Ulasan Buku Socrates: Pengenalan Ringkas (ITBM)

Assalamualaikum wrt wbkt

Sepanjang PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini, saya hanya dapat menghabiskan sebuah buku yang ilmiah berkisar falsafah Yunani.

Buku ini menceritakan tentang seorang ahli falsafah bernama Socrates. Saya yakin nama ini tidak asing dalam kalangan sebahagian kita. Umumnya Socrates dikenali sebagai seorang tokoh dan pelopor ilmu mantik dan falsafah. Peribadinya digambarkan sebagai seorang yang kerap berfikir dan mengajukan soalan untuk mendapatkan jawapan. Uniknya, meskipun tokoh ini tidak menghasilkan karya beliau tetap dikenali. Ini kerana banyak penulisan dihasilkan menggambarkan tentangnya walaupun tidak secara langsung.

Dalam dunia Islam pula, para pengagum Socrates ada yang mengandaikan beliau sebagai salah seorang daripada para nabi dan rasul kerana kebijaksanaan yang dikatakan ada padanya. Di sini saya melihat betapa satu pemikiran boleh mempengaruhi pemikiran yang lain. Ketaksuban seseorang kepada satu pemikiran boleh mengubah dan menjejaskan pemikiran asal yang dimilikinya. Tidak hairanlah apabila Imam al-Ghazali mengkritik secara lantang ahli falsafah Muslin neo-platonik yang terlampau terpengaruh dengan pemikiran Yunani sehingga sebahagiannya mengesampingkan akidah Islamiah. Puncanya apabila mereka cuba mengadaptasi pemikiran atau falsafah Yunani ke dalam konsep ketuhanan dan penciptaan alam ini.

Buku ini secara keseluruhan adalah sarat ilmu, menggunakan bahasa yang berat (pada saya) sehinggakan saya terpaksa mengulang baca beberapa kali untuk memahami dan mendapatkan intinya. Sebahagiannya telah saya catat dalam blog ini manakala sebahagian lain saya bercadang untuk dihantar ke jurnal yang bersesuaian. Maklum sahaja, tidak ramai yang meminati falsafah. Hanya yang benar-benar serius akan mencari dan membacanya.

Apa pun, syabas dan tahniah kepada penterjemah buku ini. Karya asalnya ditulis oleh C.C.W. Taylor kemudian diterjemah ke dalam bahasa Melayu oleh Pn Salbiah Hashim. Agaknya kalau dalam bahasa Inggeris, saya tak yakin saya akan membacanya. 😅 Buku ini pun dibeli atas talian semasa musim PKP dengan harga yang murah. Memikirkan sukar untuk mendapatkan buku-buku bertemakan falsafah maka saya telah beli sebanyak 8-9 buah buku dengan harga RM12 setiap satu.

Semoga perkongsian kali ini bermanfaat kepada saya dan diri para pembaca sekalian.

Comments

Popular posts from this blog

Falsafah dan pemikiran Socrates

Peranan Paul dalam Kristian

Ulasan Buku: Seni berfikir yang hilang karya Ust Hasrizal