Pengislahan Masyarakat: Tumpuan Terhadap Kisah Nabi Musa A.S Dan Bani Israel Dalam Al-Quran
Penulis kertas kerja:
Nazneen binti Ismail, Nurzatil Ismah bt Azizan, Hasliza bt Talib (Kuis)
*Telah dibentangkan dalam Seminar Peradaban dan Pemikiran Islam pada 27 Oktober 2014 di Hotel Everly, Putrajaya.
ABSTRAK
Pengislahan masyarakat merupakan proses yang perlu dilakukan secara berterusan meskipun sangat sukar untuk mendapat respons positif daripada masyarakat. Ia adalah cabaran bagi seorang pendawah sepanjang zaman. Sesuai dengan misi tauhid yang dibawa, teladan daripada kisah para nabi perlu diketengahkan sebagai panduan dan motivasi bagi para pendakwah. Kertas kerja ini bertujuan untuk menganalisis usaha Nabi Musa a.s berdakwah kepada Bani Israel serta menterjemahkannya dalam konteks semasa. Persamaan yang wujud di antara suasana kaum Nabi Musa a.s yang keras kepala dan mudah terpengaruh dengan amalan syirik dengan masyarakat hari ini menjadi dasar penulisan. Tambahan pula, tiada sokongan daripada pemimpin turut dikenal pasti sebagai ciri yang wujud dalam kedua-dua zaman. Metodologi kajian adalah tertumpu kepada kajian deskriptif historis berdasarkan ayat al-Quran dan tafsir. Hasil kajian mendapati para pendakwah perlu mencontohi Nabi Musa a.s yang terus berdakwah mengubah masyarakat daripada syirik kepada tauhid meskipun hasilnya tidak begitu ketara. Justeru, kertas kerja ini bakal mengupas metode yang digunakan serta motivasi yang menjana semangat baginda dalam usaha mengislah masyarakat.
Kata Kunci: Islah Masyarakat, Dakwah Nabi Musa A.S, Bani Israel
PENDAHULUAN
Nabi Musa AS merupakan seorang nabi yang diutuskan kepada Bani Israel dalam memberi petunjuk dan panduan supaya kembali kepada hidayah Allah SWT. Baginda ketika itu besama-sama dengan Nabi Harun AS berdakwah dan terus membimbing masyarakat. Namun kedegilan Bani Israel tidak dapat diatasi kerana mereka sentiasa beranggapan bahawa mereka umat yang hebat daripada pelbagai aspek. Kedegilan mereka bermula pada zaman kewujudan Firaun dan tidak berakhir sehingga kini. Kertas kerja ini akan membincangkan usaha-usaha dakwah yang dilakukan oleh Nabi Musa AS dalam membentuk masyarakat ketika itu ke arah pembaikan ( islah ) dan mewujudkan masyarakat Islam yang beriman kepada Allah SWT.
Islah berasal daripada kalimah bahasa Arab الإصلاح, kata terbitan daripada أصلح-يصلح-إصلاحاً, yang diambil dari komponen dasar ص-ل-ح yang bermaksud antonim dari kata فساد (kerosakan). (Riyad Abu Qasim dan Fayaz Hasan Abu cUmrah 2008) Perkataan ini jika ditambah dengan kata-kata tertentu akan mempunyai makna khusus. Contohnya, jika ditambah dengan الشيء (sesuatu) ertinya memperbaiki, jika ditambah dengan إليه (kepadanya) ertinya berbuat atau bersikap baik, jika ditambah dengan kata ganti هـ (nya) ertinya membenarkannya, memperbetulkannya, memperindah, atau membuatnya lebih indah, jika ditambahkan dengan بينهم (di antara mereka) ertinya menghilangkan pertikaian dan permusuhan antara keduanya, jika ditambah في عمله (dalam pekerjaannya) atau في أمره (dalam urusannya) ertinya datang dengan sesuatu yang baik dan bermanfaat. (Sa'adi Abu Jiib 1993) Manakala dalam Kamus Dewan edisi keempat, islah bermaksud usaha untuk mengembalikan suatu keadaan kepada suatu keadaan yang betul, tepat dan sesuai. (Pusat Rujukan persuratan Melayu, t.th)
Terdapat beberapa bentuk islah dan kaedahnya seperti yang disenaraikan oleh al-Zarqani (1996) iaitu:
1. Islah al-aqaa'id (islah keyakinan), caranya dengan jalan membimbing manusia kepada hakikat permulaan dan akhir kehidupan serta antara keduanya di bawah ruang lingkup iman kepada Allah swt, malaikat-malaikat-Nya, rasul-rasul-Nya dan hari akhir.
