar kanak-kanak? itu adalah tanggapan yang salah sama sekali. Sebab saya berpengalaman mengajar sekolah menengah dan tadika, maka saya mendapati setiap daripada mereka yang bergelar pendidik/pengajar pasti menghadapi kesukaran demi kesukaran. Maklum sahajalah, yang bakal dibentuk ialah MANUSIA dan bukannya produk kaku. Maka 'si pembentuk' mahu atau tidak terpaksa mengikut rentak insan yang bakal dibentuk.

Tapi, untuk kali ini saya terasa patah hati dan cukup kecewa dengan para pelajar saya. Untuk makluman, kali ini saya mengajar empat kelas. Hanya satu kelas daripada keempat-empat ini yang menjadi penenang hati saya. Dua lagi adalah kelas yang selalu buat saya tertekan. Manakala satu kelas lagi ada pasang surutnya. Jadi, kira boleh tahan lah!

Kelas A adalah kelas pelajar tahun pertama. Saya mendapat makluman bahawa berdasarkan reputasi yang lepas kelas ini terdiri daripada pelajar yang tidak berapa baik pencapaiannya. Namun saya adalah seorang guru yang tidak akan melabel pelajar selagi saya tidak berusaha untuk memberi galakan kepada mereka untuk belajar.

Namun, minggu ini adalah minggu kesepuluh tetapi nampaknya masih tidak ada sebarang perubahan kecuali pada satu-dua individu yang semakin bersemangat belajar nampaknya. Semalam, saya telah meluahkan kekecewaan kepada mereka. Masakan tidak, mereka sendiri mengakui kelemahan diri dalam bahasa Arab tetapi tidak langsung membawa kamus ke dalam kelas sehinggalah ke saat ini! Dalam masa yang sama mereka tidak membuat persediaan langsung sebelum masuk ke kelas! Sedangkan menjadi amalan saya pada setiap kelas untuk meminta mereka membuat penterjemahan terhadap isi nota kuliah.. Sungguh saya tidak memahami apa tujuan sebenar mereka hadir ke kuliah. Saya kecewa.

Kelas B pula terdiri daripada para pelajar tahun akhir. Harapan saya mereka lebih matang dan bersungguh-sungguh untuk belajar sementelahan mereka pernah mengambil subjek dengan saya sebelum ini. Kesalahan datang lewat, hantar tugasan lewat, kerap tidak hadir, tidak buat pembentangan pada masa yang sepatutnya atas pelbagai alasan.. Perkara-perkara remeh seperti ini menjadikan saya 'fed up' dengan mereka. Itu pun pada minggu yang kesepuluh ini! Pelbagai teknik dan cara saya gunakan untuk menegur kesalahan dan menjadikan mereka bersemangat untuk belajar. Ternyata semua tidak berhasil. Saya tidak faham kenapa para pelajar seolah-olah mengambil kesempatan atas saya seorang guru yang 'tidak garang' ini.

Ketika ini saya sedang buntu memikirkan kelas B yang akan saya masuk pada petang ini. Saya bercadang tidak lagi mahu menegur kesalahan mereka kerana saya sudah muak. Sebaliknya saya bercadang untuk melihat sahaja gerak laku mereka petang ini kerana saya sudah memaklumkan bahawa akan ada pembentangan daripada mereka. Namun sekiranya mereka hadir membawa alasan yang 'langsung tidak kreatif' itu, saya akan mendenda mereka menulis esei panjangnya 750 patah perkataan berkenaan amanah sebagai mahasiswa.

Biarlah mereka kata saya tidak adil, biarlah mereka kata tugasan ini tidak ada kena mengena dengan subjek..biarlah..dan biarlah... Saya nak tengok sejauh mana pelajar hari ini sedar kedudukan mereka yang sebenar. Jika sebelum ini saya sering beri tugasan untuk disiapkan di rumah (yang selalunya di'copy' dan 'paste' dari internet), hari ini saya mahu mereka MENULIS dengan idea dan bahasa mereka sendiri.

Cukuplah, saya sudah penat melayan dan bersabar dengan karenah kamu semua. Saya cuma harap kamu akan belajar sesuatu dari tugasan ini. Itu sahaja.



"Imam al-Ghazali pernah menggariskan beberapa kriteria unggul seorang pendidik antaranya, guru harus sabar menerima pelbagai masalah pelajar dan menerimanya dengan baik. Guru hendaklah bersifat penyayang dan tidak pilih kasih terhadap anak didiknya.

Guru yang penyabar dan penyayang akan berjaya dalam kerjayanya. Apabila nilai itu tersemat kukuh, guru pasti akan menyedari bahawa sabar itu memberkati usaha gigihnya mendidik.

Selain itu, guru juga perlu bersedia menerima kepelbagaian watak dan perbezaan tahap kecerdasan anak didik supaya proses pengajaran akan dapat dilaksanakan dengan fikiran tenang."

Comments

Popular posts from this blog

Falsafah dan pemikiran Socrates

Peranan Paul dalam Kristian

Ulasan Buku: Seni berfikir yang hilang karya Ust Hasrizal