Socrates: Satu sosok misteri yang dikenali


Umumnya, masyarakat mengakui bahawa Socrates adalah seorang ahli falsafah Yunani yang memberikan sumbangan cukup luas kepada perkembangan ilmu falsafah. Tetapi, tokoh ini sebenarnya tidak pernah menghasilkan apa jua bentuk penulisan. Hampir kesemua gambaran tentang idea, riwayat hidup dan peribadi Socrates diketahui melalui penulisan Plato. Itu pun terdapat percanggahan dengan penulisan ahli falsafah lain seperti Xenophon. ANtara gambaran berhubung latar belakang kehidupan Socrates ialah beliau berasal daripada keluarga yang berada dan berkemampuan. Tetapi, Socrates memilih untuk hidup secara sederhana. Di samping itu, Socrates juga diriwayatkan mempunyai isteri yang perengus bernama Xanthippe. Hasil daripada pernikahan ini, mereka dikurniakan tiga orang anak lelaki yang masih kecil ketika kematian Socrates. Socrates juga dikatakan pernah berkhidmat sebagai tentera di pertengahan umurnya, sekitar 35 tahun. Satu perkara yang menarik juga, kisah hidup tokoh falsafah ini diterjemahkan dalam karya dan drama komedi. Melalui drama komedi berjudul Clouds, Socrates diperihalkan dalam tiga keadaan iaitu seorang Sofis yang mengajar cara mengemukakan hujah yang baik bagi situasi yang baik, seorang ahli falsafah ateis dan sebagai seorang guru yang zuhud, berpakaian compang camping dan tidak memperhatikan keperluan duniawinya. Ketiga-tiga ciri ini saling bertentangan di antara satu dengan yang lain dan tidak memungkinkan ia berada pada satu personaliti yang sama.

Wataknya sebagai Sofis ditunjukkan melalui peranannya sebagai pengerusi kepada sebuah institusi pendidikan berbayar yang mengajar cara mengelakkan diri daripada penipuan. Turut ditonjolkan ialah bagaimana hujah yang mempunyai moraliti kuat tewas kepada hujah licik yang lemah. Selain itu, watak Socrates sebagai ahli falsafah ateis dikemukakan melalui peranannya sebagai ahli falsafah alamiah yang berminat dalam cakerawala, iaitu penolakan kepada agama tradisional dan menggantikannya dengan dewa baharu seperti udara, awan, huru-hara dan ‘pusaran cakerawala’.

Tidak diketahui punca sebenar mengapa Socrates dikaitkan dengan tingkah laku sedemikian kerana ia nyata sekali bercanggah dengan periwayatan Plato dan Xenophon. Menurut kedua-duanya, Socrates sama sekali tidak pernah mengaku sebagai seorang yang pakar dalam sains seperti juga tidak pernah menerima upah untuk mengajar. Namun, sikapnya yang suka berdebat dan menyoal tidak disangkal memandangkan beliau cenderung untuk mengetengahkan kepincangan dalam pemikiran golongan tertentu yang angkuh dengan kepakaran mereka.

Rupa fizikalnya pula digambarkan dengan berhidung pendek dan terjongket, lubang hidung yang lebar, mata yang tersembul, berbibir tebal dan berperut buncit. Satu gambaran yang seakan mirip dewa pemabuk iaitu Silenus.

Peristiwa penting dalam hidup Socrates juga menyentuh tentang perbicaraan yang dikenakan kepadanya. Ia adalah rentetan daripada keengganan Socrates, sebagai salah seorang ahli dewan undangan untuk bersetuju atas perkara yang menyalahi perlembagaan sedangkan semua dewan undangan menyetujuinya. Bermula daripada itu, Socrates memilih untuk mengundurkan diri daripada politik dan mengambil sikap berdiam diri.

Namun, menjelang hujung usianya ada seorang lelaki bernama Meletus yang membuat akuan bersumpah bahawa Socrates melakukan kesalahan besar dengan tidak memperakui dewa yang disembah oleh bandar Pitthos sebaliknya memperkenalkan dewa lain. Tuduhan lain juga ialah Socrates telah merosakkan pemikiran anak muda. Maka, Meletus mencadangkan agar Socrates dihukum mati. Dikatakan bahawa tiada apa-apa rekod berhubung perbicaraan ini. JIka ada sekali pun, hanyalah kenyataan daripada pihak pembela seperti yang dilaporkan oleh Plato dan Xenophon. Sebaliknya kenyataan daripada pihak pendakwa tidak ditemui. Akhirnya, Socrates dijatuhkan hukuman mati hasil undian majoriti juri daripada 500 warga negara. Sebulan kemudian hukuman dijalankan dengan cara beliau dikehendaki meneguk sendiri minuman yang dicampur dengan racun.

Rujukan:

C.C.W. Taylor. 2015. Socrates: Pengenalan Ringkas. Terj. Salbiah Hashim. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan & Buku Malaysia.

Comments

Popular posts from this blog

Falsafah dan pemikiran Socrates

Peranan Paul dalam Kristian

Ulasan Buku: Seni berfikir yang hilang karya Ust Hasrizal