2. Islah al-'ibaadaat (Islah peribadatan), caranya dengan jalan membimbing manusia kepada sesuatu yang mensucikan jiwa, menghidupkan roh, meluruskan keinginan, memberi faedah kepada orang lain baik itu individu mahupun kelompok.
3. Islah al-akhlaq (islah akhlak), caranya dengan jalan membimbing manusia kepada kebaikan diri mereka dan menjauhkan mereka dari keburukan diri mereka dengan tanpa ada unsur melebih-lebihkan atau sebaliknya.
4. Islah al-ijtima' (islah kemasyarakatan), caranya dengan jalan membimbing manusia kepada kesatuan dan penghapusan taksub serta menghilangkan perbezaan di antara mereka dengan kefahaman bahawa mereka adalah satu jenis yang berasal dari satu jiwa iaitu adam dan hawa. Perbezaan yang dinilai hanya dari sudut ketakwaan.
5. Islah as-siyaasah (islah politik) atau al-hukmi ad-dauli (hukum pemerintahan), caranya dengan menegakan keadilan secara mutlak, mengutamakan persamaan antara manusia, mengutamakan kebenaran, adil, menepati janji, dan penuh kasih sayang; jauh dari kezaliman, pengkhianatan, kebohongan, penipuan.
Manakala Riyad Mahmud Qasim dan Fayaz Hasan Abu cUmrah (2008) memberi definisi islah sebagai menggunakan panduan al-Quran dan istiqamah di atasnya seiring dengan tuntutan akal dan syarak.
Kata islah disebutkan seluruhnya di dalam al-Qur'an sebanyak 180 kali, dengan jumlah perubahan bentuk dan harakatnya sebanyak 41 jenis. Secara umum kata islah di dalam al-Quran tersebut digunakan dalam dua bentuk: pertama islah yang bergandingan dengan objek, kedua islah yang digunakan sebagai bentuk kata sifat.
Usaha islah masyarakat adalah perkara pokok dalam Islam. Ia terbukti apabila gerakan islah ini termasuk di antara seruan al-Quran kepada umat Islam. Al-Quran menyeru kepada usaha mewujudkan masyarakat yang unggul dan negara yang sejahtera. Setiap individu ditegah daripada melakukan kerosakan yang berpunca daripada rasa pentingkan diri sendiri. Sebaliknya, manusia diperintah supaya sentiasa mengutamakan kemaslahatan masyarakat berbanding diri sendiri. Ini kerana manusia sebagai makhluk sosial sentiasa berhajat di antara satu sama lain. Justeru, al-Quran telah menggariskan dasar utama dalam memelihara kesejahteraan sejagat ini. Seiring dengan kepentingan ini, tatacara bermasyarakat dan kewajipan memperbaiki akhlak masyarakat yang menyeleweng begitu dominan dibicarakan dalam al-Quran dan ditunjukkan menerusi sunnah baginda SAW yang boleh diertikan sebagai berpaksi kepada ketinggian akhlak dan kesucian akidah umat. (al-Fayoumi 2012)
Di antara dasar utama proses islah masyarakat ialah Rabbani, kehormatan nyawa manusia, ada konsep ganjaran dan balasan, persaudaraan, keadilan di antara lelaki dan wanita, jaminan keselamatan harta, diri, kesihatan dan kebajikan, pemeliharaan hak kaum, menentang segala bentuk kezaliman, kesatuan dalam masyarakat dan kesediaan untuk menegakkan kebenaran. (al-Fayoumi 2012)
KEHIDUPAN MASYARAKAT BANI ISRAEL
