PENERIMAAN DIRI (SELF-ACCEPTANCE)

 "SAYA RASA AWAK LAGI CANTIK DARIPADA DIA"

Telinga saya menangkap perbualan antara dua anak gadis ketika sedang menunggu anak di depan pagar sekolah.

Saya percaya ini merupakan dialog yang biasa dalam kalangan anak remaja kita. Fasa di mana mereka masih mencari identiti dan mempunyai keinginan tinggi untuk diterima dalam kelompok mereka. Keinginan ini menyebabkan mereka berusaha untuk menempatkan diri agar dipandang, dihargai, disayangi dan disukai oleh semua orang.

Adakalanya apabila mereka di'reject' atau tidak berjaya memenuhi expectation orang lain, mereka akan bertindak menyisihkan diri dan mempersoalkan tentang keupayaan diri. Konflik ini akan semakin membarah apabila mereka membandingkan diri dengan orang lain. Pelbagai persoalan akan bermain dalam diri mereka seperti.

"Kenapa dia tak sukakan saya?"

"Kenapa dia tak nak berkawan dengan saya?"

"Kenapa cikgu tak pandang muka saya?"

"Kenapa mak ayah sayangkan kakak lebih?"

"Kenapa saya tak cantik seperti orang lain?"

"Kenapa saya tak pandai seperti mereka?"


Jika persoalan-persoalan atau konflik ini tidak ditanggapi dengan baik, ia menjadikan anak remaja kita hilang keyakinan diri dan terus melabel diri mereka sebagai "tak berguna", "tak berharga", "tak bermakna", "tiada apa-apa yang boleh dibanggakan" dan lain-lain. Akibatnya, mereka tidak lagi mempedulikan diri sendiri dan melakukan perkara secara sewenang-wenangnya kerana beranggapan tiada sesiapa memberi perhatian kepada mereka lagi.

Di sinilah pentingnya mereka diberikan kesedaran berkenaan Self Acceptance / Penerimaan diri.

....................................................................................................................................................................

Penerimaan diri bermaksud kita menerima keadaan diri kita sama ada baik atau buruk. Penerimaan diri ini mempunyai hubungan dengan swacinta/ self-love. Orang yang boleh menerima keadaan diri akan merasa puas hati atau qanaah dengan diri mereka dan tidak membandingkan diri mereka dengan orang lain. Mereka juga sama sekali tidak menyalahkan keputusan yang salah pernah dilakukan sebelum ini.

Rasa penerimaan diri mempunyai hubungan dengan rasa Bahagia kerana di dalamnya ada syukur dan redha. Dua sifat ini merupakan keistimewaan orang beriman seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Setiap urusannya itu ada kebaikan. Ini tidak didapati kecuali pada seorang mukmin. Jika dia diberikan kesenangan, maka ia bersyukur. Itu baik baginya. Jika dia berhadapan kesusahan, dia bersabar. Maka itu juga baik baginya". (HR Muslim 2999)

Mengapa dua sifat ini merupakan kunci kebahagiaan?

Kerana rasa syukur dan redha dengan apa yang diterima atau dilalui dalam hidup ini menghindarkan seseorang daripada kemurungan yang berkait dengan keinginan untuk diterima oleh orang lain. Orang yang bersedia menerima dirinya tidak takutkan kegagalan dan tidak berterusan dalam mengkritik diri sendiri.

Sebaliknya, atas sebab mereka sedar kemampuan diri, mereka akan membuat keputusan dalam batasan keupayaan diri lalu meningkatkan emosi positif diri dengan tidak lagi rasa dikongkong atau terhalang dengan persepsi negatif orang lain dan diri sendiri. Hasilnya, keyakinan diri meningkat walaupun usaha dan pencapaian mereka tidaklah begitu outstanding seperti yang dicita-citakan oleh ramai orang. Kerana, mereka tidak pernah membandingkan diri dengan orang lain, tetapi hanya melihat kepada apa yang dicapai pada hari ini berbanding sebelumnya.

Ada banyak cara untuk melatih diri untuk mempunyai sikap penerimaan diri, antaranya ialah:

1- Latih diri untuk bersyukur.

- boleh dilakukan dengan cara tulis/senaraikan setiap hari 5 perkara yang kita syukuri

- dalam berhadapan dengan keadaan yang buruk/ negatif, renung hikmah yang diperolehi daripadanya

2. Susun semula fikiran negatif terhadap diri

- senaraikan kritikan atau persepsi negatif anda terhadap diri sendiri

- kemudian, baca semula senarai itu dan gantikan dengan kata-kata positif

- contoh, "saya bukan ibu yang baik kerana selalu marah anak-anak" digantikan dengan "saya seorang ibu yang sayangkan anak-anak, tetapi kadang-kadang saya memarahi anak apabila saya penat"

3. Pilih sistem sokongan sosial

- kenal pasti lingkungan anda sama ada mereka berkomunikasi secara positif atau negatif

- kurangkan berinteraksi dengan mereka yang memberi kesan negatif, lebih baik jika dapat tinggalkan/jauhkan diri

- pilih circle/lingkungan anda agar terdiri daripada mereka yang postif dan menyokong anda

4. Muhasabah diri

- ambil masa untuk bersendirian dan merenung kembali apa sebenarnya yang anda inginkan dalam kehidupan

- renungkan juga setiap nikmat yang dikecapi dan kelebihan diri

- gambarkan diri yang anda ingin bentuk dan apakah sebenarnya yang anda seronok lakukan, bukan berdasarkan apa yang orang lain tentukan bagi diri anda

- jangan sama sekali membandingkan diri anda dengan orang lain, hanya tumpu kepada perubahan diri sendiri dan cara untuk menambah baik diri

5. Maafkan diri sendiri

- terima kesalahan diri kerana manusia tidak mampu lari daripadanya

- jangan biarkan kesilapan lalu membelenggu diri sehingga tidak mampu melangkah ke depan

- jadikan pengalaman buruk sebagai panduan untuk masa akan datang


Justeru, penerimaan diri ini berkait rapat dengan keyakinan diri dan menentukan cara kita berinteraksi dengan orang lain sekeliling kita. Kadang-kadang punca diri merasa down, atau serabut bukan kerana apa yang kita hadapi tetapi bagaimana kita menanggapi perkara itu. 

Dengan meletakkan pergantungan kepada Allah secara mutlak dalam hidup baik perkara itu sesuatu yang kita sukai mahupun perkara yang kita benci, Insya Allah kita akan mampu menerima diri dan takdir seadanya.


Comments

Popular posts from this blog

Falsafah dan pemikiran Socrates

Peranan Paul dalam Kristian

Ulasan Buku: Seni berfikir yang hilang karya Ust Hasrizal