“MAMA, APA YANG BERLAKU DI ALAM ROH SAMA TAK DENGAN ALAM KITA?”
Soalan ini ditanyakan oleh Arsalan (7 tahun) ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah.
Pada awalnya, kakaknya, Nuha (9 tahun) bercerita bahawa cikgunya memberitahu semasa kita tidur, roh kita keluar daripada jasad. Roh akan dikembalikan apabila kita sedar atau jaga daripada tidur. Manakala, jika kita mati maka roh tidak lagi akan kembali ke dalam jasad.
Saya membalas, “Ya, ketika tidur itulah berlaku mimpi. Mimpi ini merupakan pergerakan roh kita ketika kita sedang tidur”.
Terasa bagai sedang memberi kuliah pengenalan tentang tajuk “Mimpi dan Kesedaran dalam Psikologi Islam” (salah satu tajuk kuliah saya). Hehe.
Pada ketika itulah, si adik bertanya, “Mama, jika kita siang, adakah di alam roh juga siang? Dan jika di sini malam, adakah di alam roh juga malam?”
Menarik soalan ini sebenarnya. Tak pernah pula saya terfikir dan tak pernah pula saya ditanya. Mungkin sebab selama ni yang diajar ialah pelajar dewasa. Otak saya ligat berfikir jawapan dan bagaimana untuk menyampaikannya tanpa menggunakan jargon yang tidak pernah didengari oleh mereka. Akhirnya, saya memutuskan untuk menjawab juga dengan bahasa yang agak tinggi,
“Dimensi di alam ini tidak sama dengan dimensi di alam roh. Apa yang berlaku di sini tidak sama dengan apa yang berlaku di alam roh. Sebab alam roh termasuk dalam rahsia Allah SWT. Kita tidak akan tahu selagi tidak berlaku perpindahan roh, selagi roh tidak keluar dari jasad maka kita tidak akan tahu apa yang berlaku nanti.”
…………………………………………..
Firman Allah SWT dalam Surah al-Zumar, ayat 42 yang bermaksud:
Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya dan (memegang) jiwa (orang) yang belum mati di waktu tidurnya; maka Dia tahanlah jiwa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditetapkan. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir.
Menurut Ibnu Qayyim, roh dan jasad mempunyai LIMA bentuk hubungan, iaitu:
1) Ketika berada dalam rahim ibu dalam bentuk janin.
2) Setelah dilahirkan ke dunia
3) Ketika tidur.
4) Di alam barzakh. Walaupun roh sudah terpisah daripada jasad, tetapi bukan bermakna tidak ada kaitan sama sekali. Roh tetap akan dikembalikan kepada jasad untuk menjawab salam para pengunjung kubur.
5) Ketika dibangkitkan semula di alam akhirat. Pada ketika ini, roh dan jasad akan mempunyai hubungan yang sempurna kerana tiada lagi kematian dan kebinasaan sesudahnya.
Wallahua’lam.
#cintailmu
#matiitupasti
Comments
Post a Comment