Bani Israel mempunyai ialah satu bangsa yang ditindas oleh bangsa Qibti Mesir. Sedangkan satu masa dahulu, Bani Israel dianggap berjasa kepada masyarakat Mesir berikutan bantuan Nabi Yusuf AS ketika berlakunya kemarau dengan rancangan catuan yang berjaya menyelamatkan mereka dari kebuluran. Mereka merupakan keturunan Nabi Ya’qub a.s. yang berhijrah ke Mesir atas pelawaan Nabi Yusuf AS. Firman Allah SWT yang maksudnya:
Maka ketika mereka (Nabi Yaakub dan keluarganya) masuk (ke Mesir) menemui Yusuf, Yusuf segera menyambut serta memeluk kedua ibu bapanya, sambil berkata: "Masuklah kamu ke negeri Mesir, Insya Allah kamu berada di dalam aman.
Kehidupan mereka terbela dan terpelihara di Mesir. Mereka diberi kawasan yang khusus di sebelah utara Barbis dan keturunan mereka hidup sebagai pengembala yang berjaya. Apabila kerajaan Mesir dikuasai oleh Ramses II, beliau melihat keturunan Bani Israil sudah berlipat kali ganda dan keturunannya semakin bertambah. Keadaan ini amat merisaukan kerajaan Mesir jika mereka ini menjadi penolong kepada musuh-musuh kerajaan. Sejak dari itu, keturunan Bani Israil mula ditindas dan disiksa dengan kerja-kerja yang berat. (Afif Abdullah 1993)
Penyiksaan dan kezaliman terhadap Bani Israil berlarutan pada zaman Firaun yang telah mengarahkan supaya semua bayi lelaki dibunuh. Firman Allah SWT yang maksudnya:
Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.
Penindasan demi penindasan kepada Bani Israil terus berlarutan sehingga diutuskan Nabi Musa AS. Walau bagaimanapun, kekecaman terhadap Bani Israil tetap berlaku sehingga akhirnya Nabi Musa AS mengajak kaummnya keluar meninggalkan bumi Mesir. Firman Allah SWTyang maksudnya:
Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya).
Selepas Allah SWT menyelamatkan kaum Bani Israil bersama-sama dengan Nabi Musa AS, Al-Quran banyak menggambarkan keadaan kaum ini yang telah ingkar kepada Allah SWT. Digambarkan bahawa kaum Bani Israil mempunyai sifat yang tidak sabar dan tidak bersyukur dengan nikmat yang Allah SWT telah kurniakan kepada mereka dengan membebaskan mereka dari kekejaman Firaun dan mengurniakan mereka makanan berupa al-manna dan salwa, namun mereka tetap tidak beriman kepada Allah SWT. Bukan itu sahaja al-Quran turut menggambarkan bahawa kaum Bani Israil telah membunuh ramai para nabi yang diutuskan kepada mereka. Firman Allah SWT bermaksud:
Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: "Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu) dengan makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi; dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya". Nabi Musa menjawab: "Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik fengan meninggalkan yang lebih baik? Turunlah kamu ke bandar kerana di sana kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu". dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebesaranNya); dan mereka pula membunuh nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh.
