Wahai sayang, bersederhanalah!

Sebagai ibu bapa siber, terdapat jurang perbezaan antara kita dengan ibu bapa kita. Orang dulu mendidik anak lebih berpandukan pengalaman mereka dididik. Adapun dunia hari ini mengizinkan kita untuk memperoleh pelbagai tips hanya di hujung jari. Di samping itu, terdapat lambakan buku rujukan di pasaran yang semakin giat membincangkan isu pendidikan gaya Rasulullah SAW. Jika dulu, kajian barat dilihat sebagai panduan 'baharu' yang bersifat lebih psikologi maka hari ini terdapat usaha mengetengahkan gaya mendidik baginda SAW yang tentunya merupakan rujukan awal kajian barat. Bezanya, barat menyisihkan unsur tauhidik dalam teori pendidikan mereka. Kerana itu, kaedah mereka didapati berlebih-lebihan sehingga mengundang parah dalam kalangan anak-anak. Contohnya, kebebasan yang diberikan menjadikan anak lupa diri. Larangan berkata tidak kepada anak juga 'mendidik' mereka supaya bersikap tiada adab dalam segenap hal. Maka, dalam soal pendidikan anak aspek kesederhanaan adalah begitu penting.
Tujuannya supaya anak membesar dalam dunia realiti dan mampu berhadapan dengan situasi sukar yang tidak mampu dijangka. Tambahan pula, keadaan ekonomi dan sosial yang semakin tidak menentu saban hari menjadikan ia satu kewajipan bagi ibu bapa untuk mempersiapkan anak-anak. Beberapa bentuk kesederhanaan yang dimaksudkan ialah:

1. SEDERHANA DALAM MAKAN MINUM
Didik anak supaya tidak cerewet dalam memilih makanan. Perkenalkan kepada mereka semua bentuk makanan dengan pelbagai rasa. Jika mereka tidak gemarkan satu2 makanan, didik mereka agar tidak mencela makanan sebaliknya tinggalkan sahaja atau pilih makanan yang lain. Ini akan mengajar mereka adab di hadapan makanan.
Ibu juga tidak perlu menuruti kehendak si anak dalam setiap masa. Tetapkan menu menurut kebijaksanaan ibu dan kesesuaian keadaan. Ajar mereka untuk makan makanan kering seperti ikan masin atau telur goreng di samping makanan berkuah seperti sup atau kari. Ajar mereka makan makanan yang tawar di samping makanan yang manis. Juga, ajar mereka makan seadanya tanpa meminta hanya apa yang mereka gemari sahaja. Ini akan mengajar mereka redha dan syukur.
Tidak bermewah-mewah dalam makanan juga adalah kaedah bersederhana. Biasakan anak makan satu atau dua lauk. Kerap makan di rumah juga adalah cara mengawal sikap bermewah dalam makan. Manakala jika terdapat banyak lauk sekalipun seperti dalam jamuan misalnya, ajar mereka untuk memilih sedikit demi sedikit. Jangan biarkan terdapat pelbagai jenis makanan dalam satu pinggan. Ini mengajar anak supaya berjimat dan tidak tamak.
Biasakan anak berkongsi makanan dengan ahli keluarga yang lain. Didik mereka supaya ringan menawarkan untuk berkongsi makanan. Apatah lagi, jika makanan itu sedikit sahaja maka bahagikan ia dengan baik. Ini akan mendidik mereka supaya berlapang dada dan pemurah.


Comments

Popular posts from this blog

Falsafah dan pemikiran Socrates

Peranan Paul dalam Kristian

Ulasan Buku: Seni berfikir yang hilang karya Ust Hasrizal