Membaca catatan harian Ahmad Wahib

Sebuah buku bertajuk Pergolakan Pemikiran Islam yang merupakan himpunan catatan harian Ahmad Wahib berkisar pandangannya terhadap Islam, umat Islam dan suasana di sekelilingnya.

Dia adalah seorang anak kiyai pesantren yang sangat berpegang kuat kepada Islam. Dia juga telah mencatatkan bahawa pernah tinggal selama dua tahun bersama paderi serta menganggap kedua-dua paderi tersebut 'ayah'nya.

Dia mula membuat catatan yang sifatnya kontradik ini sejak timbul pelbagai persoalan di mindanya. Dia adalah seorang aktivis-saya kira- pada zaman mahasiswanya. Ini kerana catatannya banyak berkisar Himpunan Mahasiswa Islam (HMI), sebuah pertubuhan mahasiswa di universti tempat dia belajar.

Catatan ini dikumpulkan oleh rakannya sejurus mendapat khabar tentang kematian Ahmad Wahib yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Pada awalnya, saya tidak berminat untuk membaca catatan ini. Tetapi setelah diminta oleh pelajar yang mengalami kekeliruan ketika membaca buku ini, maka saya pun mula membaca. Isi buku ini agak berat dan penuh dengan persoalan. Ternyata, saya tidak mampu untuk menghabiskan bacaan saya kerana hampir kesemua pemikiran beliau tidak dapat saya hadam apatah lagi menerimanya.

Sehinggakan saya hairan bagaimana ada orang mendakwa dia mula berfikir sejak membaca catatan Ahmad Wahib ini? Pada saya yang ada di dalamnya hanyalah kekeliruan seorang yang tidak berhati-hati dalam menggunakan akalnya. Masakan tidak, dasar Ahmad Wahib sendiri ialah akal itu boleh digunakan semaksimanya dalam mengenal Tuhan. Padahal, akal itu sekadar alat. Sama seperti pisau yang boleh digunakan mengikut tujuannya. Benar, sefat pisau memotong tetapi adakah apabila pisau itu digunakan untuk membunuh manusia sewenangnya kita akan masih dapat faedah darinya? Tidak. Sama sekali tidak.

Begitu juga apabila Ahmad Wahib mempersoalkan hadis Rasulullah SAW dalam mengenal Tuhan. Ini adalah sangat bahaya untuk dibahaskan. Saya tidak mahu mencoret dengan panjang dalam hal ini. Jelas, para ulama telah menjelaskan berdasarkan pengkajian mereka. Justeru, kenapa pandangan ulama yang sekian tahun boleh ditolak mentah-mentah apabila berhadapan dengan lontaran idea daripada Ahmad Wahib yang sendiri mengakui bahawa dia tidak punya ilmu yang mendalam?

Wallahu a'lam. Walau bagaimanapun, saya masih tidak faham apakah tujuan rakan Ahmad Wahib berusaha untuk menyebar luaskan catatan beliau ini. Adakah ia tanda percambahan ilmu dan kematangan fikiran? Pada hemat saya tidak sama sekali.

Comments

Popular posts from this blog

Falsafah dan pemikiran Socrates

Peranan Paul dalam Kristian

Ulasan Buku: Seni berfikir yang hilang karya Ust Hasrizal