Ulasan buku: Wasiat sebelum dirimu bergelar ulama

Karya yang disusun oleh Ust Mohd Solleh Abd Razak ini adalah baik dan sesuai untuk dibaca oleh semua pelajar jurusan pengajian Islam khususnya peringkat Institut Pengajian Tinggi. Malah, selaku graduan daripada bidang tersebut saya mendapati kupasan buku ini adalah ilmiah kerana disertakan dengan rujukan lengkap. Namun, susun aturnya yang santai dan bijak oleh penyusun menjadikan pembaca seolah-olah tidak merasa ketinggian idea yang cuba disampaikan.

Buku ini memberi saya inspirasi untuk menyedari kedudukan saya sebagai pengajar dan penuntut ilmu agama. Di samping ia banyak memberi input baru kepada saya atas pengetahuan yang sedia ada, ia turut menjawab sebilangan persoalan saya –sama ada yang diajukan atau yang bermain di minda- khususnya berkaitan pendirian yang terbaik boleh diambil oleh seorang ‘agamawan’ dalam konteks politik hari ini.

Ini berikutan penulis menyelitkan maklumat tambahan berkenaan situasi politik di Malaysia dan peranan yang sepatutnya dimainkan oleh para ulama. Menerusi contoh-contoh yang dikemukakan, penulis memberi gambaran dan kefahaman kepada pembaca bahawa situasi politik negara hari ini pada hakikatnya tidak berbeza dengan situasi politik pada zaman ulama hebat satu masa dahulu. Tambahan pula, apabila contoh yang dibawa termasuk tokoh-tokoh besar Islam seperti Imam empat Mazhab, Imam al-Ghazali, Ibn Taimiyah dan banyak lagi. Contoh-contoh yang dibentangkan mampu memberi panduan kepada masyarakat Islam hari ini supaya melihat keilmuan mereka dari sudut yang berbeza.

Secara tidak langsung, ia menunjukkan kepada kita bahawa para ulama terdahulu bukanlah satu golongan yang hidup secara ‘terasing’ daripada masyarakat awam bahkan mereka adalah sebahagian daripada mereka. Setiap permasalahan atau posisi kerajaan dan pemerintahan semasa pasti ada tindakan atau jawapan dari mereka. Mereka sama sekali tidak mengambil sikap ‘menyendiri’ atau ‘tidak endah’. Sehinggakan jika perlu, mereka sendiri akan ‘turun padang’ mengangkat senjata bersama kaum muslimin lainnya.

Situasi ini belum menjadi budaya dalam masyarakat Malaysia. Para akademik umumnya seolah-olah tidak bersedia untuk menyatakan pendirian mereka di khalayak ramai. Rata-rata mereka hanya ‘berani’ mengungkapkannya dalam dewan-dewan kuliah atau bilik-bilik perbincangan. Itu pun secara berkias dan berlapik atas dasar ‘ilmiah’ atau ‘akademik’. Lebih menyedihkan apabila ada di kalangan pelajar yang berani bersuara akan di’cantas’ secara ‘professional’. Sehingga percambahan pemikiran berlaku dengan lembap sekalipun atas nama Menara Gading.

Saya juga tidak menafikan kepincangan dunia pendidikan ini berlaku berpunca daripada kongkongan pemerintah terhadap dasar pendidikan negara. Apabila ini berlaku, maka institusi pendidikan terpaksa dikurung dalam ‘sangkar emas’. Namanya gah sebagai pusat penyelidikan atau pusat ilmu namun hakikatnya tepaksa menuruti arus dan dasar pemerintah semasa. Jika kerajaan pada ketika itu membawa haluan ‘A’, maka akan giatlah kajian berkenaannya dijalankan. Kemudian, jika kerajaan bertindak menukar haluan kepada ‘B’, maka ke situ jugalah pula haluan dasar pendidikan negara.

Justeru, amalan ala kapitalis ini perlu diubah dan ditransformasikan oleh generasi akan datang. Ini bagi menjamin peranan ulama dan institusi ilmu agar kedua-duanya dapat memainkan peranan penuh sebagai pemacu kemajuan sesebuah negara.

Wallahua'lam. Semoga Allah s.w.t merahmati para guru yang ada di atas dunia ini sama ada yang masih hidup mahupun yang telah tiada. Khususnya Rasulullah s.a.w selaku guru paling ulung, diikuti dengan para guru saya dan ibu bapa saya yang merupakan guru pertama saya. Amin ya rabb

Comments

Popular posts from this blog

Falsafah dan pemikiran Socrates

Peranan Paul dalam Kristian

Ulasan Buku: Seni berfikir yang hilang karya Ust Hasrizal