Kaum Bani Israil terus ingkar kepada Allah SWT apabila telah menyembah berhala anak lembu jantan sebagai tuhan. Kejadian ini berlaku ketika Nabi Musa AS telah pergi bermunajat kepada Allah SWT selama 40 hari. (Afif Abdullah 1993) Apabila Nabi Musa AS berjaya berdebat dengan Samiri yang menyesatkan kaumnya, Bani Israil telah mengakui kesilapan mereka. Malangnya, kedegilan Bani Israil sekali lagi terserlah apabila mereka meminta untuk Nabi Musa memperlihatkan Allah swt kepada mereka. Selesai permintaan tersebut, mereka disambar halilintar dan mati bergelimpangan. Namun Nabi Musa a.s. telah memohon ampun daripada Allah SWT sehingga mereka dihidupkan kembali. Firman Allah SWT:bermaksud:
Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: "Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)". Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya. Kemudian Kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati (atau pengsan dari sambaran petir itu), supaya kamu bersyukur.
Setelah Allah swt mengurniakan pelbagai nikmat dan keistimewaan kepada Bani Israil, sekali lagi mereka mempamerkan keingkaran dengan melanggar perintah Allah swt supaya memasuki bumi Palestin. Firman Allah SWT yang Maksudnya:
Mereka (menolak dengan) berkata: "Wahai Musa, Sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sebenarnya kami di sinilah duduk menunggu".
Sebagai balasan atas sifat degil dan ingkar mereka kepada Allah SWT, mereka telah dibiarkan kebingungan di gurun Sinai selama 40 tahun. Firman Allah SWT bermaksud:
"Sesungguhnya negeri itu diharamkan kepada mereka memasukinya - selama empat puluh tahun, mereka akan merayau-rayau dengan bingungnya (di sepanjang masa yang tersebut) di padang pasir (Sinai); maka janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang fasik itu".
Dapat disimpulkan bahawan Kaum Bani Israil merupakan kaum yang banyak diberi keisimewaan oleh Allah SWT dengan mengutuskan ramai para rasul di kalangan mereka serta dengan pelbagai nikmat-nikmat yang lain. Namun mereka tetap ingkar dengan perintah Allah SWT serta tidak menerima seruan para rasul utusan Nya.
USAHA NABI MUSA AS DALAM MENGISLAH KAUMNYA
Nabi Musa AS diutuskan Allah SWT ke Mesir tidak sahaja untuk berdakwah kepada Firaun, bahkan untuk turut sama melakukan proses islah terhadap Bani Israel. Kelemahan mereka disifatkan berpunca daripada penyelewengan mereka terhadap ajaran para nabi sebelum ini. Berdasarkan al-Quran, didapati pelbagai kaedah yang telah Nabi Musa AS gunakan dalam menjalankan amanah sebagai Rasul Allah SWT.
Menyatakan tujuan perutusan baginda secara jelas dan berani.
Firaun adalah raja yang sifatnya menindas dan memperhambakan kaum Bani Israel. Ia berpunca dari sikap taksub yang ada dalam dirinya. Kekejamannya menjadikan Bani Israel begitu gerun kepada Firaun termasuklah Nabi Musa AS. Tetapi, baginda AS telah diberikan motivasi oleh Allah SWT sehingga mampu untuk berhadapan dengan firaun menyatakan tujuan perutusan baginda AS. Firman Allah SWT Maksudnya:
Oleh itu, pergilah kamu berdua kepadaNya, kemudian katakanlah: Bahawa sesungguhnya kami ini rasul-rasul dari Tuhanmu, maka bebaskanlah kaum Bani lsrail mengikut kami, dan janganlah Engkau menyeksakan mereka. Sesungguhnya Kami telah datang kepadamu membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhanmu! dan selamat sejahtera itu adalah untuk orang-orang yang menurut petunjuk agama Allah. Sesungguhnya telah diwahyukan kepada kami bahawa azab seksa di dunia dan di akhirat ditimpakan kepada orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan berpaling daripadanya".
