Apa yang ibubapa perlu tahu untuk mendidik anak?
Bismillahirrahmanirrahim
Serasa lama saya tidak menjengah ke blog ini (memang lama pun!). Kembali teringat kerana mengenangkan penulisan di blog yang bersifat bebas dan tidak terikat dengan format atau tatacara tertentu. Untuk menulis di fb pun, saya terfikir ada ke orang nak baca panjang-panjang? Hari ini, masyarakat lebih mudah menonton tiktok yang berdurasi 3 minit atau kurang.
Pada petang ini saya memilih untuk menulis sesuatu dalam blog untuk berkongsi sedikit berkenaan dengan panduan mendidik anak-anak menurut seorang tokoh iaitu Abdullah Nasih Ulwan. Saya percaya namanya masyhur dalam kalangan mereka yang berminat dalam dunia pendidikan lebih-lebih lagi jika menginginkan kaedah pendidikan menurut Islam. Abdullah Nasih Ulwan merupakan pengarang sebuah kitab yang bertajuk "Tarbiyyatul Aulad fi al-Islam".
Buku ini telah banyak diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu terutamanya Indonesia. Baru-baru ini jika tidak silap saya, Ustazah Isfadiah juga telah menerbitkan satu buku terjemahan dan ulasan daripada kitab ulama ini.Tapi, saya belum membeli dan membacanya lagi. Jika ada rezeki nanti saya akan beli dan buat review/ulasan juga terhadap buku tersebut Insya Allah.
Ok, buku ini mempunyai tiga bab utama. Bab 1 berbentuk mukaddimah yang membincangkan tentang asas sebuah keluarga. Bagaimana sebuah perkahwinan yang baik mempengaruhi pendidikan si anak. Selain itu, ia membincangkan peranan ibubapa ketika menerima kelahiran anak serta hak-hak seorang anak. Bab 2 menghuraikan tentang tanggungjawab seorang pendidik (ibubapa, guru, datuk nenek atau sesiapa yang bertanggungjawab terhadap pendidikan anak-anak). Ada tujuh tanggungjawab yang perlu diberikan perhatian iaitu pendidikan IMAN, pendidikan AKHLAK, pendidikan JASMANI, pendidikan AKAL, pendidikan PSIKOLOGI, pendidikan SOSIAL dan pendidikan SEKSUAL. Manakala bab 3 buku ini menghuraikan kaedah pendidikan anak dan perkara berkaitannya.
Sebagai seorang ibu dan guru, saya sangat berminat dengan bidang pendidikan anak-anak. Bermula daripada pendidikan anak saat pra-lahir sehingggalah dewasa. Kebetulan pagi tadi saya berbual dengan seorang pensyarah Fakulti Pendidikan yang sedang mengambil Diploma Eksekutif Pendidikan Awal Kanak-Kanak di UM. Wow! Menarik betul! Itu adalah cita-cita dan impian saya apabila saya melahirkan anak sulung tetapi saya tidak pernah terfikir untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang berkaitan kerana saya beranggapan saya sudah terlewat untuk itu. Untuk pengetahuan, saya pernah mengimpikan untuk menjadi pengusaha taska atau guru tadika. Haha. Tak apalah, memandangkan anak pun sudah besar-besar saya pendamkan sahaja hasrat itu. Cuma ia kembali menjentik hati apabila mendengar perkongsian pensyarah tersebut pagi tadi. Hehe.
Baiklah, yang saya akan kongsikan hari ini ialah LIMA kaedah untuk mendidik anak seperti saranan Abdullah Nasih Ulwan.
KAEDAH 1: Pendidikan melalui teladan
Keteladanan atau Qudwah merupakan perkara yang sangat mudah dan sangat penting bagi pendidikan anak-anak. Seperti yang kita maklum, "action speaks louder than words" kan? Dalam bahasa mudah, jika kita nakkan anak yang rajin membaca al-Quran, kita sebagai ibubapa perlu terlebih dahulu rajin membaca al-Quran. Jika kita mahukan anak kita pandai hidup bermasyarakat, kita kena tunjukkan kepada mereka cara hidup bermasyarakat. Jika kita mahukan anak menjadi orang yang mendidikan solat, maka kitalah yang terutamanya kena mendirikan solat. Bukan? Kita juga tentu sedar bahawa kita juga banyak meniru perbuatan, sikap dan cara bercakap ibubapa kita sehingga ke hari ini. Ada perkara yang masih terkesan walaupun tidak banyak. Malah jika diperhatikan kalau macam saya, cara susun atur pinggan atau cara basuh kain pun saya masih lagi terikut dengan cara yang ditunjukkan oleh ibu saya. Anda bagaimana pula? hehe. Jadinya, begitu juga apabila kita ingin menetapkan sesuatu dalam diri anak-anak. Kita hendaklah menunjukkan sejak dari awal dan menjadikannya sebagai satu kelaziman sehinggakan anak menerimanya sebagai peraturan atau gaya hidupnya secara perlahan-lahan tanpa sedar.
Ok, KAEDAH 2: Pendidikan melalui adat kebiasaan.
