Rahmat dalam Ujian

Semakin kaya semakin tertekan

Laporan akhbar Sinar Harian menyatakan bahawa 5.8 juta rakyat Malaysia mengalami tekanan jiwa. Tidak dinyatakan pula bentuk-bentuk tekanan jiwa yang dihadapi serta puncanya. Sedangkan Malaysia termasuk di antara negara yang mendapat perhatian dunia. Bukan sahaja Malaysia, malah negara-negara membangun lain seperti Jepun dan Amerika Syarikat turut mencatatkan bilangan penduduk yang menghadapi tekanan jiwa adalah tinggi berbanding negara-negara lain.

Kadar perceraian, kematian, kecurangan, kemalangan, penagihan dadah dan bencana alam semakin meningkat saban tahun. Seolahnya, semakin tinggi taraf hidup sesebuah masyarakat, semakin mereka ‘menjuarai’ penyakit tekanan. Timbul persoalan adakah kemodenan dan kemegahan sebenarnya menyumbang kepada tekanan?

Jika benar, adakah masyarakat dunia hari ini perlu berhenti daripada gaya hidup moden dan beralih kepada gaya tradisional? Sudah tentu jawapannya tidak semudah itu. Namun, umumnya menyedari bahawa tanpa menggembleng tenaga kerja manusia masakan dunia mampu untuk berubah kepada yang lebih moden. Lantaran itu, masalah tekanan jiwa ini adalah sesuatu yang serius!

Isu tekanan jiwa dan kehidupan sering dibincangkan di pelbagai pihak. Maka berlakulah ‘tuding-menuding’ dalam mencari faktor permasalahan masyarakat. Bermula dari aspek kegawatan ekonomi sehinggalah kepada keruntuhan sosial semuanya dipandang sebagai faktor penyumbang kepada tekanan. Jika sebegitu variasi faktor tekanan maka tentulah pelbagai bentuk penyelesaian pula diperlukan. Maka, silap haribulan para pengkaji jalan keluar pula yang akan menghadapi tekanan!

Tertekankah kita?

Dengan refleks kepada diri sendiri, perhatikan sama ada kita termasuk di antara mereka yang mengalami tekanan jiwa mahupun tidak. Jika ya, maka berhentilah seketika dan cuba renungi bagaimana diri mahu menghadapinya dengan wajar. Jangan sampai tekanan yang berpunca daripada masalah dan ujian Allah memakan diri. Sedangkan ia hanya ‘singgah’ sesekali mewarnai kehidupan kita.

Ya, saya akui bahawa tekanan adalah lumrah kehidupan. Tetapi persoalan yang lebih utama ialah bagaimana kita berhadapan dengan tekanan tersebut. Jika gagal ditangani dengan betul, ia bakal membarah dalam diri sehingga menyebabkan seseorang hilang kewarasan diri! Lantaran itu, cara yang terbaik untuk menghadapi tekanan hidup ialah dengan kembali kepada Allah.
Dialah yang mengatur segala ujian dan nikmat kepada kita. Kita hanya hamba tidak perlu mempertikaikan keadilan Tuhan. Dia Maha Tahu kemampuan hamba-Nya dalam menghadapi ujian seperti dalam firman-Nya yang bermaksud:


Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya..
(al-Baqarah 2:286)

Ini di antara tanda keadilan Allah s.w.t. Boleh jadi kita diuji dengan kemiskinan tetapi memiliki keluarga yang bahagia lagi saling memahami. Ataupun kita diuji dengan pasangan hidup yang cerewet tetapi begitu mengambil berat. Kadang-kala kita diuji dengan anak yang sedikit jumlahnya tetapi mereka semua berjaya. Ada juga manusia diuji dengan anak yang ramai tetapi mudah pula mendengar kata.

Semua kenikmatan di sebalik ujian hanya dapat dirasai apabila penilaian yang dibuat berdasarkan sisi positif. Semua orang diuji tetapi adakah kita yang paling dahsyat diuji? Jika kita tidak punya wang untuk melancong, maka perhatikan pula mereka yang hidupnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jika kita tidak punya anak, perhatikan pula mereka yang diuji dengan cabaran mendidik anak. Jika kita punya ibu yang suka berleter, perhatikan pula mereka yang dilahirkan yatim.

Maka, bersyukurlah di atas tekanan yang dihadapi kerana ada rahmat Allah terbentang luas di sebaliknya. Dengan bertaqwa dan menyerahkan diri kepada Allah, maka yakinlah kepada janjinya akan memberikan kita rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka serta bantuan apabila diminta. Firman-Nya yang bermaksud:

..dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
(al-Talaq 65:3-4)

Justeru, janji siapakah yang lebih ditepati berbanding janji Allah? Kembalilah dan mengadulah kepada-Nya dalam apa jua kesulitan yang dihadapi. Selebihnya, berusahalah untuk memperbaiki diri. Jangan sampai ujian menjadikan kita semakin jauh daripada-Nya.

Tetapi, mengapa aku yang dipilih?

Keluasan rahmat Allah itu tidak terjangkau akal kita. Allah tidak pernah memilih untuk mengasihi sebahagian makhluk-Nya dan membiarkan yang lain. Sebaliknya Allah memilih untuk menebarkan rahmat-Nya kepada semua makhluk. Tanpa mengira sama ada mukmin, muslim, munafik mahupun kafir. Seolah-olahnya semua diberikan layanan ‘sama’ oleh Allah.

Adilkah kita untuk berfikiran begitu? Sedangkan kita perlu mengakui keterbatasan akal yang diberikan-Nya. Sewajarnya kita berhenti daripada terus menilai sesuatu berdasarkan zahirnya. Sebaliknya pandanglah ia dengan nilaian yang penuh rasa ketundukan kepada-Nya. Sebenarnya dengan keluasan rahmat ini juga Allah menguji dan menentukan takdir kita semua. Justeru, rasailah kehadiran-Nya di sisi supaya kita sama-sama berpeluang meraih cinta-Nya!

Comments

Popular posts from this blog

Falsafah dan pemikiran Socrates

Peranan Paul dalam Kristian

Ulasan Buku: Seni berfikir yang hilang karya Ust Hasrizal