Ilmu penghalang Ibadat?

 Persoalan ini bermain di fikiran saya tatkala saya menyelak halaman Minhajul Abidin, karya Imam al-Ghazali. Sekali pintas saya melihat isi kandungan kitab ini menyentuh tujuh penghalang dalam beribadat di mana yang pertama berupa halangan ilmu.

 Pada awalnya, saya menyelak buku ini kerana salah seorang pelajar saya ingin mencadangkan kajian yang berdasarkan kepada Minhajul Abidin. Teringat saya bahawa buku ini ada dalam perpustakaan di rumah ini. Pada mulanya saya menyangka perbahasan dalamnya tidak jauh beza dengan Ihya’ Ulumiddin kerana ‘mungkin’ ini juga kitab ringkasan kepada kitab Ihya’. Ternyata sangkaan saya jauh meleset. Maka, oleh kerana tertarik dengan perbahasan berkaitan halangan bagi seorang Muslim, saya pun cuba membaca bahagian pendahuluan dan bab satu daripada Minhajul Abidin.

 Ternyata, perbahasan dalam bab satu ini berkait dengan pembacaan semalam daripada buku Aqal dalam Islam yang telah pun saya kemukakan ringkasannya dalam hantaran blog semalam. Jika perbahasan semalam terhenti kepada pernyataan pengarang bahawa tanggungjawab beragama berkait dengan kefahaman agama seseorang. Maka, persoalan seterusnya ialah mengapa? Serasa tidak lengkap jika persoalan ini tidak saya temukan jawapannya.

 Alhamdulillah, buku ini menjawab persoalan yang bermain di fikiran saya di mana Imam al-Ghazali menyatakan bahawa ilmu menjadi penghalang bagi orang yang beribadat berdasarkan beberapa segi:

 

1- Ilmu berperanan menyelamatkan ibadat seseorang daripada kecacatan.

Kerana itu beliau menegaskan kepentingan seseorang untuk mengenal Allah SWT sebelum dia beribadat. Bagaimana mungkin seseorang itu menunaikan ibadat dalam keadaan dia tidak mengenal Allah SWT, Tuhan yang akan disembah?

Bagaimana kita boleh beribadat kepada Allah SWT sedangkan kita tidak mengetahui nama-nama-Nya, sifat-sifat Zat-Nya, perkara wajib dan mustahil bagi-Nya?

Selain itu, bagaimana untuk beribadat sekiranya kita tidak mengetahui rukun, syarat dan perkara yang membatalkannya? Kesemua persoalan ini jawapannya berhajat kepada ilmu.

Tambahan pula, untuk beribadat juga tidak hanya melibatkan tindakan zahir tetapi juga ibadat batin. Maka, ia juga ilmu yang perlu ada bagi seorang Muslim sebelum dia beribadat.

 

2- Ilmu yang bermanfaat akan membuahkan rasa takut dan kagum akan Allah SWT seperti dalam surah Fatir, ayat 28.

Seseorang yang tidak mengenal Allah SWT dengan sebenar-benar makrifat menyebabkan dia tidak merasa kehebatan Allah SWT dan tidak mengagungkan-Nya dengan sebenar-benar takzim.

 

Imam al-Ghazali juga menegaskan WAJIB bagi seorang Muslim untuk mempelajari tiga jenis ilmu iaitu (i) Ilmu Tauhid (ii) Ilmu Tasawuf (iii) Ilmu Fikah/Syariat.

 Dalam ilmu-ilmu ini ada peringkat fardu ain dan fardu kifayah di mana Imam al-Ghazali menyatakan fardu ain ialah ilmu yang wajib diketahui oleh setiap Muslim mukallaf bagi tujuan dia melakukan ibadat kepada Allah SWT. Manakala perbahasan ilmu yang lebih terperinci seperti bagaimana berdebat atau menolak syubhat dalam berakidah, ilmu berkaitan jinayat, nikah kahwin, muamalat adalah termasuk dalam fardu kifayah yang memadai sekiranya sudah ada para ulama yang mendalami ilmu-ilmu tersebut.

Walau bagaimanapun, ia boleh bertukar menjadi hukum fardu ain bagi orang yang memerlukan ilmu ini untuk membantu dirinya tetap kekal dalam iman dan Islam.

 Seterusnya, yang dimaksudkan ilmu sebagai halangan ini ialah kerana sukarnya untuk menuntut ilmu itu. Berapa ramai orang yang berpaling daripada ilmu lalu menjadi sesat, ada pula yang tersesat dalam ilmu lalu menjadi bingung, ada yang mengeluh, ada yang berhenti di pertengahan jalan, ada yang berjaya sampai dalam masa yang pendek da nada pula yang terumbang-ambing selama bertahun-tahun.

 Hakikatnya, semua proses pembelajaran ilmu ini sama ada sampai atau tidak, cepat atau lambat, adalah di dalam kekuasaan Allah SWT jua.

 Demikianlah tuntutan menuntut ilmu atas kepentingannya untuk melakukan ibadat kepada Allah SWT.

 

#cintailmu

#jihadfisabilillah

Comments

Popular posts from this blog

Falsafah dan pemikiran Socrates

Peranan Paul dalam Kristian

Ulasan Buku: Seni berfikir yang hilang karya Ust Hasrizal