Ulasan buku: Risalah al-Mustarsyidin Karya Abu Abd Allah Al-Harith Bin Asad Al-Muhasibi (W. 243H)

 Bismillah hir Rahman nir rahim

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) datang lagi. Cuma kali ini dilonggarkan kepada PKPB (PKP Bersyarat) dengan erti kata sektor ekonomi dibenarkan beroperasi seperti biasa dengan beberapa SOP yang ketat. Manakala untuk urusan persendirian dibenarkan keluar daripada rumah tetapi terhad kepada dua orang sahaja untuk satu kenderaan. Sempadan daerah juga dikawal rapi oleh polis bagi mengehadkan pergerakan. Maka, kesempatan ini saya gunakan untuk menyambung pembacaan sebuah karya tasawuf iaitu Risalah al-Mustarsyidin.

Karya ini mengandungi himpunan kalam hikmah seorang ulama tasawuf terawal iaitu al-Harith al-Muhasibi. Beliau dilahirkan di Basrah dan dikenali sebagai tokoh yang mempunyai pandangan berbeza dengan Imam Ahmad bin Hanbal khususnya dalam ilmu kalam. Naskhah yang menjadi rujukan saya telah diterjemah ke dalam bahasa Indonesia dan disertakan dengan syarah daripada Syaikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.

Saya kongsikan petikan di helaian awal kitab tertera sepotong kata-kata yang mengusik jiwa:

“ Kita mati dan hidup setiap malam serta pagi. Pasti suatu hari’kan mati tanpa hidup lagi.

Kita di dunia bak tumpangi kapal layar persegi. Rasa diam di tempat, padahal zaman antar pergi.”

Jujurnya saya tak tahu milik siapa kalam ini tetapi cukup untuk menyedarkan kembali akan pengakhiran hidup di dunia ini. Sejauh mana atau setinggi mana pun pencapaian dunia ini, ia hanya akan bernilai jika mempunyai ‘saham’nya di akhirat kelak. Antara tema dalam kitab ini ialah kepentingan memilih teman atau sahabat yang baik. Menurut al-Muhasibi, 

“Bergaullah hanya dengan orang yang cerdas lagi bertakwa. Duduklah hanya dengan orang yang berilmu lagi memiliki mata hati”. Kesan daripada bergaul dengan orang soleh ialah dapat mengingatkan kita kepada Allah SWT dan membuatkan hati ini rindu bertemu dengan-Nya.

Maka, menjadi kewajipan diri seseorang yang ingin memelihara hati ialah dengan menghindari perkara yang tidak berguna atau sia-sia. Perkara ini sangat sulit dilakukan melainkan dengan beberapa cara iaitu menahan lidah daripada berkata-kata termasuk mengawal diri agar tidak terlibat dalam perdebatan berkaitan al-Qur’an dan agama. Selain lidah, seseorang juga perlu mengendalikan hawa nafsunya dengan tidak memanjangkan angan-angan.

Dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT, seseorang itu perlu menuntut ilmu dan mengamalkannya. Menurut al-Muhasibi, 

“Ikutilah jejak orang yang ilmunya membuat dia semakin takut kepada Allah, amalnya membuat mata hatinya semakin tajam dan akalnya membuat makrifatnya bertambah.” 

Ini bermakna dalam menuntut ilmu, pemilihan guru juga sangat penting kerana ia akan memberi kesan kepada peribadi dan perjalanannya untuk mengenal Allah SWT.

Imam al-Muhasibi turut menegaskan tentang menjaga pandangan daripada perkara yang diharamkan Allah SWT. Malah, melihat perkara yang tidak berguna merupakan pangkal lalai dan bingung. Begitu juga dengan berlebih-lebihan dalam kehidupan seperti makan, melihat, berkata-kata atau bergaul dan mendengar. Sebagai langkah berhati-hati, seseorang hendaklah melazimi taubat supaya dirinya sentiasa berhati-hati daripada terjebak dalam perkara yang menjauhkan diri daripada Allah SWT.

Salah satu kalam al-Muhasibi yang ingin saya kongsikan juga ialah: 

“Sembunyikan rasa takut, tampakkanlah sikap tenang, tanamkanlah rasa percaya pada Allah, putus asalah terhadap manusia dan bergantunglah hanya kepada Allah, bersabarlah atas musibah yang menimpamu, redalah terhadap bahagian yang disisihkan (diasingkan) untukmu, yakinlah pada janji Allah dan takutlah terhadap ancaman-Nya.”

Demikianlah sedikit yang dapat saya kongsikan berkaitan karya ini. Semoga Allah merahmati ulama ini dan sumbangannya terhadap ilmu tasawuf sepanjang zaman. Pada pandangan saya, karya ini mampu melembutkan hati orang yang membacanya dan mengajak kita merenung sejenak tentang erti kehidupan dan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT.

#tasawuf

Comments

Popular posts from this blog

Falsafah dan pemikiran Socrates

Peranan Paul dalam Kristian

Ulasan Buku: Seni berfikir yang hilang karya Ust Hasrizal