Dalam perutusan ini, selain baginda AS menyebutkan tujuan kedatangan iaitu meminta agar firaun membebaskan Bani Israel daripada penindasan, baginda AS turut menyatakan kewujudan tanda atau mukjizat dari Allah SWT untuk ditunjukkan kepada firaun. Setelah itu, baginda AS menyatakan dengan jelas bahawa keselamatan dan kesejahteraan hanya milik mereka yang menuruti petunjuk Allah SWT. (al-Mubarakfuri 2011)
Memberi motivasi kepada kaumnya
Firman Allah SWT Maksudnya:
Dan berkatalah pula ketua-ketua dari kaum Firaun: "Adakah engkau (Wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir) dan meninggalkanmu serta apa-apa yang dipuja olehmu?" Firaun menjawab: "Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anak-anak perempuan mereka, dan kita tetap menguasai (menundukkan) mereka". (Pengikut-pengikut Nabi Musa merayu, lalu) Musa berkata kepada kaumnya: "Mintalah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa".
Dalam ayat ini, terkandung perintah kali kedua firaun agar membunuh anak-anak lelaki Bani Israel selain daripada perintah yang dikeluarkan sebelum kelahiran Nabi Musa AS. Kedua-dua perintah ini mempunyai motif yang sama iaitu menghina dan terus memperhambakan kaum tersebut. Sedangkan firaun juga sedar bahawa usahanya kali pertama telah gagal dengan adanya Nabi Musa AS sebagai penentang kerajaan dan syirik yang dipaksa oleh firaun. (al-Mubarakfuri 2011)
Mendengar perintah ini, Bani Israel mula merasa gusar lalu mengeluh di hadapan Nabi Musa AS dengan rasa tidak yakin kepada janji baginda AS untuk membebaskan mereka daripada cengkaman firaun. Tetapi, Nabi Musa AS sedikit pun tidak goyah, bahkan terus memberi motivasi kepada kaumnya dan mengingatkan mereka untuk yakin dengan janji Allah SWT. Di samping itu, baginda AS juga berpesan agar kaumnya tetap sabar dalam usaha menjadi orang yang bertaqwa di sisi Allah SWT. (al-Mubarakfuri 2011)
Tegas berhadapan dengan syirik
Nabi Musa AS adalah seorang yang tegas ketika menghadapi kaumnya yang kembali syirik setelah mereka beriman. Ia bermula selepas ketiadaan baginda AS ke Gunung Tursina untuk menerima wahyu daripada Allah SWT. Gara-gara hasutan syaitan dan Samiri, sebahagian kaum Bani Israel terpengaruh lalu menyembah patung berupa seekor lembu. Kedegilan mereka terzahir apabila mereka begitu berani melakukannya sedangkan Nabi Harun AS ada bersama dan terus memperingatkan mereka tentang kesan buruk perbuatan syirik tersebut. Sekembalinya Nabi Musa AS, baginda menunjukkan kemarahan di atas tindakan kaumnya yang dengan sengaja membiarkan diri diperdaya oleh syirik. Firman Allah SWT Maksudnya:
dan apabila Nabi Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan dukacita, berkatalah ia: "Amatlah buruknya apa yang telah kamu lakukan sepeninggalanku; mengapa kamu terburu-buru (tidak menunggu) perintah Tuhan kamu?"
Firman Allah SWT lagi maksudnya:
dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu; Iaitu bunuhlah diri kamu. yang demikian itu lebih baik bagi kamu di sisi Allah yang menjadikan kamu, supaya Allah menerima taubat kamu itu. Sesungguhnya Dia lah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani".
Kekecewaan baginda AS ini begitu berasas. Kerana Bani Israel ini ternyata dengan sengaja mengingkari ajaran Nabi Musa AS sepeninggalan baginda. Mereka juga gopoh dan tidak sabar menunggu kepulangan Nabi Musa AS membawa berita daripada Allah SWT. Kegopohan ini menjadikan mereka terus sahaja hanyut dengan penyembahan patung lembu. (al-Mubarakfuri 2011) Justeru, wajarlah apabila kesyirikan yang berlaku di hadapan mata Nabi Musa AS ini menyebabkan baginda marah yang bersangatan.
