Tips anak minat belajar dan membaca

Bismillah hir rahma nir rahim..

Saya merasa terpanggil untuk membuat sedikit coretan berkenaan tajuk di atas. Tujuannya adalah untuk berkongsi pengalaman saya sebagai ibu dalam memberi pendedahan awal kepada anak tentang baca dan buku.

Pucanya apabila ini minggu lepas merupakan kali kedua saya ditanya oleh guru anak tentang bagaimana kami memupuk minat anak untuk belajar, membaca dan meneroka dunia ilmu. Agak segan sebenarnya apabila yang bertanya itu ialah guru anak kami dan kami pula hanyalah ibu bapa muda yang baru menginjak tahun ketujuh perkahwinan. Masih panjang perjalanan mendidik anak yang perlu kami lalui.

Baiklah, bagi ibu atau bapa yang mencari tips anak minat belajar, berikut ialah 5 perkara yang kami amalkan selama ini:

1. MULA AWAL
Perkenalkan anak-anak dengan buku. Ini adalah kaedah yang mula-mula perlu dilakukan. Belikan buku mengikut tahap usia atau ke hadapan sedikit dalam satu atau dua tahun. Contoh anak yang berusia dua tahun dibelikan buku untuk umur tiga tahun.. Begitu.. Tentunya pada awal-awal usia akan terjadi sesi mengoyak buku, menyepah rumah dengan buku-buku yang 'dibaca' tetapi biarkan sahaja. Ajar mereka mengemas buku secara berperingkat. Sama macam kita mengajar anak mengemas mainan mereka. Siapkan rak khas untuk buku-buku mereka. Jangan campur dengan buku-buku kita pulak! Jenuh nak jaga nanti. Hihi..
Pelbagaikan buku, sediakan kertas A4 untuk mereka membuat contengan. Belikan alat tulis. Ini adalah sebahagian daripada perkembangan motorskill ye ibu ayah sekalian.. Jadi, ia adalah penting.

2. SERONOK
Tentulah apabila sesi membaca diadakan, akan ada anak-anak yang tidak fokus atau lambat ingat. Maka, ibu ayah perlu sangat bersabar dalam mengajar. Ingat, kita nak anak itu cintakan ilmu maka wujudkan suasana seronok ketika sesi mengajar. Jadikan sesi membaca sebahagian daripada hidup mereka sama seperti sesi bermain dan menonton tv.

3. KONSISTEN
Ibu dan ayah perlu disiplin dan konsisten dalam mengajar anak. Iya, bukan mudah. Tetapi mengapa tidak dimulakan selama 10 minit sahaja setiap hari. Pengalaman saya, waktu selepas maghrib adalah paling mudah. Pada masa itu, pastikan tiada gangguan atau aktiviti lain. Yang ada hanya membaca dan buku. No food, no drink, no tv and no no...
Mungkin pada awalnya 10 minit dan satu buku sahaja SETIAP HARI, tetapi percayalah selepas sebulan, dua bulan atau setahun maka ia akan menjadi 30 minit dan beransur menjadi 4 buah buku satu sesi membaca.

4. SISTEMATIK
Kami memulakan sesi membaca anak-anak dengan mengenalkan huruf kepada mereka. Kemudian diikuti dengan bacaan iqra' setiap hari. Apabila anak-anak dah faham rentak dan disiplin, barulah kami mulakan sesi mengajar membaca bahasa Melayu. Bila dah habis buku yang digunakan, maka kami masukkan pula sesi membaca bahasa Inggeri.. setelah itu barulah bacaan jawi.. Saya ringkaskan seperti di bawah ye:

Umur 3 tahun:
Memperkenalkan huruf dan nombor
Memegang pensel, tracing, colouring
Mengira sampai 10 dalam 3 bahasa
Kaedah pelbagai: video, flash card, tampal di dinding, etc

Umur 4 Tahun:
Bln 1- Iqra' sahaja (10 minit SETIAP HARI)
Progressing....
Bln 6- Iqra' (10 minit) + bacalah anakku (10 minit)
Progressing

Umur 5 Tahun:
Bulan 1- Iqra' (10 minit) + reading Malay (sebab buku bacalah anakku dan habis) + Read easy (10 minit)
Progressing
Bulan 7- Iqra + reading Malay + read easy + jawi
Progressing

Umur 6 tahun:
Quran + hafazan+ english books + malay books+ jawi
Progressing..

Begitulah ye ibu2 ayah sekalian.. Agak mencabar sebenarnya bila kita hendak mencari bahan bacaan terutama jawi tapi usahakan jugalah. Saya gunakan buku jawi pelajar sekolah rendah. Tujuannya untuk melatih anak-anak membaca jawi

5. NO TV, NO GADGET
Ramai yang tertanya2 macam mana saya buat ye? Terutama kepada anak-anak siber. Pada saya, tidak sesukar yang dibayangkan. Jika kita benar-benar mahu anak fokus maka kita perlu bersedia. Apa yang kami lakukan ialah mendisiplinkan mereka. Mereka dibenarkan menonton tv tetapi ada masa yang tertentu. Gajet? Ya, kami benarkan. dengan kawalan masa dan content. MESTI. Saya khuatir jika ibu bapa terlalu memberi kebebasan sedangkan usia mereka terlalu muda maka akan banyak masa terbazir dan tenaga yang terbuang. Sedangkan usia 0-6 tahun adalah usia di mana otak mereka mampu menyerap berganda-ganda ilmu dan bahasa. Kenapa dibazirkan dengan games dan kartun?

Itu sahaja perkongsian saya buat kali ini. InsyaAllah saya berdoa dan berharap agar ibu bapa muda Muslim semua tida menyia-nyiakan usia anak-anak dan kemampuan yang mereka ada. Sama-sama lah kita menyiapkan generasi akan datang dan tidak menyerahkan bulat-bulat kepada para guru.

Ada ibu bapa tak setuju dengan saya kerana katanya terlalu awal.. Buat apa disusahkan anak-anak? Saya senyum. Tuan-tuan boleh fikir, antara mendisiplinkan anak membaca dengan membiarkan mereka leka dengan gajet yang mana tuan mahu? Kita sudah melalui zaman kanak-kanak dan sekarang kita pun tahu bentuk apa cabaran yang bakal dihadapi oleh generasi akan datang. Maka, persiapkanlah!

Comments

Popular posts from this blog

Falsafah dan pemikiran Socrates

Peranan Paul dalam Kristian

Ulasan Buku: Seni berfikir yang hilang karya Ust Hasrizal