Ke mana masa kita dihabiskan?
Assalamualaikum wrt wbkt,
Sedikit coretan berkaitan dengan apa yang berlaku pada pagi tadi. Seperti biasa saya masuk ke pejabat dan menyusun beberapa perkara yang perlu diselesaikan dalam minggu ini. Antaranya markah kerja kursus pelajar memandangkan minggu ini ialah minggu yang ke-13, surat dan memo jemputan untuk seminar yang akan berlangsung bulan hadapan dan beberapa urusan melibatkan pengajaran dan pembelajaran.
Secara tiba-tiba tanpa makluman awal, ada dua orang pelajar yang datang ke pejabat kerana ingin menemuramah saya berkaitan tajuk tugasan mereka. Rasa nak marah pun ada kerana datang secara mengejut begitu. Namun, rezeki mereka kerana saya tidak mempunyai tugasan yang segera (urgent) jadi saya layankan jugalah. Tambahan pula, tajuk mereka berkaitan dengan pengurusan masa. Saya pun tahu, biasanya bila ada temuramah begini jawapan saya akan menjadi singkat sahaja. Saya lebih selesa menulis berbanding untuk bercakap dan menghuraikan sesuatu. Haha.
Baiklah, tema soalan yang diberikan ialah bagaimana saya menguruskan masa antara keluarga dan kerja? Antara soalan yang saya ingat ialah "antara keluarga dengan kerja, yang mana satu didahulukan?" Jawapan saya, mudah dan konsisten daripada dulu "KELUARGA". Tentunya! Saya bekerja untuk keluarga mana mungkin saya meletakkan keluarga di tempat kedua, bukan?
Secara peribadinya, saya mempunyai banyak garis masa (timeline) iaitu garis masa tanggungjawab saya sebagai isteri dan ibu, tanggungjawab saya sebagai pekerja bawahan, tanggungjawab saya sebagai guru. Di bawah tanggungjawab ini ada pelbagai perkara yang saya masukkan di dalam planner saya termasuklah:
1- Tarikh-tarikh penting anak. Contohnya tarikh peperiksaan, jadual kelas tambahan, tarikh cuti sekolah (yang tentunya berbeza dengan tempat kerja saya!), tarikh sukan, dan lain-lain.
2- Tarikh urusan peribadi seperti tarikh luput cukai jalan kereta, tarikh gaji (haha!), tarikh kenduri kendara, tarikh cuti umum.
3- Tarikh untuk para pelajar termasuklah tarikh hantar tugasan, tarikh study week, tarikh peperiksaan mereka, tarikh hantar Latihan ilmiah, tarikh serah markah, tarikh Semak projek dan tugasan dan macam-macam lagilah tugasan hakiki di pejabat! Itu tak termasuk lagi kita ni sebagai reminder kepada para pelajar ni. Kalau tak, lalai dan lekalah mereka itu. Hadui.. Kalau lalai dan leka sahaja tak apa, tapi nanti di saat-saat akhir, kita juga yang stress diakibatkan stress daripada mereka yang culas dan tak ambil endah dari awal semester. Begitulah strugglenya.. haha
4- Tarikh urusan pejabat seperti tarikh mesyuarat, tarikh bengkel, tarikh hantar fail, tarikh hantar dokumen, tarikh seminar, tarikh siapkan artikel jurnal dan kertas kerja dan urusan pejabat lainnya.
Jika sebelum ini saya sambung belajar, maka akan ada satu lagi timeline iaitu berkaitan dengan pengajian. Tetapi sudah dua tahun lepas timeline itu ditiadakan daripada planner saya. Sekarang saya hanya uruskan tugas hakiki sebagai ibu, isteri dan pekerja sahaja.
Semalam saya ada mendengar satu video pendek yang dikongsikan oleh rakan saya. Antara kenyataan yang disebut ialah "jika pada usia 40, 50, 60 tuan-tuan masih memikirkkan diri tuan-tuan, sedarlah bahawa tuan-tuan selfish! sepatutnya tuan-tuan sudah mula memikirkan apa yang tuan-tuan boleh sumbang untuk membantu masyarakat.." uih, sentap saya. Saya ambil masa sejenak memikirkan kata-kata ini. Lalu, saya berniat untuk menginfakkan masa menambahkan ilmu dan berkongsi melalui penulisan sama ada penulisan ilmiah atau santai. Pendek tak apa, janji ada. Saya sudah tidak banyak masa untuk hidup atas dunia ini. Amal juga tidak banyak. Sibuk dengan urusan dunia yang memang hanya akan habis saat nafas terhenti. Allahu rabbi.. Moga Allah ampunkan saya dan memudahkan urusan saya untuk menyumbang bakti kepada masyarakat selepas ini. Insya Allah hasrat saya dalam masa 10 tahun ini saya akan cuba mencari ruang dan peluang yang ada. Amin!
Comments
Post a Comment