Begitu juga reaksi Nabi Musa AS terhadap kaumya yang meminta dijadikan sembahan bagi mereka. Firman Allah SWT Maksudnya:
dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: "Wahai Musa buatlah untuk Kami suatu Tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan". Nabi Musa menjawab: "Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil. "Sesungguhnya mereka (penyembah-penyembah berhala itu), akan dihancurkan apa yang mereka berada di dalamnya (dari perbuatan syirik), dan tetaplah salahnya apa yang mereka kerjakan itu". Nabi Musa berkata lagi: "Patutkah Aku mencari Tuhan untuk kamu selain dari Allah, padahal ia telah melebihkan kamu atas sekalian manusia (yang sezaman dengan kamu, dengan berbagai nikmat yang telah dikurniakanNya kepada kamu)?" dan (Tuhan berfirman): ingatlah ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan kaumnya, yang menyeksa kamu dengan azab seksa yang seberat-berat dan seburuk-buruknya; mereka membunuh anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; dan (ingatlah bahawa) yang demikian itu mengandungi cubaan yang besar dari Tuhan kamu.
Dalam peristiwa ini, Bani Israel baharu sahaja diselamatkan Allah SWT daripada cengkaman Firaun dengan berjalan melintasi lautan yang terbelah. Ini terjadi kerana mukjizat Nabi Musa AS iaitu tongkat baginda membelah lautan. Ia bermakna, kaum baginda telah melihat dengan mata kepala sendiri tanda kekuasaan Allah SWT yang sangat besar. Namun, setelah itu dengan berani mereka meminta patung sebagai sembahan daripada Nabi Musa AS. Lantas, baginda AS menyifatkan kaumnya sebagai orang yang tidak memahami keagungan dan kebenaran Allah SWT serta kesucian Nya daripada sebarang sekutu. Baginda AS juga menyebutkan beberapa bukti nikmat Allah SWT kepada mereka iaitu diselamatkan dari tawanan dan kekuasaan firaun serta daripada kehinaan yang dialami. Malah, mereka telah melihat dengan sendiri musuh dihina dan dibinasakan Allah SWT dalam Laut Merah. (al-Mubarakfuri 2011)
Meraikan keperluan kaumnya
Nabi Musa AS adalah seorang yang prihatin terhadap kaumnya. Baginda AS tidak membiarkan kaumnya sewenangnya tanpa pantauan dan perhatian. Perhatian ini tidak hanya melibatkan perkara iktikad sahaja bahkan turut mencakupi aspek keperluan jasmani mereka. Firman Allah SWT Maksudnya:
dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman: "Pukulah batu itu dengan tongkatmu", (ia pun memukulnya), lalu terpancutlah dari batu itu dua belas mata air; Sesungguhnya tiap-tiap satu puak (di antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. (dan Kami berfirman): "Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi".
Menggunakan pendekatan memujuk dengan mengemukakan bukti yang tidak dapat dinafikan kaumnya
Firman Allah SWT Maksudnya:
dan (ingatkanlah mereka Wahai Muhammad), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Wahai kaumku! kenanglah nikmat Allah (yang diberikan) kepada kamu ketika ia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan ia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhamba oleh Firaun dan orang-orangnya), dan ia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun dari umat-umat (yang ada pada masa itu)".