Selain daripada kita menunjukkan cara yang betul, kita juga perlu melatih anak untuk membiasakannya dengan tabiat atau prinsip tersebut. Prinsip atau kaedah pengulangan ini telah ditunjukkan dalam al-Quran dengan adanya ayat penegasan tentang keimanan kepada Allah contohnya secara berulang kali dalam al-Quran atau ayat-ayat berkaitan kisah para rasul, juga diulang banyak kali di dalam al-Quran. Dari aspek pendidikan anak-anak, antara yang ditekankan oleh Rasulullah SAW ialah pendidikan mencintai baginda, mencintai ahli keluarganya dan membaca al-Quran. Tentunya kecintaan ini tidak akan terjadi jika ia hanya diterapkan sekali sekala atau sekali cuma bahkan ia perlu dilatih dan dibiasakan sehingga menjadi sesuatu yang tertanam dalam diri anak-anak. Selain daripada penerapan di rumah, lingkungan anak juga perlu diperhatikan seperti sekolah dan rakan-rakannya. Kerana anak-anak ini akan juga terkesan dengan persekitaran mereka. Ingatkan anak-anak dengan muraqabah Allah SWT supaya mereka tidak menjadi hamba nafsu syahwat, latih mereka dengan cara ibadah yang betul, pandu mereka untuk membuat penilaian baik dan buruk, jelaskan kepada mereka tentang dosa dan pahala, halal dan haram sesuatu perkara. Ibubapa juga boleh menggunakan kaedah dorongan dan ancaman (targhib dan tarhib) kerana ini menjadi motivasi kepada anak-anak untuk tetap teguh atas iman dan Islam.
KAEDAH 3: Pendidikan melalui nasihat
Sebagai ibubapa, kita tidak boleh merasa bosan untuk memberi nasihat. Teringat saya akan kata-kata Dato' Dr Norhafizah Musa bahawa ibu-ibu, ayah-ayah tidak boleh berhenti berleter. Tergelak juga saya mendengar ayat beliau tetapi saya akui bahawa leteran ini penting sebagai peringatan kepada anak-anak tentang perkara yang sepatutnya dilakukan. Leteran dilakukan untuk menyedarkan mereka nilai kehidupan. Melalui leteran inilah nasihat disampaikan kepada anak-anak. Nasihat ini membuka mata anak-anak tentang hakikat sesuatu, menghiasi mereka dengan akhlak mulia dan mempersiapkan mreka dengan prinsip-prinsip Islam! Malah, ada satu hadis yang menyatakan "Agama itu Nasihat". Ini bermakna tiada lain yang dikandung oleh nasihat melainkan ia adalah KEBAIKAN semata-mata. Nasihat tidak akan terjadi pada dorongan melakukan maksiat, ia juga sama sekali tidak terjadi pada perkara yang membinasakan seseorang.
Dalam al-Quran juga menunjukkan nasihat ini HANYA bermanfaat bagi mereka yang mengingatinya (Surah Hud: 114). Kaedah nasihat juga pelbagai, (i) dilakukan secara lembut, pujukan, penjelasan (ii) menggunakan kisah sebagai perumpamaan/analogi kepada nasihat (iii) berbentuk pesanan atau wasiat.
KAEDAH 4: Pendidikan melalui perhatian
Memberi perhatian kepada anak merupakan aspek pendidikan yang penting. Di tengah kesibukan hidup atau kerja, ibubapa perlu sentiasa ingat bahawa setiap anak-anak memerlukan perhatian khusus daripada ibubapa mereka. Perhatian perlu diberikan dalam bentuk mengikuti perkembangan anak dalam pembinaan akidah dan akhlak, persiapan rohani dan sosial, pendidikan jasmani dan intelektual mereka. Anak-anak yang mendapat perhatian daripada ibubapa akan mempunyai jati diri yang kukuh, keyakinan diri yang tinggi serta mempunyai panduan dalam kehidupan. Mereka sedar bahawa ibubapa adalah pusat untuk mereka merujuk sekiranya berhadapan dengan masalah atau persoalan dalam hidup. Ibubapa juga bertanggungjawab menjaga ahli keluarga daripada api neraka dengan cara mengawal segala tindak tanduk mereka (al-Tahrim: 6) supaya hidup dalam keadaan mematuhi perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya.
KAEDAH 5: Pendidikan melalui hukuman
Aspek hukuman penting dalam pendidikan anak-anak sebagai pencegah kepada kemudaratan atau penyelewengan akidah dan akhlak mereka. Maka, dalam memberi hukuman kepada anak-anak ada beberapa kaedah yang digunakan iaitu (i) lemah lembut dan kasih sayang sebagai asas dalam bermuamalah dengan anak (ii) menyesuaikan hukuman dengan tabiat atau ciri yang ada pada anak. Jika anak sensitif atau mudah faham, maka hukuman ringan sudah memadai namun jika anak yang lebih sukar dikawal maka ia perlu kepada hukuman yang lebih berat atau serius agar mereka sedar kesalahan mereka. (iii) dilakukan secara berperingkat, mulakan dengan hukuman ringan terlebih dahulu dan disusuli dengan hukuman lebih berat jika kesalahan itu diulangi.
Demikianlah lima kaedah yang dinyatakan oleh Abdullah Nasih Ulwan dalam kitabnya. Sebenarnya huraian yang diberikan lebih panjang lagi tapi bagi tujuan penulisan blog ini saya ringkaskan sahaja sebagai nota pendek ibubapa (terutama saya) dalam mendidik anak-anak kita.
Semoga anak-anak kita menjadi anak yang soleh dan musleh! Amin
Sekian, jumpa lagi!
Comments
Post a Comment