Tujuan Nabi Musa AS memperingatkan kaumnya tentang nikmat Allah SWT ini ialah memberikan jaminan bahawa Allah SWT akan menganugerahkan kebaikan di dunia dan akhirat untuk mereka selagi mereka beriman kepada Nya serta menuruti perintah nabi mereka. Kemuliaan mereka bukan perkara baharu, dimulai dengan perutusan para nabi dalam kalangan keturunan mereka seorang demi seorang. Setelah itu disusuli dengan kebebasan daripada terus menjadi hamba firaun di Mesir. Pujukan ini dilakukan oleh Nabi Musa AS mendahului perintah untuk kaumnya memasuki bumi Palestin yang merupakan tempat tinggal moyang mereka, Nabi Ya’qub AS. (al-Mubarakfuri 2011)
Bergantung harap hanya kepada Allah SWT
Firman Allah SWT Maksudnya:
(Nabi Musa berkata lagi): "Wahai kaumku, masuklah ke tanah suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)". Mereka menjawab: "Wahai Musa bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri itu)". Berkatalah dua lelaki di antara orang-orang yang takut (menyalahi perintah Tuhan), lagi yang telah diberi nikmat (taufik) oleh Allah kepada keduanya: "Seranglah mereka melalui pintu itu, kerana apabila kamu memasukinya maka sudah tentu kamulah orang-orang yang menang; dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah (setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu orang-orang yang beriman" Mereka (menolak dengan) berkata: "Wahai Musa, sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah Engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. sebenarnya kami di sinilah duduk menunggu". Nabi Musa (merayu kepada Allah), katanya: "Wahai Tuhan! Sesungguhnya Aku tidak dapat menguasai selain daripada diriku sendiri dan saudaraku (Harun); oleh itu pisahkanlah antara kami dengan kaum yang fasik itu".
Apabila perintah Nabi Musa AS kepada kaumnya agar masuk ke Palestin dan memerangi musuh dibangkang dan diingkari, maka baginda AS mengambil langkah untuk bermunajat kepada Allah SWT perihal sikap kaumnya yang degil. Sikap Bani Israel yang tidak meyakini janji Allah SWT bahawa mereka akan menang dalam peperangan itu menjadikan Nabi Musa AS memilih untuk menyerahkan urusan mereka kepada Allah SWT semata-mata. (al-Mubarakfuri 2011)
Menyerahkan soal pemberian petunjuk kepada Allah SWT
Firman Allah SWT Maksudnya:
"Wahai Tuhanku! jika Engkau kehendaki, Engkau boleh binasakan mereka bersama-sama denganku sebelum ini. Adakah Engkau hendak membinasakan kami disebabkan apa yang telah dilakukan oleh orang-orang yang bodoh di antara kami? (Apa yang mereka telah lakukan) itu hanyalah cubaanMu. Dengan cubaan itu Engkau sesatkan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau beri petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau jualah Pelindung kami; oleh itu ampunkanlah Kami dan berilah rahmat kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik pemberi ampun.
Mengambil pengajaran daripada peristiwa lalu
Firman Allah SWT Maksudnya:
dan (ingatlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Kenanglah nikmat Allah kepada kamu, semasa ia menyelamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya yang sentiasa menyeksa kamu dengan berbagai seksa yang buruk dan mereka pula menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; dan kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu".
FirmanNya lagi:
(Mengapa kamu masih berdegil) Bukankah telah datang kepada kamu khabar berita orang-orang yang terdahulu daripada kamu, Iaitu kaum Nabi Nuh, dan Aad juga Thamud serta orang-orang yang kemudian daripada mereka? Tiada sesiapapun yang mengetahui bilangan mereka melainkan Allah. mereka telah didatangi oleh Rasul-rasul mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, lalu mereka meletakkan tangan mereka ke mulut mereka sambil berkata: "Sesungguhnya kami kufur ingkarkan apa yang - mengikut dakwaan kamu - kamu diutus membawanya, dan sesungguhnya kami adalah dalam keadaan yang meragukan terhadap iman dan tauhid yang kamu ajak kami kepadanya".
Nabi Musa AS dengan sengaja memperingatkan kaumnya tentang peristiwa lampau sebagai pengajaran buat mereka. Bagaimana nikmat Allah SWT ke atas mereka tatkala mereka beriman dan bagaimana pula keadaan umat para rasul terdahulu. Sedangkan umat tersebut tidak jauh beza jarak masa dengan mereka. Balasan azab ke atas mereka yang ingkar kepada para rasul dan meragui akidah tauhid yang dibawa menjadi satu amaran keras kepada kaum Nabi Musa AS agar tidak mengulangi perkara yang sama iaitu tetap dalam syirik.
Bertawakkal kepada Allah SWT serta meyakinkan pengikut akan janji Nya
Firman Allah SWT bermaksud:
Maka Firaun dan tenteranya pun mengejar mereka ketika matahari terbit. Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: "Sesungguhnya kita akan dapat ditawan". Nabi Musa menjawab: "Tidak! jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya Aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemuliharaan dan pertolonganNya), ia akan menunjuk jalan kepadaku". Lalu Kami wahyukan kepada Nabi Musa: "Pukullah laut itu dengan tongkatmu". (setelah dipukul) maka terbelahlah laut itu (kepada beberapa bahagian), lalu menjadilah air tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar.
KESIMPULAN
Pelbagai usaha dilakukan oleh Nabi Musa AS dalam membawa masyarakat kembali kepada ajaran Islam. Usaha yang berterusan dilihat sebagai jalan untuk mencapai matlamat dakwah untuk jangka masa panjang. Walaupun dakwah baginda tidak diterima oleh Firaun ketika itu, namun usaha dakwah yang dilakukan boleh dijadikan motivasi kepada pendakwah kini terutama metodologi berdakwah kepada pemimpin. Nabi Musa AS berani berhadapan dengan pemimpin yang zalim ketika itu demi membawa islah dalam masyarakat. Al-Quran memaparkan kepada kita bahawa jalan dakwah mempunyai banyak liku-liku perjuangan demi untuk memberi nilai agama yang benar kepada masyarakat. Kisah-kisah ini boleh dijadikan motivasi yang memberi semangat juang yang tinggi kepada pendakwah dalam berhadapan dengan pelbagai golongan mad’u.
RUJUKAN
Afif Abdullah (1993) Nabi-nabi dalam Al-Quran. Victory Agencie Kuala Lumpur.
Al-Fayoumi, cAtif cAbd al-Mucizz (2012) al-Qur’an wa al-Dacwah ila Islah al-Mujtamac, dipetik daripada http://www.alukah.net/sharia/0/40940/ pada 4 September 2014.
Ibn Kathir, Abu Al-Fida’ Ismail. (2009) Kisah Para Nabi Pengajaran dan Iktibar. Terj. Nadi Minda Resources Selangor.
Al-Mubarakfuri, Safiyy al-Rahman dkk. (2011). Al-Misbah al-Munir fi Tahdhib tafsir Ibn Kathir. Terj. Tim Pustaka Ibnu Katsir. Cet. 4. J. 5. Jakarta: Pustaka Ibnu Katsir.
Al-Mubarakfuri, Safiyy al-Rahman dkk. (2011). Al-Misbah al-Munir fi Tahdhib tafsir Ibn Kathir. Terj. Tim Pustaka Ibnu Katsir. Cet. 4. J. 3. Jakarta: Pustaka Ibnu Katsir.
Nabil Abdurrahman (2013). Konsep Ishlah dalam perspektif al-Quran, dipetik daripada http://curatcoretnabil.blogspot.com/2012/03 pada 4 September 2014.
Pusat Rujukan persuratan Melayu, t.th. Dipetik daripada http://prpm.dbp.gov.my pada 4 September 2014.
Riyad Abu Qasim dan Fayaz Hasan Abu cUmrah (2008). Dacwah al-Qur’an ila Islah al-Usrah wa al-Mujtamac: Dirasah Qur’aniah, Majallah al-Jamicah al-Islamiyyah, Siri 16. Hlm. 245-291. ISSN:1726-6807. Dipetik daripada http://www2.iugaza.edu.ps/ar/periodical/articles pada 4 September 2014.
Sa'adi Abu Jiib (1993) Al-Qamus Al-Fiqhi Lughatan Wa Istilahan. Damsyiq: Dar Al-Fiqr.
Al-Zarqani, (1996) Manahil Al-Irfan Fi 'Ulum Al-Qur'an, J. 2. Lubnan: Dar Al-Fikr.

Comments
Post a Comment